5 Perkara yang Anda Perlu Tahu Tentang Speech Delay

pexels-rodnae-productions-8298456

Anak anda lambat bercakap?

Tuah ayam dapat dilihat, tuah manusia siapa yang tahu. Begitulah juga dengan kehidupan kita kerana bukan semua ibu bapa di dunia ini diberi peluang untuk membesarkan anak yang lambat bercakap ataupun dikenali sebagai speech delay.

 Ia bukanlah sesuatu yang buruk atau beban bagi ibu bapa, namun cuba lihat dari sisi positif. Sebagai ibu bapa yang mempunyai anak yang lambat bercakap, anda dapat memperoleh lebih banyak ilmu mengenai aspek pertuturan dan bahasa anak anda. Di samping itu, anda juga dapat menambah ilmu tentang keibubapaan.

Apakah itu speech delay? Speech delay adalah satu kelewatan dalam perkembangan anak anda yang melibatkan pertuturan mereka. Ia adalah ketidakupayaan anak anda untuk menyebut sesuatu perkataan itu dengan jelas dan boleh jadi juga mereka tidak boleh menyebut perkataan itu sama sekali.

Ia mungkin sukar untuk ibu bapa yang pertama kali menghadapi situasi ini kerana anak-anak yang mempunyai speech delay hanya boleh menggunakan frasa atau perkataan yang tidak jelas untuk menggambarkan perasaan mereka.

Perkembangan pertuturan dan bahasa anak dilihat sebagai satu pencapaian penting terutamanya apabila anak anda boleh menyebut perkataan pertamanya yang mempunyai maksud. Namun, setiap kanak-kanak atau bayi membesar dengan kadar pertumbuhan yang berbeza termasuk dari segi pertuturan mereka.

Jadi apakah yang dikategorikan sebagai lewat pertuturan? 

Berikut adalah beberapa ciri-ciri yang boleh ibu bapa jadikan sebagai panduan untuk memantau perkembangan pertuturan dan bahasa anak anda supaya anda boleh mengambil tindakan awal sekiranya diperlukan.

Ciri-ciri anak anda mungkin mempunyai speech delay:

  • Tiada babbling pada usia 9 bulan.
  • Tiada perkataan pertama sehingga usia 15 bulan.
  • Tiada perkataan yang disebut secara konsisten sebelum usia 18 bulan.
  • Tiada gabungan perkataan sehingga usia 24 bulan
  • Masalah memahami pertuturan anak anda yang pada usia 24 bulan.
  • Orang asing/luar tidak memahami pertuturan anak anda pada usia 36 bulan.
  • Perkembangan pertuturan yang perlahan atau terbantut.
  • Tidak berminat untuk berkomunikasi dalam kehidupan seharian.


Pasti anda tertanya-tanya bukan, apakah sebab atau punca yang menyebabkan anak anda mengalami speech delay? Ini adalah beberapa punca yang lazim dikaitkan dengan speech delay:

  • Masalah oral-motor.

Ia dapat membawa kepada kecacatan dalam mulut atau dipanggil sebagai oral impairment di mana terdapat bahagian dalam mulut anak anda yang tidak dapat berfungsi dengan baik sehingga mengganggu pertuturan mereka.

  • Hilang pendengaran.

Anak anda tidak memberi respon apabila anda memanggil nama mereka berulang kali ataupun apabila anda bercakap dengan mereka. Dalam kes ini, biasanya ibu bapa dinasihatkan untuk berjumpa dengan Doktor Pakar ENT (Ear/Nose/Throat) atau Ear Surgeon untuk melakukan pemeriksaan dan mendapatkan  khidmat rawatan atau nasihat.

  • Autism Spectrum Disorder (ASD)

Bagi kanak-kanak autistik, ia tidak asing lagi untuk dikaitkan dengan speech delay kerana tumbesaran atau perkembangan keseluruhan mereka sememangnya sedikit lambat dan berbeza jika dibandingkan dengan kanak-kanak yang normal.

  • Kurang rangsangan.

Hal ini boleh terjadi apabila ibu bapa kurang merangsang pertuturan anak anda. Ibu bapa perlu sentiasa memberi rangsangan supaya anak anda dapat membiasakan diri dan supaya otak mereka melalui proses pembelajaran itu sekali gus merangsang bahagian otak yang dikaitkan dengan pertuturan.

  • Masalah vocal cord.

Peti suara anak anda mungkin mempunyai masalah seperti kurang tekanan udara dari dalam untuk menggerakkan peti suara mereka untuk menghasilkan bunyi. Ia boleh juga berpunca daripada pernafasan yang lemah. Ibu bapa boleh cuba lakukan senaman atau latihan sokongan pernafasan untuk anak anda di rumah.

  • Cleft lip/palate (sumbing).

Ia boleh terjadi pada bahagian mulut atau pada bahagian lelangit anak anda, atau kedua-duanya sekali.

Tips serta aktiviti yang ibu bapa boleh lakukan di rumah bersama anak anda untuk merangsang perkembang pertuturan mereka:

  • Mula bercakap dengan anak anda walaupun seawal usia 0 tahun kerana mereka mendapat manfaat daripadanya hanya dengan mendengar percakapan anda.
  • Gunakan kaedah self talk di mana apabila anda melakukan sesuatu perbuatan, sebutkan kepada anak anda apa yang anda lakukan. Ramai ibu bapa yang tidak melakukan perkara ini kerana berasa kekok. Namun, percayalah bahawa ia amat membantu dalam mengembangkan pertuturan anak anda.
  • Gunakan juga kaedah parallel talk. Ia adalah kaedah yang sama seperti self talk tetapi kaedah ini menegaskan anda untuk menyebut perbuatan anak anda bukannya perbuatan anda.
  • Nyanyikan lagu untuk anak anda bersama muzik. Hal ini kerana, mereka dapat belajar perkataan baharu di samping membina kemahiran memori dan kemahiran mendengar mereka. Ia juga dapat mengajar mereka untuk menyatakan idea dengan menggunakan perkataan.
  • Gunakan kaedah expansion untuk anak anda yang sudah boleh bercakap beberapa perkataan. Ia adalah kaedah di mana anda menambah perkataan atau maklumat baharu ke dalam ayat mereka. Contohnya: “Nak makan” kepada “Nak makan nasi”.


Untuk mendapatkan rawatan yang lebih lanjut serta penjelasan tentang isu anak anda lambat bercakap, anda dinasihatkan untuk berjumpa dengan terapis pertuturan (speech therapist) kami untuk mendapatkan penilaian dan intervensi awal. Bantu anak anda demi masa depan mereka.

Kongsikan artikel ini

Facebook
Twitter
WhatsApp