Kisah #17 : Perjalanan Pemulihanku

KisahKita 17 featured image

Perjalanan aku mengenai kisah pemulihan dari kesakitan minda dan jiwa ini panjang, berliku dan mencabar sebagaimana kisah perjalanan hidupku. Setiap kali ku imbas kembali kesemua ini, terasa sebak di dada namun dalam hati paling dalam aku kagum dengan ketabahan diri ku mengharungi perjalanan hidup selama hampir 40 tahun.

Diagnosis pertama aku pada tahun 2017 iaitu Persistent Depressive Disorder (PDD) bila mana berlaku dua kejadian besar dalam hidup ku iaitu September 2016 kematian datuk yang aku sayangi dan sehari sebelum raya 2017 berlaku salah faham di tempat kerja. Sebenarnya sebelum didiagnos secara rasmi aku telah pun mengalami kemurungan yang amat dahsyat selepas datuk aku meninggal, aku menangis selama sebulan, self-harm, alami gangguan tidur, keletihan melampau, tiada selera makan lalu hilang berat badan mendadak tetapi aku gagah bekerja seperti biasa. Bekerja sebagai penjawat awam dalam bidang kesihatan aku tidak dapat lari dari stigma mengenai penyakit mental yang di label sebagai ‘gila’.

Aku memulakan rawatan di hospital kerajaan. Rutin ke hospital menjadi kebiasaan bagiku dengan cop di atas ‘time slip’ bukan cop Klinik Psikiatrik, itu permintaan aku. Satu demi satu ubat aku makan namun tidak serasi. Aku juga di rujuk ke Terapis Cara Kerja (Occupational therapist) dan Psikologis Klinikal (clinical psychologist). Aku sempat menjalani 2 sesi Occupational Therapy kemudian aku default kerana aku rasa itu tidak membantu. Bersama Clinical Psychologist, aku menjalani 5 sesi dan juga aku default kerana aku rasa aku tidak di dengari dan CBT yang di ajar tidak sesuai dengan keadaan aku. Dalam masa sama aku mengambil inisiatif sendiri menjalani psychotherapy secara online bersama clinical psychologist dari negara berhampiran tambak Johor. Demi keinginan untuk pulih dari kesengsaraan penyakit mental ini, aku sanggup melaburkan duitku sendiri. Aku menjalani sesi 1-2 kali sebulan. Selepas banyak kali aku berkunjung ke klinik psikiatrik diagnosis aku berubah-ubah ke Major Depressive Disorder, adjustment disorder dan juga anxiety. Pada satu hari aku mengambil keputusan untuk stop rawatan kerana kemarahanku kepada medical officer di klinik itu. Yang membuatku sedih, tidak lah mereka menghubungi aku untuk bertanya khabar atau meminta aku datang temujanji semula selepas kejadian itu. Oh ya, pada minggu pertama kau didiagnos PDD aku secara personal bertanyakan satu soalan umum di satu page FB mental health melalui messenger. Pada satu malam aku mengalami tekanan atau mungkin juga kesan ubatan, aku tidak boleh melelapkan mata dan keinginan untuk mati tersangat tinggi. Tiba-tiba inbox messenger aku di sapa oleh seseorang yang tidak dikenali. Aku rasa ini pertolongan dari Allah menyelamatkan aku dari bunuh diri. Individu itu memperkenalkan diri sebagai Pakar Psikiatrik dan bertugas di Hospital. Tidak mudah aku percaya kerana trust issues yang tebal dalam diri. Namun demikian aku percaya dan yakin Allah telah memakbulkan doa aku iaitu “Ya Allah bantulah hambaMu”. Doa itu aku amalkan sejak aku kecil dari umur 4 tahun. Aku bersyukur sekurang-kurangnya ada satu orang peduli dan percaya dengan masalah yang aku hadapi kerana orang sekeliling menganggap aku individu yang ceria, gembira, berjaya dan mempunyai jalan cerita hidup penuh kebahagiaan.

Selama hampir dua tahun aku memberhentikan sendiri rawatan ubat-ubatan dari hospital namun aku meneruskan psikoterapi secara online. Aku juga melakukan self-help dengan cara ku sendiri seperti berkebun kecil-kecilan di balkoni rumah, bercuti di pantai bersama keluarga, makan minum secara sihat, menyertai larian, membela kucing dan banyak lagi. Satu hari aku merasakan kesihatan mentalku merosot teruk kerana kegagalan besar yang ku alami, keberhentian mengejut sesi psikoterapi akibat salah-faham dua pihak, Covid-19 yang melanda dunia juga aku didiagnos mengalami chronic pain due to pelvis issues, syringomelia, Tarlov cyst dan posterior arachnoid cyst. Aku rasakan dunia ini seperti di pengakhiran. Lantas aku membuat temujanji di klinik swasta di bawah kendalian pakar psikiatrik sangat terkenal di media sosial. Selain dari depression, aku didiagnos mengalami General Anxiety Disorder dan bermula juga ubatan juga bertukar-tukar. Aku kira dalam 4-5 kali juga aku ke klinik itu dan sekali lagi aku ambil keputusan sendiri menghentikan rawatan kerana aku dapat rasakan ketidaktulusan dan ketidakacuhan doktor merawat aku bila mana klinik tersilap menghantar ubatan kepada aku. Aku tertanya kepada diri sendiri adakah aku mempunyai expectation yang tinggi terhadap individu-individu mental health professional tersebut?

Selepas setahun aku bebas dari rawatan sama ada ubatan dan psikoterapi, tiba-tiba aku rasakan dunia aku gelap kelam semula tanpa apa-apa kejadian yang menyebabkan aku trigger. Lalu sekali lagi aku mengambil keputusan untuk berjumpa pakar psikiatrik yang sebelum ini berhubung secara maya sahaja. Pada awal aku hadir rawatan dan aku percaya aku boleh pulih dengan bantuan pakar psikiatrik ini. Awal sesi rawatan aku tidak diberi ubatan kemudian sesi seterusnya aku diberi satu ubat rawatan dan ubat tidur. Ubat yang diberi ini dinaikkan dos sedikit sehingga sedikit. Jujurnya aku dapat rasa perubahan positif namun masih dibelenggu dengan masa-masa silam yang pahit dan masih dihantui mimpi-mimpi buruk. Setiap kali sesi rawatan, doktor selalu meminta aku keluar dari lembah kesedihan yang mana aku tidak terdaya berbuat demikian. Sampai satu tahap aku rasa marah dan bertanya dalam hati ‘kenapa doktor masih tak faham keadaan aku?’. Doctor bagi tugasan iaitu baca tentang Dialectical Behavior Therapy (DBT). Aku ambil masa sebulan membaca berkenaan DBT dan membuat satu lakaran ringkas peta minda mengenai DBT. Aku agak terkejut sebenarnya dari kecil aku sudah implement teknik-teknik yang disebutkan itu cuma aku tidak tahu istilah tepat dalam bahasa psikologi.

Satu hari aku minta diagnosis dan doctor mengatakan aku ada ciri-ciri borderline personality disorder dan memerlukan rawatan secara psychodynamic. Satu hari aku mengalami ‘awan gelap pekat’ selama dua minggu dan aku ke klinik berjumpa doctor dan diberi ubat yang berkaitan. Dari sesi rawatan itu aku merasakan doctor tidak dapat membantu aku lagi, lalu sekali lagi aku menghentikan sendiri rawatan aku setelah hampir setahun aku menjalani rawatan ubatan dan sekali lagi aku disappear begitu sahaja. Kemudian, aku cuba menjalani psikoterapi di tempat aku bekerja. Aku berjaya menjalani 3 sesi dan terus tidak hadir ke sesi seterusnya kerana aku tidak mampu secara emosi menghadap kesakitan-kesakitan di dalam minda aku ini. Aku selalu mengelakkan diri berjumpa psychologist di tempat kerja dan setiap kali terserempak aku pasti meminta maaf kerana tidak hadir sesi dan dia menjawab dengan senyuman, “takpa saya faham kamu tidak bersedia”. Hatiku rasa lega mendengar jawapan itu.

Hari ini hampir setahun aku tidak menerima apapun rawatan dan apapun panggilan follow-up dari mana-mana pihak. Awalnya aku marah dan kecewa tetapi kini tidak lagi. Sebenarnya banyak perkara baru aku belajar sejak aku menerima rawatan dari 2017 sehingga 2022 dan Alhamdulillah sedikit-sebanyak aku berjaya mengawal emosi aku. Perkara pertama yang aku belajar ialah menerima emosi dan memaafkan diri sendiri. Aku kini berjaya memaafkan individu-individu yang membuatkan aku trauma cuma untuk melupakan tidak sama sekali. Aku juga acknowledge dan validate jika masa silam termuncul dalam minda aku dan cuba untuk mindfulness. Aku juga banyak belajar dari pesakit-pesakit aku yang mengalami chronic disease dan terminal illness. Aku cuba hidup dengan penuh content, melakukan aktiviti yang aku suka dan menghadiri kursus dan taklimat berkaitan mental health. Baru-baru ini aku belajar mengenai 4 jenis total pain yang selama ini aku hanya tahu mengenai physical pain, psychological pain dan social pain namun sebenarnya ada satu lagi pain iaitu spiritual pain yang disebut sebagai ‘pain deep in soul’. Aku juga belajar mengenai spiritual dan religion in physical dan mental health. Juga aku berpegang pada satu kepercayaan iaitu doa kepada Allah. Aku percaya bantuan Allah itu pasti ada, pasti sampai.

Di sini dapat aku simpulkan bahawa sebenarnya aku mengalami sakit mental sejak kecil 4 tahun dan sakit mental yang aku alami ini rentetan dari banyak kejadian hitam sejak aku berumur 2 minggu, lalu menyebabkan trauma berpanjangan dan masih belum resolve. Aku ditinggalkan oleh ibu bapa sejak bayi, kematian ayah semasa berumur 10 tahun, aku menguruskan adik-adikku, aku menyaksikan adik dipukul ibu, aku dirotan teruk oleh makcik dan pelbagai lagi. Di alam remaja juga aku mengalami kesukaran semasa persekolahan dan universiti. Apabila alam dewasa aku mengalami lagi kejadian-kejadian hitam juga membawa trauma dan juga penyakit fizikal lalu diri dirujuk ke hospital dan di diagnos secara official oleh pakar psikiatrik. Cuma aku bersyukur, setiap kali aku berada dalam kesusahan pasti ada tangan-tangan yang membantu dan merekalah yang menyebabkan aku berjaya ke universiti dan mendapat dekan pada tahun akhir, mereka jugalah yang menyebabkan aku berjaya di posisi kerjaya yang aku kira ‘gifted’ ini. Aku bersyukur dengan apa yang aku ada sekarang, kesusahan keperitan masa lalu diganti dengan ‘kejayaan’ masa ini biarpun aku masih dibelenggu dengan masa silam.

Dengan rasa rendah hati, aku ingin menasihati kepada yang merasakan diri mengalami masalah kesihatan mental tolonglah mendapat bantuan dan rawatan. Meskipun bertukar-tukar perawat dan ubat-ubatan, jangan mudah putus asa. Juga berdoalah, jangan jemu berdoa tidak kira apapun bangsa dan agama. Percaya setiap kesulitan pasti ada kesenangan. Percaya pada diri sendiri, percaya anda mampu berubah ke arah yang lebih baik.

Kongsikan kisah ini

Facebook
Twitter
WhatsApp

Kisah Terkini

Kisah #26 : Saya Ketakutan

Semakin hari, dada saya semakin sakit! Kepala saya semakin pening! Badan saya kerap ‘shaking’ apabila berhadapan dengan situasi keramaian..

Kisah #25 : Aku Menderita

Menderita? Benarkah? Aku tidak begitu ingat. Tetapi jika tidak, mengapa aku terpaksa menggalas beban kemurungan sejak bersekolah?