Menjadi ibu bapa merupakan salah satu fasa kehidupan yang penuh dengan pelbagai tanggungjawab dan cabaran, yang membuatkan seorang ibu ataupun bapa perlu berhadapan dengan pelbagai emosi. Ibu bapa mungkin berhadapan dengan anak yang sukar dikawal, mempunyai konflik dalam mendidik anak atau berasa buntu dalam menguruskan masa untuk semua tuntutan harian. Dalam kesibukan menguruskan keperluan anak, pekerjaan dan hal-hal rumah tangga, ibu bapa mungkin sudah terbiasa meletakkan keperluan diri mereka di tempat yang terakhir.
Ada yang beranggapan bahawa selepas mempunyai anak, masa untuk diri sendiri bukan lagi sesuatu yang penting. Malah, mengambil sedikit masa untuk berehat atau melakukan perkara yang disukai sendiri kadangkala membuatkan ibu bapa rasa bersalah, seolah-olah mereka sedang mementingkan diri atau mengabaikan anak. Namun, menjaga diri tidak semestinya bermaksud mementingkan diri. Sebaliknya, memenuhi keperluan diri dan menjaga kesejahteraan psikologi sebagai ibu bapa merupakan sebahagian daripada usaha untuk memastikan ibu bapa dapat terus menjalankan peranan mereka dengan baik dan menikmati pengalaman menjadi seorang ibu atau bapa.
Cabaran di Sebalik Tanggungjawab Keibubapaan
Dunia keibubapaan datang bersama pelbagai tuntutan harian. Ibu bapa mungkin perlu membahagikan masa antara pekerjaan, menjaga dan menyediakan keperluan anak, menguruskan rumah, meluangkan masa bersama keluarga dan pada masa yang sama, cuba mencari sedikit ruang untuk diri sendiri.
Apabila terlalu banyak perkara yang perlu dilakukan dalam satu masa, ibu bapa mungkin berasa tertekan, letih atau seolah-olah tidak mempunyai masa yang cukup untuk memenuhi semua tuntutan tersebut. Jika tekanan dan tuntutan ini berpanjangan tanpa ruang untuk berehat atau mendapatkan sokongan, ia boleh menyumbang kepada tekanan keibubapaan ataupun parental burnout. Parental burnout merujuk kepada keadaan keletihan fizikal dan emosi yang berpanjangan akibat tuntutan dalam peranan sebagai ibu bapa atau penjaga. Keadaan ini boleh berlaku apabila tanggungjawab dan aktiviti keibubapaan menjadi terlalu banyak sehingga melebihi kemampuan seseorang ibu bapa untuk menghadapinya (Ren et al., 2024).
Apa Itu Kesejahteraan Psikologi Ibu Bapa dan Mengapa Ia Penting?
Kesejahteraan psikologi ibu bapa merujuk kepada keadaan di mana ibu bapa dapat menjaga keperluan emosi, fizikal dan psikologi sambil menjalankan peranan dan tanggungjawab sebagai ibu bapa. Ia bukan bermaksud ibu bapa perlu sentiasa berasa gembira, tenang dan bebas daripada tekanan, sebaliknya, ibu bapa yang mempunyai kesejahteraan psikologi yang baik masih boleh berasa penat, sedih, marah atau tertekan, tetapi mempunyai keupayaan untuk mengenali serta mengurus emosi tersebut, keupayaan untuk mendapatkan sokongan dan terus menjalani kehidupan dengan penuh makna.
Jadi, mengapa ianya penting?
Perlu kita tahu bahawa ibu bapa juga mempunyai keperluan emosi, fizikal dan psikologi yang perlu diberi perhatian. Jika tidak, semua keletihan, perasaan yang dipendam dan tekanan yang dibiarkan berlarutan ini boleh mempengaruhi kesejahteraan ibu bapa. Seseorang mungkin mula berasa mudah marah, sentiasa lesu, kurang berminat untuk melakukan aktiviti yang biasanya disukai atau sukar menikmati kehidupan seharian.
Apabila keperluan diri turut diberi perhatian, ibu bapa dapat menjalani kehidupan yang lebih sihat dan seimbang. Mereka juga berpeluang untuk menikmati peranan sebagai ibu atau bapa tanpa perlu mengetepikan minat, keperluan dan kehidupan mereka sendiri. Menjadi ibu bapa tidak bermaksud seseorang perlu mengetepikan seluruh kehidupannya sendiri semata-mata untuk memenuhi setiap tanggungjawab yang ada.
Hubungan dengan Anak, Pasangan, Ahli Keluarga dan Rakan
Pada masa yang sama, kesejahteraan ibu bapa juga berkait dengan cara mereka berinteraksi dengan anak. Apabila seseorang berada dalam keadaan terlalu tertekan atau keletihan, mereka mungkin mempunyai kesukaran untuk mengawal emosi, bersabar atau memberikan respons yang diperlukan oleh anak. Sebuah kajian sistematik dan meta-analysis oleh Ribas et al. (2024) menunjukkan terdapat hubungan antara tekanan ibu bapa dengan masalah emosi dan tingkah laku dalam kalangan anak. Justeru, menjaga kesejahteraan diri boleh menjadi salah satu langkah untuk membantu ibu bapa hadir secara emosi dalam hubungan mereka dengan anak.
Menjaga kesejahteraan diri bukan sahaja boleh memberi manfaat kepada hubungan dengan anak, tetapi juga kepada hubungan dengan pasangan, rakan-rakan dan ahli keluarga yang lain. Apabila emosi dan diri kita berada dalam keadaan yang lebih baik, kita mungkin lebih mampu untuk berkomunikasi dengan tenang dan memberikan perhatian kepada orang di sekeliling kita. Oleh itu, menjaga diri bukanlah satu bentuk keegoan, terutamanya bagi mereka yang bergelar ibu bapa. Apabila ibu bapa mempunyai ruang untuk berehat, mengurus emosi dan memenuhi keperluan diri, mereka berpeluang untuk menjalani peranan sebagai ibu bapa dengan lebih bermakna dan menikmati pengalaman membesarkan anak mereka.
Penjagaan Diri yang Realistik
Penjagaan diri tidak semestinya bermaksud perlu mempunyai masa berjam-jam untuk melakukan aktiviti yang menyeronokkan. Ia boleh bermula dengan perkara yang lebih sederhana seperti:
1. Kenali had diri sendiri.
Berundur seketika apabila merasakan diri tidak mampu untuk menjalankan sesuatu tugas. Dapatkan bantuan dan sokongan, dan beri masa untuk diri anda berehat.
2. Bahagikan tugas.
Tidak semua perkara perlu dipikul seorang diri. Kongsi tugasan rumah dan urusan penjagaan anak bersama pasangan atau minta pertolongan daripada ahli keluarga jika keadaan mengizinkan.
3. Luangkan masa untuk perkara yang disukai.
Ibu bapa boleh melakukan sesuatu yang membuat diri rasa seronok atau tenang seperti membaca, menonton movie, bersenam, mendengar lagu, window shopping dan lain-lain mengikut cita rasa dan minat tersendiri. Aktiviti ini boleh dilakukan secara bersendirian ataupun bersama pasangan.
4. Bercakap dengan seseorang apabila diperlukan.
Berkongsi apa yang dirasai bersama pasangan, ahli keluarga atau rakan yang dipercayai boleh memberikan ruang untuk meluahkan perasaan dan mendapatkan sokongan. Elakkan memendam perasaan seorang diri.
5. Dapatkan bantuan profesional apabila diperlukan.
Jika keletihan, tekanan atau kesukaran mengurus emosi mula mengganggu kehidupan seharian, rumah tangga dan fungsi sebagai ibu bapa, pertimbangkan untuk mendapatkan bantuan daripada profesional kesihatan mental seperti kaunselor, ahli psikologi klinikal mahupun pakar psikiatri.
Ibu bapa tidak perlu memaksa diri untuk melakukan segala-galanya seorang diri. Meminta bantuan bukan bermaksud kita gagal menjalankan tanggungjawab sebagai ibu bapa. Sebaliknya, ia merupakan salah satu cara untuk memastikan tanggungjawab keibubapaan dapat dijalani dengan lebih sihat serta menunjukkan bahawa seseorang itu menyedari keperluan untuk menjaga kesihatan dan kesejahteraan dirinya.
Kesimpulan
Menjadi ibu bapa bukan tentang menjadi sempurna. Ada hari yang mudah dan ada hari yang mungkin terasa sangat mencabar. Apa yang penting ialah ibu bapa juga memberi ruang kepada diri sendiri untuk berehat, mengakui apabila mereka tidak mampu dan mendapatkan sokongan apabila diperlukan. Jaga diri bukan bermaksud kurang menyayangi anak. Kadangkala, dengan menjaga diri sendiri, kita sedang menyediakan ruang untuk terus hadir, menyayangi dan menjaga anak dengan sebaik mungkin.
Jiwadamai menyediakan sokongan untuk pelbagai isu psikologi, daripada kanak-kanak hingga dewasa, sama ada berkaitan kesihatan mental atau perkembangan kanak-kanak secara menyeluruh. Pasukan klinikal kami merangkumi Pakar Psikiatri, Pakar Psikiatri Kanak-Kanak, Psikologi Klinikal, ahli terapi cara kerja (occupational therapist), serta ahli terapi pertuturan (speech therapist).
Sekiranya berminat, anda boleh menghubungi kami di talian 017-269 4852 (hotline isu dewasa) atau 011-5430 8949(hotline isu kanak-kanak & remaja) untuk membuat janji temu. Kami sedia memberikan bantuan dan sokongan kepada anda.
Ditulis oleh : Wan Nur Aliah, Pelajar Psikologi UKM
Disahkan oleh : Psikologis Klinikal Jiwadamai





