Kisah #12 : Saya Bersyukur

KisahKita 12 featured image

Saya merupakan seorang pelajar calon SPM tahun 2022. Pada bulan Mei tahun 2022, saya diserang oleh penyakit kebimbangan atau lebih dikenali sebagai anxiety yang sangat teruk.

Saya seakan-akan hilang segalanya-galanya pada ketika itu. Saya hilang selera makan, saya hilang minat dalam hobi saya, saya tidak mahu ke sekolah dan semasa di sekolah, saya sukar fokus terhadap pembelajaran. Tambahan pula, saya merupakan pelajar Covid-19, sewaktu saya di Tingkatan 4, saya tidak dapat belajar dengan sebaiknya kerana saya kurang fokus terhadap pembelajaran online. Oleh itu, saya amat risau kebimbangan saya akan menjejaskan keputusan SPM saya. Saya amat bimbang dan takut sehinggakan saya seperti tidak lagi mahukan apa-apa bahkan saya hampir putus asa.

Akan tetapi, syukur kehadrat Illahi kerana telah menemukan saya dengan seorang kawan dan ibu bapa yang sangat memahami saya. Saya tidak mendapatkan rawatan khusus di hospital atau terapi. Pada mulanya, saya hanya menceritakan sedikit sahaja pada kawan saya, apa yang saya bimbangkan. Selepas sahaja saya meluahkan kepada kawan saya, saya terus merasa sedikit tenang kerana ada seseorang yang mengetahui keadaan saya. Saya berasa amat takut pada ketika itu, pagi, petang, siang dan malam. Jadi saya beranikan diri untuk memberitahu setiap perkara yang saya bimbangkan pada waktu itu juga kepada kawan saya, kawan saya pula telah memberikan banyak nasihat kepada saya. Kawan saya meminta saya untuk tenangkan diri, jelaskan bahawa fikiran seperti itu normal dan jika saya masih tidak tenang, kawan saya meminta saya untuk membaca Al-Qur’an dan perbanyakkan solat. Saya buat semua perkara yang diminta oleh kawan saya setiap hari. Ibu bapa saya juga menasihati saya perkara yang sama tetapi mereka tidak tahu apa yang saya bimbangkan.

Saya buat semua perkara itu setiap hari, akan tetapi, kebimbangan saya tidak berkurang walau sedikitpun. Saya seperti seorang yang tidak mempunyai harapan untuk sembuh pada ketika itu. Akan tetapi, kawan saya memberikan sokongan moral yang sangat tinggi pada ketika itu, begitu juga dengan ibu bapa saya.Ibu saya menceritakan kisahnya melawan kebimbangan sewaktu beliau muda, itu memberikan saya semangat untuk terus berjuang. Saya mengaji Al-Qur’an setiap hari, melaksanakan solat fardhu dan sunat dan cuba untuk yakinkan diri bahawa ini adalah perkara normal yang berlaku kepada kebanyakan orang.

Setelah beberapa bulan membuat semua perkara tersebut tanpa putus asa, dan pada masa yang sama memaksa diri untuk belajar serta memperbanyakkan berdoa, akhirnya saya dapat keluar dari lubang kegelapan tersebut. Walaupun bukan sepenuhnya, tetapi saya dapat keluar dalam 80%. Saya juga berjaya mencapai keputusan yang cemerlang dalam SPM tahun 2022/2023. Alhamdulillah. Syukur kehadrat Illahi, tanpa izin-Nya, mungkin saya masih berada dalam lubang kegelapan tersebut.

Buat anda di sana yang sedang menghadapi penyakit ini, teruskan berjuang, terus berlawan, setiap hari tanpa putus asa, pasti anda juga akan berjaya keluar dari lubang kegelapan ini. Mungkin julat masa kita berlainan, mungkin anda akan sembuh lebih cepat dari saya atau sebaliknya, tetapi jangan sesekali putus asa dan jangan sesekali hilang kepercayaan pada diri. Sentiasa berdoa, pasti akan terbuka suatu jalan untuk anda.

Kongsikan kisah ini

Facebook
Twitter
WhatsApp

Kisah Terkini

Kisah #26 : Saya Ketakutan

Semakin hari, dada saya semakin sakit! Kepala saya semakin pening! Badan saya kerap ‘shaking’ apabila berhadapan dengan situasi keramaian..

Kisah #25 : Aku Menderita

Menderita? Benarkah? Aku tidak begitu ingat. Tetapi jika tidak, mengapa aku terpaksa menggalas beban kemurungan sejak bersekolah?