Saya disahkan mempunyai Major Depression Disorder, dan hampir ke arah Bipolar Disorder. Setelah berehat hampir 2 tahun, yang telah menangguh segalanya yang terjadi dalam hidup. Saya berfikir saya perlu mengambil peluang untuk menjadi manusia normal semula. Lagipun, siapa lagi nak ubah diri sendiri kalau bukan kita kan?
Usaha demi usaha, banyak cabarannya. Kalau orang lain usaha sekali, sebagai pesakit saya perlu usaha dua kali ganda dari orang lain. Untuk melawan sakit, untuk bangun dan berusaha menjadi manusia biasa walaupun hanya separuh hari. Pada saya, menjadi manusia luar biasa ini amat memenatkan, ngeri layanan yang diberikan orang sekeliling dan juga baru faham erti hilang diri sendiri. Tapi tak apa, pesan arwah ayah katanya biar orang buat kita, kita jaga je diri sendiri. Sebab, yang diluar sana bukan peduli, mereka cuma ada rasa ingin ambil tahu dan menghilang begitu saja.
Dengan penuh tekad, saya gagahkan hati menempuh hari-hari saya sehingga lah saya dapat satu langkah yang memberi saya sinar baru untuk kekal dan nekad hati saya menjadi 100 peratus orang baharu dalam dunia ini. Saya juga sedang berusaha, walaupun perjalanan baru ini ada kalanya rasa terbuai juga dek sifat lama. Yang penting usaha nya bukan? Kepada anda diluar sana yang seperti saya, cari lah satu harapan baru untuk anda kekal disini sampai lah akhir nanti. Anda yang menyala kan harapan anda, bukan orang lain. Mimpi tak henti hanya sebagai mimpi, jadikan ia sebuah realiti yang membanggakan anda nanti. Terima kasih kerana sudah berjuang sejauh ini 💛