Autisme dalam Kalangan Dewasa 

FC27A8A8-958B-407D-ADA4-6DC2C795084F

Autism Spectrum Disorder (ASD) adalah gangguan perkembangan kompleks yang biasanya muncul dalam tempoh tiga tahun pertama kehidupan akibat gangguan neurologi yang mempengaruhi fungsi otak. 

Individu dengan autisme kebiasaannya menerima diagnosis pada lingkungan usia kanak-kanak. Menurut laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pada tahun 2021 sahaja, seramai 589 kanak-kanak berumur di bawah 18 tahun telah didiagnosis dengan Autism Spectrum Disorder (ASD). 

Disebabkan gejala autisme yang sering muncul pada peringkat awal kanak-kanak, kebanyakan artikel dan imej berkaitan autisme lebih memberi tumpuan kepada kanak-kanak, sehinggakan kita terlepas pandang isu autisme dalam kalangan dewasa. 

Menurut Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), hanya 2.05 peratus daripada 15 peratus OKU di Malaysia yang berdaftar dengan JKM. Ini menunjukkan bahawa kemungkinan besar ramai individu dewasa tidak menerima diagnosis ketika mereka masih kanak-kanak. 

Maka, bagi individu dengan autisme yang tidak didiagnosis ketika mereka masih kanak-kanak, mendapatkan diagnosis autisme di usia dewasa boleh mendatangkan pelbagai manfaat. Khususnya, ia boleh menyediakan akses yang lebih baik kepada perkhidmatan dan sokongan. Sebagai contoh, pada tahun 2022, sebanyak RM102.5 juta telah diperuntukkan oleh kerajaan untuk Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Autisme di seluruh negara. 

Berikut adalah info lebih lanjut tentang ASD dalam kalangan dewasa.

Tanda dan gejala biasa ASD dalam kalangan dewasa termasuk: 

  • Sukar memulakan perbualan
  • Sukar menjalin dan mengekalkan hubungan persahabatan 
  • Tidak selesa membuat eye contact 
  • Sukar mengurus emosi
  • Minat yang melampau dalam satu topik tertentu
  • Monolog yang kerap mengenai topik yang sama 
  • Hipersensitiviti kepada bunyi atau bau yang kelihatan tidak mengganggu orang lain
  • Membuat bunyi yang tidak disengajakan, seperti berdehem berulang kali
  • Sukar memahami sindiran atau simpulan bahasa
  • Bercakap dengan nada monoton 
  • Lebih suka aktiviti bersendirian 
  • Sukar membaca emosi orang lain 
  • Sukar memahami riak wajah dan body language orang lain 
  • Mempunyai rutin harian yang tetap dan sukar menerima perubahan dalam rutin
  • Keperluan untuk menyusun barang dalam susunan tertentu
  • Social anxiety 

Untuk didiagnosis dengan ASD, seseorang individu tidak perlu menunjukkan kesemua simptom yang disenaraikan, sebaliknya mesti memenuhi gabungan kriteria tertentu merentas dua domain iaitu: 

  • Masalah komunikasi dan interaksi sosial
  • Tingkah laku, minat atau aktiviti yang berulang atau terhad

Diagnosis ASD dalam kalangan dewasa: 

Untuk menerima diagnosis autisme, anda boleh mencari pakar psikiatri dewasa atau ahli psikologi klinikal di kawasan anda yang mahir tentang autisme. Ahli pakar akan menjalankan penilaian pelbagai faktor untuk mendiagnosis autisme dalam kalangan dewasa. 

Penilaian ini termasuk penilaian secara peribadi, di mana anda akan ditemu bual secara meluas, serta penilaian menyeluruh tentang sejarah perkembangan anda daripada ibu bapa atau penjaga yang mengenali anda semasa zaman kanak-kanak anda. Selain itu, pasangan atau rakan karib juga boleh membantu memberikan maklumat yang diperlukan dengan melaporkan tingkah laku semasa anda. Pakar psikologi juga mungkin akan menjalankan ujian psikologi seperti Autism Diagnostic Observation, Edisi Kedua (ADOS-2) untuk mengesahkan diagnosis autisme. 

Jika anda atau orang yang anda kenali menunjukkan simptom-simptom ASD, anda boleh berjumpa dengan psikologis klinikal kami bagi menjalani penilaian autisme dewasa. 

Kongsikan artikel ini

Facebook
Twitter
WhatsApp