Pelat adalah satu masalah pertuturan di mana kanak-kanak sukar menghasilkan bunyi pertuturan dengan betul dan bersesuaian dengan umurnya, yang membuatkan percakapan mereka sukar untuk difahami. Ini sering dilihat dalam kanak-kanak yang masih kecil dan ia kerap dianggap ‘comel’ di mata ibu bapa.
Bagi kanak-kanak di bawah usia lima tahun, kesukaran untuk menyebut sesetengah perkataan masih boleh dikatakan sebagai normal kerana mereka sedang melalui proses perkembangan bahasa dan pertuturan. Namun, apabila usia mencecah tujuh tahun, kanak-kanak sepatutnya sudah mampu bercakap tanpa pelat, jelas dan mudah difahami.
Mungkin agak sukar bagi sesetengah ibu bapa untuk menyedari percakapan anak yang pelat kerana anda memahami apa yang cuba disampaikan oleh anak anda.
Tanda-tanda Pelat
Untuk membantu ibu bapa mengesan percakapan pelat, berikut adalah antara tanda-tanda pelat yang sering didapati di dalam kalangan kanak-kanak:
- Menukarkan bunyi bagi huruf: Menukarkan “r” dengan “w”, seperti “rama-rama” menjadi “wama-wama”
- Percakapan yang tidak lengkap: Meninggalkan sebutan suku kata depan seperti “nasi” menjadi “asi” atau “si”
- Membuang suku kata yang tidak ditekankan: Membuang “re” dalam “kereta”, menjadikannya “keta”
- Menambah bunyi atau suku kata yang tidak sepatutnya ada: “coklat” menjadi “cokolat”
Bagi kanak-kanak yang berusia lima ke enam tahun, ibu bapa mungkin perlu meminta mereka untuk mengulangi ayat yang disebut untuk memahami percakapan mereka. Mereka juga mungkin menjadi pendiam kerana berasa tidak yakin untuk bercakap dengan orang lain.
Kanak-kanak yang Berisiko
Pada masa ini, punca utama bagi pelat masih belum diketahui. Namun, terdapat sebahagian kanak-kanak yang berisiko menghadapi masalah pertuturan ini.
Antaranya adalah kanak-kanak yang mempunyai:
- Isu perkembangan seperti Autism Spectrum Disorder (ASD)
- Isu genetik seperti Down Syndrome
- Masalah pendengaran
- Isu berkaitan dengan sistem saraf seperti Cerebral Palsy
- Isu fizikal seperti sumbing bibir, kedudukan gigi, rahang atau lidah
Terapi Pertuturan Kanak-Kanak
Tidak dinafikan bahawa kanak-kanak yang bercakap pelat sangat comel. Tetapi, jika gaya pertuturan ini dibiarkan pada masa yang lama, ianya akan menjadi lebih sukar untuk mengatasi masalah pelat ini.
Oleh itu, jika anda mempunyai kebimbangan tentang masalah pelat yang anak anda hadapi, rujuk anak anda kepada terapis pertuturan kami.
Terapis akan melakukan ujian penilaian awal untuk mengkaji ciri-ciri pertuturan anak anda dan menjalankan intervensi sekiranya diperlukan bagi membantu mengatasi masalah pelat anak anda.
Diagnosis awal dan terapi pertuturan didapati sangat berkesan dalam mencegah isu pertuturan daripada menjadi lebih teruk yang seterusnya mungkin boleh memberikan kesan negatif terhadap keupayaan belajar dan bersosial kanak-kanak. Malah, kebanyakan kanak-kanak yang menjalani terapi pertuturan berjaya belajar untuk berkomunikasi dengan baik.