Hubungan Parasosial : Sekadar Minat atau Obsesi?

Blogpost Hubungan Parasosial - Gambar Blogpost Hubungan Parasosial

Bayangkan situasi ini di mana anda sedang bosan melayari media sosial, lalu masuk menonton sesi livestream seorang selebriti atau pempengaruh kegemaran anda. Saja-saja mahu mencuba nasib, anda tinggalkan satu komen di ruangan chat. Tiba-tiba, idola anda itu membaca komen tersebut dengan kuat dan menjawabnya! Waktu itu, jantung rasa berdegup laju dan teruja kerana personaliti yang selama ini dirasa jauh di skrin skrin, rupanya sedar akan kewujudan anda. 

Perasaan dihargai itu lama-kelamaan membuatkan anda sentiasa mahu tahu perkembangan dirinya setiap hari. Daripada sekadar peminat biasa, anda mula meluangkan masa menghafal setiap butiran peribadinya seperti makanan kegemaran, nama kucing dan sehinggalah ke jadual hariannya. Malah, anda mula rasa cemburu atau kecewa sekiranya dia membalas komen peminat lain. Lebih parah, apabila idola tersebut mengumumkan dia sudah mempunyai kekasih, dunia anda rasa runtuh dan emosi anda terganggu secara mendalam akibat rasa dikhianati. 

Tanpa sedar, sempadan antara minat dan taksub digital ini sebenarnya telah mula kabur. Keadaan di mana anda merasakan wujudnya keintiman yang mendalam dengan figura media yang langsung tidak mengenali anda ini dikenali dalam dunia psikologi sebagai Hubungan Parasosial.

Apa itu Hubungan Parasosial?

Hubungan parasosial ialah ikatan emosi satu hala yang mendalam daripada sudut psikologi, di mana seseorang menghabiskan masa, tenaga dan emosi terhadap figura media (selebriti, pempengaruh, watak fiksyen, mahupun chatbot AI) yang langsung tidak menyedari kewujudan mereka. Hubungan ini merupakan pengalaman dalaman yang dicipta oleh minda individu itu sendiri (internally generated experience) hanya sebagai mainan minda tanpa sebarang respon dua hala (reciprocity).

Istilah ini diperkenalkan oleh pakar psikologi, Donald Horton dan R. Richard Wohl pada tahun 1956 apabila penonton televisyen mula membina “ilusi keintiman” (illusion of intimacy) dengan karakter skrin. Kini, perkembangan media sosial dan AI menjadikan hubungan ini semakin mudah terjalin.

Tanda-tanda Hubungan Parasosial

  • Merasakan ikatan emosi yang kuat terhadap personaliti media atau selebriti yang tidak mengenali anda secara peribadi.
  • Sentiasa mencari dan mengumpul maklumat secara terperinci mengenai kehidupan peribadi mereka.
  • Mempunyai kecenderungan untuk mempertahankan mereka (defensif) secara keterlaluan sekiranya terdapat pihak lain yang mengkritik atau tidak menyukai mereka.
  • Mengalami tindak balas emosi yang ketara terhadap sebarang kejayaan, kegagalan atau peristiwa penting yang menimpa kehidupan selebriti tersebut.
  • Mengalami perasaan cemburu apabila melihat tokoh tersebut berinteraksi dengan peminat lain atau menjalinkan hubungan dengan individu lain.

Punca Kita Cenderung Kepada Hubungan Parasosial

  • Keperluan Psikologi dalam Mengisi Kesunyian (Loneliness Relief)

Ketika fasa isolasi seperti yang berlaku semasa pandemik, hubungan parasosial ini berfungsi secara efektif sebagai pengganti kepada interaksi bersemuka. Kehadiran figura media secara konsisten mampu menawarkan sokongan emosi dan mengurangkan rasa sunyi yang mendalam dalam diri individu. Sebagai contoh, seseorang mungkin menonton video harian atau vlog santai daripada pencipta kandungan kegemaran mereka setiap hari untuk dijadikan sebagai peneman waktu makan malam. Tindakan ini secara tidak langsung berjaya mengurangkan rasa terasing dan sunyi apabila terpaksa tinggal bersendirian di rumah.

  • Keperluan Psikologi dalam Komuniti & Kepunyaan (Community Belonging)

Menyertai sesuatu kelompok peminat atau fandom membolehkan individu berkongsi minat yang sama, bertukar pendapat dan membincangkan aktiviti harian artis pujaan mereka. Hubungan dan interaksi ini secara langsung mencipta rasa kepunyaan (sense of belonging) yang sangat kuat dalam sesebuah komuniti digital. Sebagai contoh, peminat sering berkumpul di platform media sosial untuk membincangkan teori di sebalik lirik lagu terbaru Taylor Swift atau berkongsi pandangan tentang kemunculan semula (comeback) kumpulan K-Pop kegemaran mereka, sekali gus membuatkan mereka berasa diterima dalam satu kumpulan sosial yang besar.

Tips Seimbangkan Realiti dan Minat

  • Menyedari Sifat Hubungan Satu Hala vs Dua Hala

Keperluan kasih sayang dan kepunyaan (love and belonging) yang sihat serta berkekalan sepatutnya bersifat dua hala iaitu saling berinteraksi dan menghargai. Memandangkan hubungan parasosial hanya bersifat satu hala, kita disarankan untuk bersederhana dengan menetapkan sempadan yang jelas bahawa figura tersebut tidak mengenali kita secara peribadi.

  • Menjadikan Minat Sebagai Jambatan ke Dunia Nyata

Meminati seseorang figura tidaklah salah sepenuhnya sekiranya disalurkan secara positif. Kita boleh menggunakan minat tersebut sebagai medium untuk membina hubungan sosial yang tulen di dunia nyata, contohnya dengan menyertai kelab peminat (fan club) bagi menukarkan tenaga satu hala kepada interaksi dua hala bersama rakan-rakan baharu.

  • Mengekalkan Kesedaran Diri (Self-Awareness)

Sentiasa peka terhadap perubahan tingkah laku sendiri bagi memastikan minat ini tidak mengganggu komitmen harian atau emosi. Sekiranya kita menyedari minat tersebut mula menjurus ke arah yang tidak sihat seperti timbul rasa cemburu melampau atau gangguan emosi yang ekstrem, kita disarankan untuk mengurangkan masa skrin dan kembali mengalihkan fokus kepada hubungan sebenar di sekeliling kita.

Kesimpulan

Secara keseluruhannya, meminati seseorang figura merupakan lumrah dalam era digital, namun garis pemisah dan taksub amat mudah kabur tanpa kesedaran kendiri yang tinggi. Hubungan parasosial yang bersifat satu hala ini sering kali dijadikan jalan pintas bagi mengisi krisis kesunyian serta memenuhi keperluan psikologi terhadap rasa kepunyaan (love and belonging). Oleh itu, langkah mengimbangi realiti dan minat adalah sangat kritikal iaitu peminat sewajarnya memanfaatkan komuniti peminat untuk membina interaksi sosial dua hala yang tulen di dunia nyata di samping menetapkan sempadan minda yang jelas tentang batas realiti. Akhir kata, bersederhanalah dalam mengagumi sesebuah figura dan sentiasalah mengutamakan serta menghargai hubungan sebenar bersama individu yang wujud di sekeliling kita.

Jiwadamai menyediakan sokongan untuk pelbagai isu psikologi, daripada kanak-kanak hingga dewasa, sama ada berkaitan kesihatan mental atau perkembangan kanak-kanak secara menyeluruh. Pasukan klinikal kami merangkumi Pakar Psikiatri, Pakar Psikiatri Kanak-Kanak, Psikologi Klinikal, ahli terapi cara kerja (occupational therapist), serta ahli terapi pertuturan (speech therapist).

Sekiranya berminat, anda boleh menghubungi kami di talian 017-269 4852 (hotline isu dewasa) atau 011-5430 8949(hotline isu kanak-kanak & remaja) untuk membuat janji temu. Kami sedia memberikan bantuan dan sokongan kepada anda.

Ditulis oleh : Nurul Farah Iman, pelajar psikologi UTM
Disahkan oleh : Psikologis Klinikal Jiwadamai

Kongsikan artikel ini

Facebook
Twitter
WhatsApp