Antara Kasih Sayang dan Keletihan: Memahami “Parental Burnout”

Blogpost Antara Kasih Sayang dan Keletihan Memahami Parental Burnout - Gambar Blogpost Antara Kasih Sayang dan Keletihan_ Memahami Parental Burnout

Menjadi ibu bapa sering digambarkan sebagai satu pengalaman yang penuh dengan kasih sayang dan kebahagiaan. Namun begitu, ada satu ketika yang mungkin pernah dialami oleh hampir setiap ibu bapa, tetapi jarang dibincangkan dalam buku-buku keibubapaan. Ia mungkin berlaku pada pukul 3 pagi ketika anak masih belum tidur, atau pada pukul 6 petang apabila makanan yang disediakan jatuh ke lantai buat kali ketiga dalam minggu yang sama.

Pada saat-saat seperti ini, keibubapaan boleh terasa sangat mencabar. Tanggungjawab yang berterusan, kurang rehat dan tekanan harian boleh menyebabkan ibu bapa berasa terlalu penat, bukan sahaja secara fizikal tetapi juga emosi.

Anda bukan sekadar penat, tetapi mungkin berasa seperti sudah kehabisan tenaga untuk terus memberi. Apabila keletihan fizikal dan emosi ini berpanjangan, ia mungkin berkaitan dengan parental burnout.

Apa itu Parental Burnout?

Parental burnout merujuk kepada keadaan keletihan fizikal dan emosi yang berpanjangan akibat tuntutan dalam peranan sebagai ibu bapa atau penjaga. Ia boleh berlaku apabila tanggungjawab dan aktiviti keibubapaan menjadi terlalu banyak sehingga melebihi kemampuan seseorang ibu bapa untuk menghadapinya.

Jika keadaan ini tidak ditangani, parental burnout bukan sahaja boleh menjejaskan kesejahteraan emosi ibu bapa, malah turut mempengaruhi hubungan dengan anak dan suasana dalam keluarga. Ibu bapa mungkin menjadi lebih mudah marah, kurang sabar, berasa jauh secara emosi daripada anak atau hilang kepuasan dalam menjalankan peranan sebagai ibu bapa. Dalam jangka panjang, keadaan ini juga boleh memberi kesan kepada kesejahteraan emosi dan perkembangan anak. Oleh itu, mengenal pasti tanda-tanda parental burnout dan mendapatkan sokongan lebih awal adalah penting.

Apakah tanda-tanda Parental Burnout?

Jadi, bagaimana parental burnout boleh dilihat? Menurut ahli psikologi Isabelle Roskam dan Moïra Mikolajczak, terdapat beberapa tanda utama yang boleh membantu ibu bapa mengenal pasti keadaan ini. 

1. Keletihan Emosi Akibat Peranan Sebagai Ibu Bapa (Emotional Exhaustion)

Ibu bapa mungkin berasa terlalu penat secara fizikal dan emosi akibat tuntutan keibubapaan yang berterusan. Keletihan ini bukan sekadar penat selepas seharian menguruskan anak, tetapi boleh menyebabkan ibu bapa berasa seperti sudah kehabisan tenaga untuk terus memberi perhatian dan sokongan kepada anak.

2. Menjauhkan Diri Secara Emosi Daripada Anak (Emotional Detachment)

Apabila keletihan menjadi semakin berpanjangan, ibu bapa mungkin mula menjauhkan diri secara emosi daripada anak. Mereka mungkin masih menjalankan tanggungjawab asas seperti biasa, tetapi kurang mempunyai tenaga untuk berinteraksi secara bermakna, bermain atau meluangkan masa berkualiti bersama anak.

3. Rasa Kurang Berkesan dan Hilang Kepuasan Sebagai Ibu Bapa (Ineffectiveness)

Parental burnout juga boleh menyebabkan ibu bapa berasa kurang berkesan dalam menjalankan peranan mereka. Mereka mungkin mula meragui kemampuan diri dan berasa seperti tidak cukup baik sebagai ibu bapa. Lama-kelamaan, perasaan puas dan gembira yang sebelum ini dikaitkan dengan keibubapaan juga boleh berkurangan.

Bagaimana Parental Burnout boleh mempengaruhi anak?

Kanak-kanak sangat peka terhadap perubahan emosi ibu bapa. Walaupun mereka mungkin belum mampu memahami atau meluahkan apa yang sedang berlaku, mereka boleh menyedari apabila ibu bapa kelihatan tegang, terlalu penat atau kurang responsif. Apabila ibu bapa mengalami parental burnout, anak mungkin memberikan respons emosi dan tingkah laku tertentu.

1. Menyerap Tekanan Di Sekeliling

Kanak-kanak belajar untuk mengawal emosi dengan bantuan dan tindak balas daripada ibu bapa. Oleh itu, apabila ibu bapa sering kelihatan tegang, cemas atau mudah marah, anak juga mungkin berasa kurang selamat dan menjadi lebih gelisah.

Sebagai contoh, anak mungkin menjadi lebih sensitif, mudah menangis atau sukar menenangkan diri. Ini bukan bermaksud ibu bapa sengaja menyebabkan anak berasa tertekan, tetapi emosi ibu bapa boleh mempengaruhi suasana emosi di rumah.

2. Lebih Kerap Mencari Perhatian

Apabila ibu bapa menjadi kurang responsif atau menjauh secara emosi akibat keletihan, anak mungkin cuba mendapatkan semula perhatian mereka. Ini boleh dilihat melalui tingkah laku seperti lebih kerap merengek, membuat perangai, mengalami tantrum atau menjadi lebih manja.

Bagi anak, tingkah laku ini mungkin merupakan cara mereka untuk mencari hubungan dan perhatian daripada ibu bapa.

3. Mengalami Kekeliruan Emosi dan Rasa Bersalah

Kanak-kanak, terutamanya pada usia yang lebih muda, mungkin belum memahami emosi ibu bapa dengan baik. Apabila melihat ibu bapa mudah marah, menangis atau kelihatan terlalu penat, mereka mungkin menyangka bahawa keadaan tersebut berpunca daripada diri mereka sendiri.

Sebagai contoh, anak mungkin terfikir, Adakah Mama marah sebab saya buat salah? Pemikiran seperti ini boleh menyebabkan anak berasa keliru atau bersalah.

Penting untuk difahami bahawa kesan ini tidak berlaku secara automatik kepada semua anak. Setiap kanak-kanak memberi tindak balas yang berbeza. Namun, memahami bagaimana parental burnout boleh mempengaruhi hubungan ibu bapa dan anak boleh membantu ibu bapa mengenal pasti keperluan untuk mendapatkan sokongan lebih awal.

Bagaimana menguruskan Parental Burnout?

Menguruskan parental burnout bukan bermaksud ibu bapa perlu mengubah segala-galanya dalam hidup dalam satu masa. Kadangkala, perubahan kecil dan sokongan yang sesuai sudah cukup untuk membantu mengurangkan beban yang dirasai. Pengurusan parental burnout boleh melibatkan sokongan psikologi, teknik pengurusan tekanan, sokongan sosial dan strategi penjagaan diri.

1. Kenali Had Diri dan Dapatkan Sokongan

Langkah pertama ialah mengakui bahawa anda sedang berasa penat dan tidak perlu memikul semua tanggungjawab seorang diri. Cuba kenal pasti perkara yang paling banyak menghabiskan tenaga anda dan fikirkan apa yang boleh dikurangkan, dikongsi atau disusun semula.

Jangan takut untuk berkongsi perasaan dengan pasangan, ahli keluarga atau individu yang dipercayai. Meminta bantuan bukanlah tanda kelemahan, sebaliknya satu langkah penting untuk mengurangkan beban emosi. Kadangkala, mengetahui bahawa ibu bapa lain juga pernah melalui pengalaman yang sama boleh membuatkan seseorang berasa kurang keseorangan.

2. Kenal Pasti Punca Tekanan

Cuba lihat semula perkara yang paling banyak menyumbang kepada keletihan anda. Adakah ia disebabkan oleh terlalu banyak tanggungjawab, jadual anak yang padat atau kurangnya sokongan?

Tidak semua punca tekanan boleh diubah serta-merta. Namun, mengenal pasti perkara yang boleh diubah boleh membantu anda mencari cara untuk mengurangkan beban secara berperingkat.

3. Mulakan Dengan Perubahan Kecil

Apabila terlalu penat, perubahan besar mungkin terasa mustahil untuk dilakukan. Oleh itu, mulakan dengan perkara kecil. Sebagai contoh, bahagikan tugasan rumah dengan pasangan atau anak, kurangkan aktiviti yang tidak terlalu penting atau susun semula rutin harian. Perubahan kecil yang konsisten boleh membantu mengurangkan tekanan yang terkumpul.

4. Kurangkan Tekanan Untuk Menjadi Ibu Bapa “Sempurna”

Jangkaan yang terlalu tinggi terhadap diri sendiri boleh menambahkan tekanan keibubapaan. Pemikiran seperti “Saya sepatutnya…” atau “Saya patut buat lebih…” mungkin menyebabkan ibu bapa berasa semakin bersalah.

Cuba lihat keadaan diri secara lebih realistik. Anda tidak perlu melakukan segala-galanya dengan sempurna. Apa yang mampu anda lakukan pada hari tersebut mungkin sudah mencukupi berdasarkan tenaga dan sumber yang anda ada.

5. Ambil Rehat Pendek

Rehat tidak semestinya perlu melibatkan percutian atau masa yang panjang. Microbreaks atau rehat pendek juga boleh membantu ibu bapa mendapatkan sedikit ruang untuk diri sendiri. Beberapa minit untuk duduk dengan tenang, menarik nafas atau melakukan sesuatu yang memberi ketenangan boleh menjadi langkah kecil untuk menguruskan tekanan harian.

6. Kembali Membina Hubungan Bermakna Dengan Anak

Parental burnout boleh menyebabkan ibu bapa berasa jauh secara emosi daripada anak. Oleh itu, cuba luangkan masa untuk melakukan aktiviti kecil yang bermakna bersama anak.

Ia tidak semestinya aktiviti yang besar atau memerlukan banyak tenaga. Bermain seketika, berjalan bersama atau meluangkan masa tanpa gangguan boleh membantu ibu bapa kembali menghargai sisi bermakna dalam keibubapaan.

7. Dapatkan Sokongan Profesional

Jika parental burnout mula menjejaskan fungsi harian, emosi atau hubungan dengan anak, mendapatkan sokongan profesional boleh membantu. Ahli psikologi boleh membantu ibu bapa memahami punca tekanan, membina kemahiran keibubapaan yang bersesuaian serta mencari strategi untuk menguruskan tekanan dengan lebih baik.

Mendapatkan bantuan bukan bermaksud anda gagal sebagai ibu bapa. Sebaliknya, ia merupakan satu langkah untuk menjaga kesejahteraan diri dan keluarga.

Kesimpulan

Menjadi ibu bapa bukanlah satu peranan yang mudah. Tekanan dan tanggungjawab yang berterusan boleh menyebabkan ibu bapa mengalami keletihan fizikal dan emosi. Parental burnout bukan bermaksud ibu bapa tidak menyayangi anak atau gagal menjalankan peranan mereka.

Ibu bapa juga perlu dijaga. Menjaga diri bukan bermaksud mementingkan diri sendiri, tetapi membantu ibu bapa mempunyai tenaga dan ruang emosi untuk terus menyokong anak dengan lebih baik.

Jiwadamai menyediakan sokongan untuk pelbagai isu psikologi, daripada kanak-kanak hingga dewasa, sama ada berkaitan kesihatan mental atau perkembangan kanak-kanak secara menyeluruh. Pasukan klinikal kami merangkumi Pakar Psikiatri, Pakar Psikiatri Kanak-Kanak, Psikologi Klinikal, ahli terapi cara kerja (occupational therapist), serta ahli terapi pertuturan (speech therapist).

Sekiranya berminat, anda boleh menghubungi kami di talian 017-269 4852 (hotline isu dewasa) atau 011-5430 8949(hotline isu kanak-kanak & remaja) untuk membuat janji temu. Kami sedia memberikan bantuan dan sokongan kepada anda.

Ditulis oleh : Murshida Haikal, Pelajar Psikologi UNIMAS
Disahkan oleh : Psikologis Klinikal Jiwadamai

Kongsikan artikel ini

Facebook
Twitter
WhatsApp