‘Prompting’ 3 Langkah: Bantu Kanak-kanak Autistik Mengikut Arahan

little-girl-drinking-milk-park-min

Tingkah laku kooperatif (kerjasama) membantu kanak-kanak berjaya di sekolah, dalam perhubungan sosial dengan orang lain dan dalam aktiviti kokurikulum. Ia juga penting untuk kehidupan yang bahagia dan harmoni.

Kerjasama melibatkan beberapa kemahiran penting seperti berkongsi, bergilir-gilir dan mengikut arahan daripada orang lain. Kanak-kanak memerlukan kemahiran ini untuk berkomunikasi dan bergaul dengan orang lain dalam kebanyakan situasi sosial.

Tetapi, mengapa sesetengah kanak-kanak autistik sukar bekerjasama?

Ramai ibu bapa kanak-kanak autistik sering menghadapi cabaran untuk meminta anak mereka mendengar atau mengikut arahan. Tingkah laku tidak kooperatif ini biasanya mengganggu kehidupan seharian mereka. Terdapat beberapa sebab mengapa mereka bertindak sedemikian, antaranya kesukaran mereka untuk memahami arahan.

Kanak-kanak autistik yang lebih muda, atau kanak-kanak dengan kemahiran pertuturan yang terhad, sering mengalami kesukaran memahami arahan. Ini boleh menyukarkan mereka untuk bekerjasama.

Punca Kanak-kanak Autistik Tidak Mengikut Arahan

Ini boleh berlaku apabila :

  • Terlalu banyak arahan yang diterima.

Mereka selalunya memerlukan sedikit masa tambahan untuk memproses perkara yang anda minta mereka lakukan, lebih-lebih lagi apabila terlalu banyak arahan sekaligus.

  • Arahan yang diterima terlalu berat/sukar.

Kadang-kadang mereka tidak mempunyai kemahiran yang betul untuk melakukan apa yang diminta.

  • Arahan yang diterima terlalu samar-samar.

Mereka tidak jelas apa yang sepatutnya mereka lakukan.

Strategi Membimbing Kanak-kanak Autistik Mengikut Arahan

Berikut ialah satu strategi yang boleh anda cuba untuk membimbing anak anda mendengar dan mengikut sesuatu arahan :

LANGKAH 1


Langkah 1 ialah memberi arahan :

• Katakan kepada anak anda, ‘Hani, letak cawan atas meja’.
• Beri anak anda 5 saat untuk mengikut arahan anda.
• Jika anak anda memberi kerjasama, berikan pujian dan galakan yang bersemangat.
• Jika anak anda tidak memberi kerjasama dalam masa 5 saat, beralih ke langkah 2.

LANGKAH 2


Langkah 2 ialah memberi arahan sekali lagi dan tunjukkan kepada anak anda perkara yang anda mahu mereka lakukan :

• Katakan, ‘Hani, letak cawan atas meja’, dan tunjuk atau berjalan ke meja.
• Jika anak anda memberi kerjasama dalam masa 5 saat, berikan anak anda banyak pujian.
• Jika anak anda tidak memberi kerjasama dalam masa 5 saat selepas arahan dan demonstrasi anda, beralih ke langkah 3.

LANGKAH 3


Langkah 3 ialah memberi arahan sekali lagi dan gunakan bimbingan fizikal :

• Katakan, ‘Hani, letak cawan atas meja’, dan gunakan bimbingan tangan untuk meletakkan cawan ke atas meja.
• Jangan berhenti membimbing anak anda sehingga arahan selesai.

Kongsikan artikel ini

Facebook
Twitter
WhatsApp