Pernahkah anda melihat dua orang kanak-kanak mengalami kecederaan yang hampir sama, tetapi memberikan reaksi yang sangat berbeza? Seorang mungkin terus menangis dan memeluk ibu bapanya, manakala seorang lagi hanya mengadu sakit dan meneruskan aktiviti seperti biasa.
Adakah ini bermakna seorang kanak-kanak lebih “manja” atau mempunyai tahap kesakitan yang lebih rendah?
Sebenarnya, tidak semestinya. Kesakitan merupakan pengalaman yang bersifat peribadi. Walaupun terdapat kecederaan atau keadaan fizikal yang sama, cara seseorang mengalami dan menunjukkan kesakitan boleh dipengaruhi oleh pelbagai faktor, termasuk faktor biologi, psikologi dan sosial. Perkara ini juga terpakai kepada kanak-kanak.
Sakit bukan sekadar tentang kecederaan fizikal. Kita sering menganggap bahawa semakin teruk sesuatu kecederaan, semakin kuatlah kesakitan yang dirasai. Namun, pengalaman sakit tidak semudah itu. Kesakitan bukan hanya isyarat yang datang daripada bahagian tubuh yang cedera. Otak turut memainkan peranan dalam mentafsir dan memberikan makna kepada pengalaman tersebut. Faktor seperti emosi, perhatian, pengalaman terdahulu dan jangkaan terhadap kesakitan boleh mempengaruhi pengalaman seseorang terhadap sakit.
Sebagai contoh, seorang kanak-kanak mungkin pernah mengalami pengalaman yang tidak menyenangkan ketika mendapatkan suntikan. Apabila berhadapan dengan situasi yang sama pada masa akan datang, rasa takut terhadap pengalaman tersebut mungkin menyebabkan dia menjadi lebih cemas sebelum prosedur bermula.
Ini tidak bermaksud kesakitan itu “hanya dalam fikiran”. Sebaliknya, ia menunjukkan bahawa pengalaman sakit melibatkan hubungan yang kompleks antara tubuh, otak dan emosi.
Mengapa reaksi setiap anak berbeza?
1. Pengalaman terdahulu
Kanak-kanak belajar tentang kesakitan melalui pengalaman mereka.
Jika seorang kanak-kanak pernah jatuh dan mengalami kecederaan, pengalaman tersebut boleh mempengaruhi cara dia bertindak balas apabila mengalami situasi yang sama pada masa akan datang. Begitu juga dengan pengalaman di hospital atau klinik.
Pengalaman yang menakutkan atau menyakitkan sebelum ini boleh menyebabkan sesetengah kanak-kanak menjadi lebih berhati-hati atau cemas apabila berhadapan dengan situasi yang lebih kurang sama.
2. Rasa takut dan cemas
Emosi juga boleh mempengaruhi pengalaman kesakitan.
Apabila kanak-kanak berasa takut, mereka mungkin menjadi lebih fokus kepada rasa sakit yang dialami. Kebimbangan tentang apa yang akan berlaku seterusnya juga boleh membuatkan pengalaman tersebut terasa lebih mencabar. Contohnya, seorang kanak-kanak yang takut jarum mungkin sudah mula menangis apabila melihat picagari, walaupun suntikan tersebut belum diberikan.
Oleh itu, kadangkala apa yang menakutkan kanak-kanak bukan sahaja kesakitan yang sedang berlaku, tetapi juga apa yang mereka jangkakan akan berlaku.
3. Cara kanak-kanak memahami dan mengekspresikan sakit
Kanak-kanak juga berbeza dari segi cara mereka memahami dan menyampaikan kesakitan.
Ada yang mampu menerangkan, “Sakit dekat sini dan rasa macam berdenyut.” Ada pula yang hanya menangis, menjadi diam, enggan bergerak atau memegang bahagian tubuh yang sakit. Malah, kanak-kanak yang tidak menangis tidak semestinya mengalami kesakitan yang lebih ringan. Begitu juga, tangisan yang kuat tidak semestinya menunjukkan bahawa kecederaan tersebut lebih serius.
Kesakitan ialah pengalaman peribadi, dan tingkah laku seseorang hanyalah salah satu cara untuk menunjukkannya.
Peranan Ibu Bapa dalam Pengalaman Anak
Apabila anak mengadu sakit, reaksi ibu bapa juga penting. Melihat anak menangis atau kesakitan sememangnya boleh membuatkan ibu bapa berasa risau. Namun, cuba untuk kekal tenang dan memberi ruang kepada anak untuk menerangkan apa yang mereka rasa.
Daripada terus berkata:
“Tak sakit pun.”
Cuba gunakan:
“Mama tahu sakit. Cuba beritahu mama dekat mana yang sakit.”
Respons seperti ini membantu anak berasa bahawa pengalaman mereka didengari dan dipercayai.
Kajian menunjukkan bahawa cara ibu bapa bertindak balas terhadap kesakitan anak mempunyai kaitan dengan pengalaman dan fungsi kanak-kanak yang mengalami kesakitan berpanjangan. Faktor seperti kebimbangan ibu bapa, pemikiran yang terlalu negatif terhadap kesakitan anak serta tingkah laku yang terlalu melindungi telah dikaitkan dengan beberapa hasil berkaitan kesakitan dan fungsi kanak-kanak.
Namun begitu, hubungan ini tidak bermaksud bahawa ibu bapa menyebabkan kesakitan anak. Faktor keluarga, termasuk cara ibu bapa bertindak balas terhadap kesakitan anak, merupakan antara faktor yang berkait dengan pengalaman dan fungsi kanak-kanak yang mengalami kesakitan berpanjangan (Donnelly et al., 2020; Martí et al., 2025).
Apa yang boleh ibu bapa lakukan apabila anak sakit?
Apabila anak mengadu sakit, cuba dengarkan dan ambil aduan mereka dengan serius. Tanyakan soalan mudah seperti, “Dekat mana sakit?” atau “Bila mula sakit?” supaya anak dapat menerangkan apa yang mereka alami.
Ibu bapa juga boleh membantu dengan kekal tenang, menggunakan bahasa yang sesuai dengan usia anak dan memberikan rasa selamat. Aktiviti seperti pernafasan perlahan, bermain atau pengalihan perhatian yang sesuai boleh membantu anak menghadapi rasa tidak selesa.
Namun, strategi ini bukan pengganti pemeriksaan perubatan. Jika kesakitan berterusan, semakin teruk atau disertai tanda-tanda yang membimbangkan, dapatkan penilaian daripada profesional kesihatan.
Kesakitan Anak Bukan Pertandingan
Setiap kanak-kanak mempunyai cara yang berbeza dalam mengalami dan menunjukkan kesakitan. Ada yang menangis, ada yang diam, dan ada yang masih mahu bermain. Perbezaan ini tidak bermaksud seorang anak lebih manja atau lebih kuat daripada yang lain.
Kesakitan mungkin kelihatan sama dari luar, tetapi pengalaman merasainya tidak semestinya sama.
Jiwadamai menyediakan sokongan untuk pelbagai isu psikologi, daripada kanak-kanak hingga dewasa, sama ada berkaitan kesihatan mental atau perkembangan kanak-kanak secara menyeluruh. Pasukan klinikal kami merangkumi Pakar Psikiatri, Pakar Psikiatri Kanak-Kanak, Psikologi Klinikal, ahli terapi cara kerja (occupational therapist), serta ahli terapi pertuturan (speech therapist).
Sekiranya berminat, anda boleh menghubungi kami di talian 017-269 4852 (hotline isu dewasa) atau 011-5430 8949(hotline isu kanak-kanak & remaja) untuk membuat janji temu. Kami sedia memberikan bantuan dan sokongan kepada anda.
Ditulis oleh : Adriana Nabilah, Pelajar Psikologi KPJ Healthcare University
Disahkan oleh : Psikologis Klinikal Jiwadamai





