Kisah #23 : Jalan Yang Kupilih

KisahKita 23 featured image

Langkah kuatur kemas, dengan yakin aku menuju ke kaunter pendaftaran. Aku kini berada di salah sebuah klinik kesihatan di selatan tanah air. Hari ini, aku datang untuk bertemu dengan doktor untuk membincangkan keputusan saringan ujian darah yang telah dilakukan dua minggu lepas.

                Setelah menunggu kira-kira satu jam, namaku dipanggil. Aku bingkas bangun menuju ke bilik doktor.

                “Okey Puan, ni keputusan ujian darah Puan dua minggu lepas. Saya tengok semua cantik, bacaan kolesterol okey, gula pun okey, tak ada masalahlah. Cumanya saya nak tanya, Puan ada datang ke sini buat saringan DASS dua bulan lepas kan?”

                Aku yang lega mendengar bacaan keputusan darahku semuanya baik, terus berubah wajah. “Ujian DASS? Dua bulan lepas?” Spontan, aku bertanya semula dengan rasa terkejut.

                “Ya, saringan DASS. Dan yang saya risaukan, keputusan saringan depression, anxiety dan stress Puan ni sangat teruk. Boleh Puan beritahu saya apa yang berlaku?”

Aku memandang wajah doktor, dan seketika kemudian aku mengalih pandangan ke hadapan. Dan kupandang semula doktor, cuba untuk memberitahu sesuatu, namun aku tidak mampu untuk menuturkannya. Aku keliru, aku datang klinik buat saringan DASS? Jadi yang aku rasakan mimpi datang ke klinik dua bulan lepas tu, sebenarnya realiti? Aku tidak bermimpi?

                “Puan?”

                “Ha? Ya doktor…”

                “Puan okey?”

                Aku angguk. “Saya rasa, saya okey.”

                “Okey tak apa. Tunggu sini sekejap.”

                Doktor tersebut bangun dari kerusinya dan menuju ke bilik sebelah. Beberapa ketika kemudian, beliau datang semula ke meja, mengambil rekod perubatanku dan mengajakku ke bilik lain. Aku hanya menurut.

“Okey, duduk dulu Puan. Dan aku duduk di kerusi yang tersedia di sisi mejanya. “Puan, boleh tak Puan jawab semula saringan DASS-21 ni? Saya cuma nak pastikan yang Puan betul-betul okey.”

                Aku sudah mula menggigil. Jiwaku seolah melayang meninggalkan jasad. Fikiranku semakin jauh menerawang entah ke mana. Akhirnya, aku menggeleng. Perlahan aku membalas, “Saya tak bersedia nak jawab doktor..”

                Doktor mengangguk. Tidak pula marah atas keenggananku menurut kehendaknya. Beliau terus sahaja mengajakku berbual, bertanyakan perihal diri, hubungan kekeluargaanku, tentang siapa yang tahu akan keadaan diriku. Aku menjawab sebaiknya, namun apabila beliau mula bertanya tentang berapa lama aku sudah berkeadaan begitu, aku terdiam.

Sebenarnya, aku sendiri tidak pasti sudah berapa lama tempohnya. Dan pada waktu ini, aku sungguh-sungguh keliru. Aku seperti tidak berada pada garis masa yang sama dengan doktor di hadapanku. Antara aku dan dia, seolah ada tembok yang tak terlihat, memisahkan kami. Aku di sana sedang mengetuk-ngetuk tembok yang memisahkan kami, menjerit meminta pertolongan.

Dan jasadku ada di sini, sedang berbual dengan doktor muda ini.

Setiap baris katanya, benar-benar menusuk jiwaku. Sepertinya doktor ini telah dapat mengesan tembok yang menghalangi kami dan cuba mencari pintu yang dapat membawa aku keluar dari dunia sana. Tanya demi tanya semakin meruntuhkan tembok yang kukuh terbina. Saat air mataku berderai, maka telah runtuhlah tembok yaang menghalangi, dan dengan rela aku hulurkan tangan, mengizinkan dia memaut tanganku untuk kembali ke dunia nyata.

“Saya akan mulakan ubat anti-depressant dengan dos yang paling rendah dulu, Puan setuju untuk mulakan ubat?”

Aku mengangguk.

Dan hari itu, secara rasminya aku telah disahkan oleh doktor, mengalami Major Depressive Disorder dan Anxiety, dan perlu memulakan ubat serta-merta. Selepas beberapa kali berlangsungnya janji temu di klinik kesihatan dan keadaanku kelihatan tidak banyak berubah, akhirnya aku akur untuk dirujuk ke Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental di hospital negeri.

*              *              *              *              *

Aku membuka kelopak mata yang terasa berat. Kepalaku terasa berpusing. Dengan pandangan yang sedikit kelam, aku berfikir-fikir, di mana sebenarnya aku berada. Aku amati satu-persatu seluruh yang berada di sekelilingku. Mindaku mula sedar, aku sedang berada di bilik tidur rumahku. Dari arah dapur, aku terdengar bunyi kuali dan sudip berlaga. ‘Ah, tentu suamiku sedang membuat nasi goreng.’

                Seorang anak kecil menghampiriku dengan senyum manja. Aku amatinya. Perlahan aku depakan tanganku, memanggilnya ke dalam dakapan. Anak kecil ini adalah puteri kesayanganku, Melati yang telahpun berusia dua tahun. Sayu aku memandangnya. ‘Anakku, entah di mana ibu selama hari ini? Kau telahpun berjalan tidak lagi bertatih. Apakah yang telah berlaku selama dua tahun ini? ’

                Aku semakin bingung. Ya, aku sudah berkahwin. Ya, aku sudah punya sepasang cahaya mata. Ya Allah, anakku yang kecil ini sudahpun dua tahun?!

                Aku telah pulang ke realiti sebenar. Semuanya terasa aneh buatku. Segala-galanya terasa baru. Aku seolah perlu bertatih untuk memulakan semula hidup ini. Satu persatu aku terpaksa lakukan sehingga menjadi kebiasaan.

                Hingga akhirnya aku kelelahan untuk meneruskan hidup, dan aku mula mengasingkan diri daripada pandangan orang sekeliling.

*              *              *              *              *

“Assalamualaikum.”

                Terdengar suara suamiku memberi salam. Aku menjawab salamnya lalu menghulur tangan bersalaman.

“Wow! Bersihnya rumah. Sayang mop lantai?”

                “Ha’ah. Sempat masak tengah hari tadi, lepas tu petang ni tadi kemas rumah. Sapu rumah, sempatlah mop sekali.” Aku menjelaskan.

Suamiku tersenyum kagum. Sangat jarang rumah kami berkeadaan kemas begini. Semenjak aku sakit dan memulakan ubat-ubatan, lebih banyak masanya aku tidak mampu melakukan rutin harian. Semua yang biasa aku lakukan, menjadi sesuatu yang sukar untuk aku mulakan, apatah lagi untuk aku sempurnakan. Sesekali aku dapat melakukan tugasku sebagai suri di rumah, aku turut berbangga dengan pencapaianku.

Maka, apabila aku berada dalam fasa yang kurang stabil, suamilah yang banyak mengambil peranan di rumah. Walaupun tubuhnya kelesuan selepas balik dari tempat kerja, sekali pun dia tidak pernah merungut tentang rumah yang tidak terurus. Malahan, dialah yang sabar menyempurnakan satu persatu tugas yang tertangguh.

Sungguh besar kurniaan Tuhan mengurniakan aku pasangan yang sabar menjagaku.

*              *              *              *              *

Entah.

Itu yang aku rasa saat ini.

Bagaimana “entah” boleh menjadi rasa?

Entah aku gembira.

Entah aku sedih.

Entah aku rasa biasa-biasa saja.

Entah, aku bingung.

Entah, aku keliru.

Semuanya berkecamuk menjdi satu.

Yang sama hanyalah “entah.” Maka, jika ditanya apa yang aku rasakan saat ini, maka jawapku hanyalah,

“Entah.”

*              *              *              *              *

Aku mengamuk lagi. Gara-gara anakku minum air di sofa, aku menghamburkan amarahku padanya. Dengan nada tinggi menengking, aku mengarahkannya bangun dan beralih minum di meja makan.

                “Siapa ajar makan minum kat sofa? Nak makan, nak minum, duduk kat meja makan sini!” Begitu aku mengherdik.

Anakku diam dan menurut perintah. Entah apa yang dirasakan oleh jiwanya, aku tak mampu mengendah. Rasa marah, sayu, kesal, semuanya bersatu dalam diri.

                Dan bila emosiku reda, mindaku berfungsi, aku menangis sendiri. Aku gagal lagi mengawal emosi.

Beginilah aku sejak pulang ke rumah selepas beberapa hari berehat di wad. Mataku seolah sentiasa menemukan silap orang lain, lalu kemarahanku meledak serta-merta. Lebih parah dari itu, aku sebenarnya keliru siapa aku. Sepertinya, aku hanyalah jiwa lain yang menumpang di tubuh ini. Tubuh ini milik Suri, tetapi aku bukan Suri. Aku yakin, aku bukan Suri!

*              *              *              *              *

                Aku tersandar lesu. Begitu lelah rasanya hidup dengan jiwa yang telah mati. Ada masa yang aku jatuh, dan aku sekadar membiarkan jiwaku hanyut. Akan sampai masanya, aku akan mencari cara untuk bangkit. Kerana aku percaya, dalam jiwa setiap manusia itu, tetap akan tinggal dalam diri, sejalur harapan untuk terus bertahan.

                Jika hari ini aku jatuh, aku percaya, aku akan tetap bangkit semula.

                Saat aku bangkit, aku ingin hiasi dengan syukur, dan menikmati masa-masa indah antara aku dan Dia.

                Aku merancang, dan Dia merancang, maka ketentuan-Nya tentulah yang terbaik buatku.

                Maka, akulah yang perlu mengatur gerak, melalui liku-liku hidup, dan aku percaya, dalam setiap susah dan senangku, Dia sentiasa ada bersama, tidak pernah meninggalkanku walau sekali..

Kongsikan kisah ini

Facebook
Twitter
WhatsApp

Kisah Terkini

Kisah #26 : Saya Ketakutan

Semakin hari, dada saya semakin sakit! Kepala saya semakin pening! Badan saya kerap ‘shaking’ apabila berhadapan dengan situasi keramaian..

Kisah #25 : Aku Menderita

Menderita? Benarkah? Aku tidak begitu ingat. Tetapi jika tidak, mengapa aku terpaksa menggalas beban kemurungan sejak bersekolah?