Kisah #25 : Aku Menderita

KisahKita 25 featured image

Bila aku buka album-album lama, banyak muka aku ‘hilang’.

Digunting. Seolah-olah nak dipadam. Biar sampai lenyap. Sampai hilang jejak. Supaya tak wujud, mungkin.

Banyak juga memori sewaktu aku membesar yang ‘lenyap’. Otak yang baik hati ini pilih untuk padam. Tuhan melindungi aku, agaknya

Otak ini, berupaya untuk ‘memadam’ memori tertentu bilamana kita mengalami kesakitan emosi yang maha dahsyat.

Ya, dahsyat barangkali. Walaupun otak sudah gagal mengingat, mengapa dewasa ini aku masih dirawat?


Beberapa bulan lepas sewaktu temujanjiku dengan Dr. T, mak ada bersama.

“Darjah enam dulu, dia takut nak pi sekolah. Ada ustaz dekat sekolah dia garang. Selalu tampar dan pukul budak-budak. Pukul kawan-kawan depan dia. Dia jadi takut sampai demam. Macam terkejut. Dia jadi macam fobia tu Dr.”

“Suami saya pi sekolah. Jumpa cikgu tu. Cakap baik-baik dengan dia. Jangan buat budak-budak lagi. Jangan pukul budak-budak depan anak saya. Dia takut.”

Aku hanya mendengar.
Mendengar.
Dan mendengar.

Diam. Berinya ruang. Air mata cukup murah waktu begini. Aku ingat itu sewaktu darjah empat? Adakah angka 10 atau 12? Atau kedua-duanya? Wahai otak, ini masanya kau bekerja!

Masih aku ingat, raut wajah Teacher N dengan kaca mata dan gincu merah pekat. Guru Bahasa Inggeris yang memeluk jasad kecilku di bilik tidur. Memujuk aku agar kembali ke sekolah.

Aku juga dengan jelas dapat mengingati wajah berkaca mata guru kaunseling, Cikgu L dan guru kelas, Cikgu A sewaktu di tingkatan 4. Mereka berdua, dengan beraninya memanjat katil dua tingkat di bilik tidur – hanya untuk mendekati aku yang sedang lena. Besi biru dan kuningnya berbunyi-bunyi, sedikit bergoyang. Ketawa kecil kedua-duanya, bimbang akan ranap.

“Tak pi sekolah pun baca buku, kalau pi sekolah lagi lah. Masa program kaunseling haritu, kawan cikgu cakap budak ni nampak tak ok. Bila cikgu cari dekat kelas, tengok-tengok tak datang sekolah dah.”

Novel yang aku genggam semalaman itu dibelek-belek oleh mereka berdua. Dan tiap-tiap hari juga selama seminggu yang berikutnya, Cikgu A menjemput aku ke sekolah pada setiap pagi.

Ya, asalkan aku ke sekolah.


Sekarang

Mak sedang bercerita tentang kehidupan aku sewaktu darjah enam. Menceritakan apa yang telah terjadi.

Adakah Mak berbohong?

Atau terlupa?

Mustahil!

Bukankah Mak ada?

Menemani anaknya yang sering sakit.
Mendepani amuk dan ragamnya – 24 jam, 7 hari seminggu. Tiada cuti.
Menulis surat-surat yang berjudul ‘Tidak Hadir Ke Sekolah’ entah seberapa kali.

Otak ini aku perah dalam cubaan mengingat, tetapi gagal lagi. Sekali lagi percubaan, ternyata tiada memori menerpa ke dalam kotak fikiran. Hampa.

“Dia bukan fobia makcik. Dia trauma. Kesian kamu, sejak kecil lagi menderita. Dah berbelas tahun macam ni baru dapat rawatan.” Dr. T menyambung bicara dengan teratur dan jelas. Sedikit formal kosa kata yang dilontarkan daripada mulutnya.

M-E-N-D-E-R-I-T-A

Menderita? Benarkah? Aku tidak begitu ingat. Tetapi jika tidak, mengapa aku terpaksa menggalas beban kemurungan sejak bersekolah?

“Adik kenapa? Adik ok?”
Bukankah aku, 14 tahun, hanya berdaya menunduk di hadapan jururawat yang mahu membantu ketika itu. Ternyata air matanya lebih handal berbahasa. Borang DASS yang dihulurnya, dihumban ke dalam lubang tandas. Dipam ke dasar. Biar lenyap. Biar usai di situ sahaja.

Bukankah aku, 14 tahun, mengunci dirinya selama berbulan-bulan di bilik?

Bukankah aku yang busuk, tidak mandi, dan menyendiri itu juga berhalusinasi, seperti yang direkod doktor psikiatri semasa kali pertama ke sana. Melalui sesi imbasan CT. Menelan antipsikotik.

Bukankah aku, 15 tahun, menuang sodium hypochlorite ke dalam bekas hingga hampir melimpah isinya. Ralit mengamati interaksi kimia dan buih-buih yang terapung. Hanya aku yang layak dipersalah! Pencetus segala porak-peranda! Pembawa masalah!

Bukankah tubuh aku yang ketika itu sudah genap 23 tahun, diusung ambulans yang bingit sirennya ke rumah sakit? Pertama kali berkerusi roda dan disorong.

Ketabahan dalam menghimpun satu demi satu zarah sokongan tidak mudah. Bukankah aku selama ini, seorang penyabar?

Bukankah aku, gadis berkelakuan bunuh diri di koc terakhir LRT KL Sentral? Adegan melarikan diri dari katil pesakit di ruang kecemasan, dan pembantu perubatan yang mengejar. Satu tubuh yang berselindung di belakang tiang, keliru. Bimbang dicekup dan dihantar ke wad lagi. Tidak mahu malu menimpa mak dan abah.

Bukankah aku yang selama ini memilih diam bagi melindungi perasaan dunia dan sekeliling isinya – kerana dia terlebih dahulu tidak dilindungi? Bukankah aku diajar menghormati orang dewasa? Menelan bulat-bulat cerca dan amarah. Mengiyakan kata-kata yang membelah identiti kanak-kanak dan remaja.Tetapi soalnya cuma satu, mengapa orang-orang dewasa itu tidak pula menghormati aku sekecil itu?

Aku, selangkah lebih awal mengenali dunia yang serba gelap – tidak diterima, tidak difahami, tidak dipeduli. Kerana dilahirkan berkelainan.

Hanya disebabkan oleh aksara ini,

S-E-K-O-L-A-H
.
Ironinya setelah dikira-kira, ditimbang tara, kehidupanku selepas graduasi hanyalah berpusing dalam bulatan cikgu, cikgu, dan pendidikan.

Tutor…
Cikgu tadika…
Cikgu…

Dan sebenarnya, adakah murid-murid,
atau,
aku sedang cuba mengajar diriku sendiri?


Aku kembali.

Sedang duduk.

Berhadapan Dr. T.

Bersebelahan mak.

Kembali merenungi jendela bertirai hijau dan beberapa jilid buku perubatan yang tersusun rapi di rak. Menyedari bahawa saat ini, diam ialah bahasa yang lebih jelas – tanda meminta pertolongan.

Aku memilih untuk diam. Sepatah ayat tak terlontar daripada mulut. Aku lihat mak di sisi, tenang.

Dr. T memahami bahasa badan aku. Kebisuan aku.
Mahu teriak tetapi anehnya, hari ini aku seorang bisu.

“Tak apa, makcik keluar dulu. Tunggu dekat luar. Saya cakap dengan dia ya.” Aku segagahnya melawan diri untuk tidak tenggelam dalam kolam masa lampau.

Menerima ketetapan Tuhan bahawa aku sedang berdiri sebagai pesakit psikiatri. Berpendidikan tinggi, tetapi kecelaruan kerjaya dan dicengkam hutang pengajian.

Dan aku kalah. Serta-merta terbenam dalam kolam hiba, kelencunan tangis. Terus sahaja Dr. T aku tinggalkan di meja. Dia terpinga-pinga. Kaki ini dengan beraninya berlari keluar dari bilik tersebut, melewati mak, suami, dan adik yang menunggu betul-betul di situ.

Mak hampir terjatuh. Memanggil-memanggil anaknya yang lolos. Ini, sememangnya bukan kali pertama. Bila otak memilih untuk ‘melindungi’, maka beginilah bentuk kejadiannya.

Hampir 15 minit, atau setengah jam mungkin, mereka menemuiku di dalam kubikel tandas. Ditenangkan.

Dan aku kembali menapak ke bilik Dr. T yang anehnya, juga menenangkan aku.

Aku tenung suami di kerusi sebelah, yang anehnya, tetap bertenang.
Beberapa minit kemudian, aku berganti bilik.
Duduk menghadap Puan S, pegawai psikologi klinikal yang juga anehnya, tidak berkata apa-apa pun. Bertenang, dan menenangkan.

Aku telah melalui lorong kehidupan yang sebegini rupa;
hanyalah untuk diganjari dengan sebaik-baik kebaikan;
dan orang-orang yang memilih untuk berbuat baik.

Kerana Tuhan tidak pernah lupa.
Sewaktu girang ketawa kecilku bergema…
Sewaktu kelamnya usia remaja…
Bahkan dewasa ini yang menua?
Ada. Dia bersamaku.

Oleh sebab kebaikan yang dizahirkan Tuhan inilah – yang berterusan mengalir, tiada henti, dan tidak pula luput…

Bukankah tidak mustahil juga bagi aku untuk meneruskan aliran yang sama? Mengalirkan kebaikan dengan sejernihnya. Selembutnya.

Kebaikan malah menghidupkan, tidak pula mematikan.

Tidak percaya?
Aku ini buktinya.

Kongsikan kisah ini

Facebook
Twitter
WhatsApp

Kisah Terkini

Kisah #26 : Saya Ketakutan

Semakin hari, dada saya semakin sakit! Kepala saya semakin pening! Badan saya kerap ‘shaking’ apabila berhadapan dengan situasi keramaian..

Kisah #25 : Aku Menderita

Menderita? Benarkah? Aku tidak begitu ingat. Tetapi jika tidak, mengapa aku terpaksa menggalas beban kemurungan sejak bersekolah?