Kisah #11 : Aku, Psikologis & Psikiatris

KisahKita 11 featured image

Saya merupakan salah seorang pesakit mental yang berjuang hampir dua tahun sehingga kini. Saya ingin berkongsi kisah perjalanan saya sebelum dan selepas menerima rawatan di klinik psikiatri.

Awalnya, saya tidak sedar saya mempunyai simptom-simptom penyakit mental dan berfikir bahawa mungkin saya hanya sekadar stress sahaja sehinggalah saya tamat belajar di sekolah menengah dan mula mencari kerja sementara menunggu results SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) saya keluar.

Saya mula mencari kerja dan alhamdulillah saya diterima untuk bekerja di sebuah stesen minyak yang berdekatan dengan rumah saya sebagai juruwang. Hari pertama saya mula bekerja sudah pasti perasaan takut, gementar hadir dalam diri saya. Saya yakin semua yang ingin melangkah ke alam perkerjaan untuk pertama kalinya turut merasakan perasaan yang sama bukan?  Untuk hari yang pertama saya hanya memerhati bagaimana rakan sekerja saya melakukan tugasan yang diberikan sehingga masuk hari yang kedua, giliran saya untuk melakukan tugasan yang diberikan. Perasaan sama turut dirasai, saya mula rasa takut, gementar, gelisah sehingga saya kerap ke tandas kerana rasa takut. Entah mengapa saya juga tidak tahu. Bila pelanggan datang saya jadi terlalu takut sehingga saya melakukan kesalahan kerana memberi wang yang tidak cukup kepada pelanggan. Saya tidak dimarah tapi perasaan takut, gelisah semakin kuat dalam diri saya. Kemudian saya mula membuat keputusan untuk berhenti bekerja.

Keadaan saya menjadi semakin teruk apabila saya cuba bekerja di beberapa cawangan tempat kerja dalam masa yang singkat dan semuanya hanya mampu bertahan sehari dua. Bayangkan orang lain bekerja setahun dua, paling kurang pun berbulan-bulan tapi saya? Empat hari sudah terlalu lama bagi saya untuk bertahan dalam suatu pekerjaan. Keluarga menjadi semakin terhadap saya. Mereka takut bagaimana kehidupan saya jikalau mereka sudah tiada. Saya hanya mampu berdoa. Saya mohon dipermudahkan segala urusan saya. Sampailah suatu hari saya dapat perkerjaan yang baru lagi, macam yang saya katakan hal yang sama berlaku dan saya mula untuk tidak meneruskan lagi. Ibu saya sangat marah, dia membebelkan saya kerana baru sehari sudah tidak mahu teruskan lagi. Jujur saya menangis sekuat hati tanpa suara. Saya bertanya pada diri mengapa ini yang saya rasai?

Abang saya datang ke bilik melihat saya menangis dengan raut wajah yang sangat lelah. Beliau memanggil saya lalu berkata “Satgi aku nak hang ikut abah pi hospital tau” saya pun bertanya “Kenapa? aku okay ja” Beliau berkata “Tak, hang tak okay. Takpa satgi aku bagitau abah suruh bawa hang pergi hospital. Aku tak boleh bawa sebab aku kerja. Hang dengar cakap aku tau” Saya pun pergi ke hospital dengan abah. Sepanjang perjalanan saya berdoa pada Tuhan, seandainya saya sakit semoga diberikan rawatan yang sepatutnya tetapi jika tidak Engkau tunjukkanlah jalan kepadaku bagaimana untuk aku menyelesaikan ia.

Sampai sahaja di hospital saya diarahkan oleh nurse untuk berjumpa dengan doktor. Doktor membuat surat untuk saya di refer ke Klinik Bahagian Psikiatri dan Kesihatan Mental. Saya diberikan borang ujian DASS (Depression Anxiety Stress Score) untuk dijawab. Borang tersebut diberikan kepada doktor psikiatri. Saya berjumpa dengan doktor dan menceritakan tentang apa yang terjadi pada diri saya. Setelah itu doktor mendiagnosis saya sebagai pesakit MDD (Major Depression Disoder) dan dibekalkan ubat. Saya bersyukur sangat bukan kerana saya suka akan hadirnya rasa ‘sakit’ tetapi saya bersyukur akhirnya Allah mengabulkan doa saya selama ini.

Saya juga diberikan surat untuk diserahkan kepada pegawai psikologi untuk sesi terapi. Alhamdulillah, awalnya saya agak ragu kerana saya takut apabila saya menceritakan masalah saya kepada psikologis, ianya akan tersebar luas akan masalah dan identiti saya. Tapi sebenarnya saya silap. Setiap apa yang saya kongsikan kepada mereka menjadi sebuah rahsia antara pesakit dan pegawai psikologi. Jika rahsia pesakit disebarkan mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Perjalanan saya sepanjang hampir dua tahun alhamdulillah masih dalam rawatan ubat dan doktor dan juga psikologis. Saya banyak berkongsi kisah dan bertanya pendapat daripada psikologis saya yang sangat membantu. Mereka langsung tidak pernah menjatuhkan saya, menghentam saya, mengatakan iman saya lemah. Langsung TIDAK! Malah mereka selalu mendengar, memberi pandangan dengan sangat baik terhadap saya. Setiap kali perjumpaan, beliau selalu bertanya “awak okay?” Bunyinya agak simple tetapi sangatlah bermakna dan membuatkan diri saya sebak sehingga mampu mengeluarkan air mata.

Beliau hulurkan tangan di saat jiwa saya lelah memerlukan sebuah pelukan saya sangat bersyukur kerana beliau sangat memahami saya. Bukan sahaja Tuhan anugerahkan saya psikologis yang baik, malah doktor psikiatri juga sangatlah baik. Sejujurnya, saya tidak pernah membayangkan mereka sebaik itu terhadap pesakit. Ada yang selalu memberikan pandangan yang diluar pemikiran saya. Saya ingat lagi seorang doktor Psikiatri ni. Masa hari pertama saya melihat dia saya berharap tidak akan mendapat rawatan daripada beliau kerana saya takut dengan stigma segelintir masyarakat bahawa beliau akan hukum saya sebagai seorang yang lemah iman, tidak mengaji, solat atau bahkan tidak menerima takdir dalam hidup. Sampailah satu masa Allah hantarkan saya kepada beliau. Iya appointment saya dengan beliau. Hakikatnya beliaulah yang sangat memahami diri saya meskipun sesama agama, beliau langsung tidak menghukum saya ataupun menyalahkan saya. Beliau memberikan semangat untuk saya berjuang dalam penyakit mental.  Saya bukanlah seorang yang suka akan kehadiran orang yang terlampau ramai, saya juga tiada keyakinan dalam diri terutama dalam penampilan diri. Sehinggalah saya berjumpa dengan beliau yang banyak memberi idea bagaimana untuk saya yakinkan diri saya untuk berhadapan dengan ramai orang.

Beliau berkata “Awak exerciselah, jogging ke?”
“Tapi saya malu doktor”
“Nak buat apa malu? Kalau awak malu sangat awak pakai je semua tutup muka-muka sekali, pakai topi biar orang tak kenal awak (doktor menunjukkan contoh cara pemakaian lalu ketawa di hadapan saya)”
Allahuakbar, saya juga turut ketawa. Dari idea beliaulah hadir confident dalam diri saya untuk saya melakukan aktiviti luar yang berhadapan dengan ramai orang. Beliau juga memberikan saya peluang untuk sertai program ‘RESTART’ iaitu program sokongan pekerjaan yang dianjurkan oleh pihak hospital untuk pesakit psikiatri mendapatkan pekerjaan.
Doktor bertanya “Kita ada buat program tau, program sokongan pekerjaan khas untuk pesakit bersama PERKESO, program ni baru je bermula. Awak nak join?”
“Humm (berfikir)”
(Doktor terus menggapai telefon bimbitnya di atas meja lalu menelefon petugas kesihatan bahagian yang menguruskan program tersebut)
“Rezeki kamu, ada lagi satu tempat kosong. Kamu nak tak? Saya tulis nama ya?”
“Humm bolehla doktor”
(Mengisi nama)
“Humm doktor, kalaulah kan kalau… Tiba-tiba saya tak jadi pergi macam mana?”
“Kalau awak tak jadi beritahu kami awal-awal. Telefon klinik. Tapi saya harap awak dapat sertailah ya”
“Hehe In Shaa Allah doktor”
(saya keluar dari bilik doktor untuk pulang. Tiba-tiba saya terdengar satu suara yang memanggil nama saya. Saya pusing ke belakang saya lihat doktor datang ke arah saya)
“Ini saya silap. Borang yang saya bagi tak ada tarikh. Awak ambil borang yang baru ni.”
“Okay baik, terima kasih doktor”

Allahuakbar, sampai begitu sekali doktor nak saya sertai program tersebut. Seminggu lagi menjelang program, sejujurnya jiwa saya tidak tenteram, perasaan takut, gelisah semakin memuncak. Saya bertanya psikologis saya, saya bertanya sahabat saya sama ada saya perlu sertai atau tidak. Keputusan mereka adalah untuk saya menyertai program tersebut dan mencabar diri saya untuk berhadapan dengan ramai orang. Alhamdulillah saya sertai. Selepas saya sertai, rasa bahagia, rasa gembira semua hadir dalam jiwa saya. Saya dapat kenal rakan seperjuangan saya yang baru. Saya dapat beramah-mesra dengan doktor-doktor yang lain. Habis sahaja moment tu silap kali saya terkenang, mengalir air mata kerana saya rindukan mereka. Saya juga tidak menyangka bahawa saya mampu berada di tahap yang sekarang. Terima kasih doktor.

Bermula perjalanan kehidupan saya dari situ, saya mula dekatkan diri dengan program-program yang dianjurkan oleh hospital tanpa hadir perasaan ragu-ragu. Dari situ jugalah saya dapat kenal dan rapat dengan beberapa orang doktor psikiatri. MashaAllah, hebat sungguh hadiah yang Allah berikan kepada saya. Saya sangat bersyukur. Bukan itu sahaja, banyak lagi perjalanan yang cukup indah saya lalui sepanjang proses pemulihan dan rawatan saya dalam kesihatan mental. Apa yang pasti daripada menjadi seorang yang takut akan ramai orang menjadi seorang yang perlahan-lahan berhadapan dengan ramai orang. Daripada seorang yang sentiasa murung, kurungkan diri di dalam bilik menjadi seorang yang mula mencari aktiviti di luar. Juga daripada seorang yang sukar untuk lelapkan mata di malam hari menjadi seorang yang tenang dibuai mimpi.

Dalam masa yang sama, saya dapat kenal ramai pejuang mental illness yang sangat hebat.

Mereka bukan lah seperti apa yang kita fikirkan bahkan bukanlah seperti drama mahupun filem yang dipertontonkan. Sebenarnya mereka jauh lebih baik dari itu. Mereka seperti orang yang normal, yang terlihat sangat tenang. Yang membezakan kita dan mereka adalah ‘sakit’ mereka di diagnosis oleh pakar kerana mereka mempunyai penyakit dan penyakit tersebut mengganggu mental/fikiran mereka tetapi kita tidak. Siapa cakap, mereka yang  mengalami gangguan/penyakit mental datang dari orang yang tidak bekerjaya, orang yang lemah iman, orang yang tidak mempunyai masa depan?

Sebenarnya awak silap. Kebanyakkan mereka yang datang ke klinik psikiatri adalah mereka yang bekerjaya. Ada yang bergelar guru, ada berjaya dalam bisnes bahkan sahabat saya sendiri merupakan seorang pegawai bank yang terpaksa berhenti kerja kerana mentalnya di hentam di tempat kerja. Iman yang lemah? Itu juga awak silap. Penyakit mental tidak mengenal siapa awak. Saya juga mempunyai sahabat seorang penghafaz Al-Quran, seorang yang bermotivasi dan berilmu tapi beliau di ujian dengan penyakit mental. Itukah yang awak maksudkan lemah iman? Allahuakbar. Hentikan Stigma tentang kesihatan mental dan bantu mereka berjuang dalam penyakit mental.

Kongsikan kisah ini

Facebook
Twitter
WhatsApp

Kisah Terkini

Kisah #26 : Saya Ketakutan

Semakin hari, dada saya semakin sakit! Kepala saya semakin pening! Badan saya kerap ‘shaking’ apabila berhadapan dengan situasi keramaian..

Kisah #25 : Aku Menderita

Menderita? Benarkah? Aku tidak begitu ingat. Tetapi jika tidak, mengapa aku terpaksa menggalas beban kemurungan sejak bersekolah?