Cabaran Keibubapaan Apabila Mengalami Masalah Kesihatan Mental

pexels-ketut-subiyanto-4474059-min

“Orang lain pun penat, sama je stres, boleh je jaga anak mereka dengan baik. Kenapa awak tak boleh pulak?”

Adakah anda berasa terbeban untuk mengasuh anak-anak, sementara anda juga mempunyai masalah kesihatan mental? Mungkin anda rasa lebih stres, murung (depressed), bimbang (anxious) dan rasa proses keibubapaan ini lebih sukar bagi anda berbanding ibu bapa yang lain? 

Mungkin mudah untuk menyalahkan masalah kesihatan mental atas sebarang cabaran keibubapaan yang anda hadapi, atau anda mungkin memaksa diri untuk mengimbangi ketidaksempurnaan tersebut dengan cuba menjadi “ibu bapa yang ideal.” Tetapi penting untuk diingatkan bahawa tiada ibu bapa yang sempurna.

Setiap ibu atau bapa pasti mengharungi beberapa cabaran semasa mengasuh anak-anak mereka, lebih-lebih lagi ketika anak sedang membesar dan berkembang. Tetapi dengan masalah kesihatan mental, tekanan dalam mengasuh anak-anak lebih sukar untuk diatasi.

Tips keibubapaan dengan masalah kesihatan mental

  • Kekalkan hubungan dengan anak – Teruskan berkomunikasi dan meluangkan masa dengan mereka agar mereka berasa selamat dan disayangi. Ia boleh dilakukan dengan cara memberi pelukan, bertanya khabar, ataupun berbual tentang aktiviti mereka di sekolah. 
  • Bercakap dengan anak mengenai masalah kesihatan mental anda – Dengan meyakinkan mereka bahawa masalah kesihatan mental yang anda hadapi bukan salah mereka, anak anda mungkin dapat memahami situasi ini dengan lebih baik. Anda juga boleh memberitahu mereka bahawa bukan tanggungjawab mereka untuk mengurus masalah kesihatan anda.
  • Minta bantuan daripada keluarga dan rakan-rakan – Apabila anda tidak sihat, anda boleh memberitahu orang lain atau keluarga bahawa anda memerlukan bantuan tambahan dan mencadangan bagaimana cara mereka boleh membantu; seperti menyediakan makanan atau meluangkan masa bersama anak anda supaya anda boleh berehat. 

Cuba untuk tidak meletakkan terlalu banyak tekanan kepada diri sendiri atau memberi diri anda terlalu banyak masa yang sukar. Ingat bahawa anda mempunyai kemahiran yang tersendiri sebagai ibu bapa tanpa mengira sebarang isu kesihatan mental yang anda hadapi. Sebagai seorang pejuang kesihatan mental, ia tidak mengurangkan nilai anda sebagai seorang ibu atau bapa. Anda layak dihargai dan anda berharga.

Jika anda atau orang terdekat mengalami simptom masalah kesihatan mental tetapi masih buntu walaupun telah mencuba pelbagai cara termasuk mendapatkan sokongan sosial untuk mengatasinya, buat temu janji dengan ahli profesional seperti ahli psikologi klinikal kami untuk mendapatkan bantuan dan rawatan yang bersesuaian.

Kongsikan artikel ini

Facebook
Twitter
WhatsApp