Pernahkah anda berada dalam situasi di mana anda bermain telefon tanpa henti dalam jangka masa yang lama atau dikenali sebagai “doomscrolling” semata-mata untuk melihat pempengaruh di media sosial menggayakan fesyen yang mengikut trend semasa, orang ramai melakukan aktiviti cafe hopping mencuba pencuci mulut terbaharu yang tular di merata aplikasi social media, dan orang ramai membuat video unboxing model telefon pintar yang baru sahaja dikeluarkan di pasaran?
Tiba-tiba, anda diselubungi rasa iri dan cemas. “Aku pun mesti kena ada benda ni”, bisik hati anda. Anda sanggup berbelanja melebihi had dan kemampuan diri tanpa memikirkan bebanan kewangan yang bakal ditampung akibat pembelian terburu-buru itu. Prinsip “ukur baju di badan sendiri” terus dibuang ke tepi. Kesemuanya dilakukan semata-mata demi memenuhi kepuasan singkat untuk mengejar trend yang tersebar di dunia media massa.
Sebaik sahaja barang-barang tersebut berada di genggaman, penyesalan mula menerpa pada diri. Bukan semua barang yang dipasarkan di media sosial itu sesuai dengan jangkaan dan bukan semua orang yang membuat video mengulas barang-barang yang ‘dibeli’ oleh mereka di media sosial itu jujur. Disebabkan oleh kerana mereka terikat dengan bayaran yang telah dijanjikan oleh jenama-jenama ini untuk memberi pandangan yang baik, maka mereka mempengaruhi pengguna internet lain untuk membeli barang mereka walaupun sebenarnya indah khabar daripada rupa.
Anehnya, kekecewaan itu sedikit pun tidak menghalang anda untuk mengulangi kesilapan yang sama di masa hadapan. Kitaran toksik ini seolah-olah langsung tidak mahu berhenti hanya kerana anda mahu memenuhi desakan FOMO dalam diri. Malah, ada yang sampai ke tahap terpaksa meminjam duit daripada orang sekeliling atau secara atas talian seperti ShopeePay semata-mata untuk memastikan mereka tidak ketinggalan dan terus relevan dengan trend semasa.
Apa sebenarnya itu FOMO?
Istilah Fear of Missing Out atau FOMO, mula digunakan dalam dunia rangkaian sosial pada tahun 2004 dan diiktiraf secara rasmi dalam Kamus Oxford pada tahun 2013. Dari sudut psikologi, ia ditakrifkan sebagai satu kebimbangan mendalam bahawa orang lain sedang merasai pengalaman berharga semasa ketiadaan kita. Ia bukan sekadar perasaan yang normal, tetapi melibatkan dua proses utama iaitu persepsi bahawa kita ketinggalan dan diikuti dengan tingkah laku kompulsif untuk memastikan kita kekal “wujud” dan terhubung dalam kelompok sosial tersebut.
Mengapa kita sanggup memudaratkan diri demi trend?
Mengapakah kita masih menginginkan sesuatu walaupun ia mampu memudaratkan? Kesemuanya berakar umbi daripada aspek psikologi dan budaya dalam penggunaan sosial media. Pertama sekali, ia berpunca daripada keperluan sosial yang tidak dipenuhi di mana manusia mempunyai keperluan asas untuk merasa tergolong (sense of belonging) dalam kelompok sosial yang stabil. Apabila hubungan interpersonal ini tidak dipenuhi secara fizikal, kita cenderung mencari kepuasan di alam maya demi mengisi kekosongan emosi dan mengelakkan daripada rasa terasing. Di sinilah bermulanya tabiat menginginkan pengesahan (validation) daripada orang lain secara berterusan melalui angka digital seperti jumlah likes dan komen. Akibatnya, kita mula meletakkan nilai diri pada pandangan netizen dan hanya merasa dihargai sekiranya gaya hidup yang dipamerkan mendapat maklum balas positif daripada mereka. Kebergantungan melampau ini membentuk herotan imej diri dan sehingga kita sanggup menapis realiti kehidupan semata-mata mahu kelihatan sempurna di mata masyarakat digital.
Faktor kedua melibatkan kehidupan orang lain di mana media sosial sentiasa memaparkan corak hidup mereka yang telah disunting dengan hanya menunjukkan detik-detik indah sahaja. Paparan ini mendedahkan kita secara berterusan kepada maklumat tentang apa yang orang lain lakukan dan kejayaan yang mereka kecapi. Hal ini mewujudkan satu bentuk perbandingan sosial yang negatif kepada diri sendiri. Akibatnya, timbul jangkaan tidak munasabah (distorted expectations) yang mengganggu realiti hidup kita sendiri. Perbandingan yang berpanjangan ini akhirnya merendahkan keyakinan dan boleh mencetuskan simptom kemurungan.
Seterusnya, fenomena ini dikuatkan lagi oleh ketagihan rasa ‘bahagia’ yang sering berkait rapat dengan dopamin otak. Setiap kali kita berjaya membuat interaksi sosial atau memiliki barang tular demi menutup rasa FOMO, sistem ganjaran dalam otak akan merembeskan dopamin yang mencetuskan rasa seronok yang segera. Dari sudut neurosains, FOMO memanipulasi sistem mesolimbik ini melalui ganjaran rawak yang membuatkan tingkah laku kita bertukar menjadi kompulsif. Kita mula mengejar rasa bahagia yang ‘palsu’ atau bersifat sementara. Sebaik sahaja keseronokan daripada pengesahan digital itu berkurang, rasa cemas dan terasing akan kembali melanda. Keadaan ini memaksa kita untuk terus memburu trend pembelian seterusnya tanpa berfikir panjang bagi mengelakkan emosi negatif daripada timbul kembali. Lama-kelamaan, ketagihan ini meletakkan minda dalam keadaan letih dan tertekan yang kronik.
Semak Diri Anda: Adakah Anda Mempunyai Simptom Ini?
Ciri pertama yang paling ketara bagi mangsa FOMO ialah kehadiran desakan emosi yang sangat kuat di dalam diri. Keresahan dan kebimbangan yang berpunca daripada ketakutan tertinggal trend semasa akan sentiasa mengganggu ketenteraman fikiran kita. Dorongan emosi ini akan menjelma dalam bentuk keinginan yang meluap-luap untuk segera memiliki barangan popular tersebut. Pengguna yang mengalami simptom ini biasanya sudah tidak peduli sama ada barangan tersebut benar-benar penting atau selari dengan keperluan hidup mereka. Mereka hanya bertindak mengikut perasaan semasa semata-mata untuk merawat ketidakselesaan psikologi dalam diri.
Seterusnya, ketiadaan langsung pertimbangan yang matang sebelum berbelanja. Di bawah pengaruh emosi negatif yang kukuh, proses pembuatan keputusan kewangan anda akan bersifat impulsif dan terjadi dalam sekelip mata sahaja. Anda cenderung untuk mengetepikan pemikiran rasional dan langsung tidak memikirkan kesan buruk jangka panjang terhadap baki akaun bank anda. Anda sanggup mendahulukan kepuasan emosi yang bertahan cuma beberapa minit berbanding membuat perancangan bajet yang teliti. Kegagalan untuk berfikir secara mendalam ini merupakan bukti jelas bahawa nafsu impulsif telah berjaya mengalahkan logik akal anda.
Selain itu, ketagihan untuk mendapatkan sensasi kepuasan segera demi mengekalkan status sosial. Anda akan mula berasa sangat tertekan dan cemas sekiranya mendapati diri anda tidak tahu-menahu tentang apa yang sedang hangat dibualkan. Bagi mengatasi perasaan tersisih ini, anda akan memburu dan membeli apa sahaja produk yang boleh membuatkan anda menonjol di mata masyarakat. Pembelian barangan tersebut sebenarnya hanyalah berfungsi sebagai penenang sementara daripada gangguan stres akibat FOMO. Sikap yang terlalu mendambakan validasi orang luar ini akhirnya menyebabkan anda kehilangan keupayaan untuk menikmati kebahagiaan hidup yang sebenar.
Kesimpulan
Kesimpulannya, FOMO ialah kitaran toksik apabila individu sanggup mengetepikan pemikiran secara rasional demi mengejar trend dan memburu pengesahan alam maya. Mangsa FOMO terjebak dalam pembelian impulsif di luar kemampuan kewangan walaupun sedar kualiti barang sering kali indah khabar dari rupa selain didorong oleh keperluan sosial yang tidak dipenuhi serta ketagihan dopamin otak. Akhirnya, tabiat kompulsif yang mementingkan validasi orang lain ini bukan sahaja ‘menipiskan’ poket, malah mengundang keletihan mental serta meragut kebahagiaan dalam kehidupan yang sebenar.
Jiwadamai juga boleh membantu anda dalam isu psikologi yang dihadapi daripada peringkat kanak-kanak sehinggalah ke dewasa sama ada ia isu kesihatan mental mahupun isu perkembangan kanak-kanak secara holistik kerana ahli klinikal kami terdiri daripada Pakar Psikiatri, Pakar Psikiatri Kanak-Kanak, Psikologis Klinikal, ahli terapi cara kerja (occupational therapist), dan juga ahli terapi pertuturan (speech therapist).
Sekiranya anda rasa ingin berbual atau mendapatkan sokongan, anda boleh hubungi kami melalui talian 017 269 4852 (hotline isu dewasa) dan 011 5430 8949 (hotline isu kanak-kanak & remaja) dan lakukan janji temu bersama kami. Kami sedia membantu anda.
Ditulis oleh : Nurul Farah Iman, pelajar psikologi UTM
Disahkan oleh : Psikologis Klinikal Jiwadamai





