Dalam norma masyarakat kita, sudah menjadi settled view (pandangan yang tetap) bahawa tugas utama seorang bapa adalah mencari nafkah. Dunia menuntut sosok seorang bapa keluar pagi, balik malam, menghadapi tekanan kerja, dan memastikan kewangan keluarga stabil.
Namun, dalam era keibubapaan abad ke-21 , peranan seorang bapa tidak lagi boleh dilihat hanya dari sudut ekonomi semata-mata. Kehadiran mereka dalam kehidupan anak turut menjadi asas kepada pembentukan emosi, sosial, dan psikologi yang sihat. Seorang father figure yang hadir bukan sahaja menyediakan keperluan asas keluarga, tetapi juga menjadi sumber kasih sayang, sokongan emosi, dan teladan positif.
Apa Itu Father Figure?
Father figure bukan sahaja merujuk kepada bapa kandung, tetapi juga boleh terdiri daripada datuk, abang, bapa saudara, penjaga lelaki, guru, atau mentor yang hadir secara konsisten dalam kehidupan anak dan memberi pengaruh positif terhadap perkembangan mereka. Secara ringkasnya, father figure (figura bapa) ialah individu yang memberikan bimbingan, perlindungan, disiplin, serta contoh teladan yang baik, sekaligus menjadi sumber sokongan emosi dan model peranan penting dalam membentuk kesejahteraan anak.
Menurut Lamb (2010), seorang figura bapa yang berkesan perlu hadir dalam tiga aspek:
- Aksesibiliti (accessibility): Anak berasa mudah untuk mendekati, berinteraksi, dan berkongsi perasaan dengan bapa.
- Penglibatan (engagement): Bapa terlibat secara aktif dalam aktiviti harian anak, bukan sekadar bertanya soalan rutin seperti “dah makan?”, tetapi benar-benar mengambil bahagian dalam kehidupan mereka.
- Tanggungjawab (responsibility): Bapa menunjukkan keprihatinan terhadap perkembangan emosi, pendidikan, dan kesihatan mental anak, serta memastikan mereka mendapat sokongan yang diperlukan.
Jika ketiga-tiga aspek ini lemah atau tiada, maka seorang anak mungkin membesar dalam keadaan “father absence” (ketiadaan bapa) walaupun bapa kandungnya masih tinggal di bawah satu bumbung yang sama. Dalam kesibukan mengejar nafkah, satu persoalan penting sering terlepas pandang: “Sudah cukupkah kehadiran ayah sebagai figura, bukan sekadar sebagai penyumbang kewangan?”
Ramai kanak-kanak dan remaja hari ini membesar dengan ayah yang “ada” di rumah, tetapi secara emosi, mereka rasa seperti membesar tanpa ayah. Bukan kerana ayah jahat atau sengaja mengabaikan. Tetapi kerana dunia telah menuntut ayah untuk menjadi provider sehingga dia lupa bahawa dirinya juga diperlukan sebagai ibu bapa.
Kelebihan Kehadiran Figura Bapa (The Presence)
- Meningkatkan daya tahan (resilience)
Kehadiran seorang figura bapa memberi anak rasa selamat dari segi emosi dan psikologi. Perlindungan ini terbentuk melalui penerimaan, sokongan, dan kasih sayang yang konsisten. Dengan asas emosi yang kukuh, anak lebih berdaya tahan (resilient) dalam menghadapi cabaran dan tekanan hidup.
Kajian Zhou et al. (2024) mendapati sokongan bapa membantu anak perempuan membina keyakinan diri serta orientasi matlamat pencapaian. Manakala bagi anak lelaki, kajian Çetingöz, Düzyol-Türk dan Yıldırım (2025) menunjukkan penglibatan sosok seorang bapa dapat meningkatkan daya tahan, keyakinan diri yang kukuh serta identiti maskulin yang sihat. Sokongan emosi daripada figura bapa juga mengajar kanak-kanak bahawa kegagalan atau kesukaran adalah sebahagian daripada proses pembelajaran, bukan penentu nilai diri mereka.
- Perkembangan Sosial, Kognitif & Akademik
Selain membina daya ketahanan mental, kehadiran bapa turut berperanan sebagai contoh teladan dalam perkembangan sosial, kognitif, dan akademik anak. Melalui teladan langsung, bapa mengajar kemahiran sosial seperti empati, disiplin, dan nilai moral. Dari sudut kognitif, bapa mendorong rasa ingin tahu, ketekunan, serta kemahiran menyelesaikan masalah melalui permainan, perbualan, dan aktiviti harian. Kesan positif ini akhirnya diterjemahkan kepada pencapaian akademik yang lebih baik, termasuk gred yang tinggi, literasi yang kukuh, dan sikap positif terhadap pembelajaran (Yanjie et al., 2026).
- Kesihatan Mental dan Tingkah Laku
Kehadiran seorang bapa bukan sekadar fizikal, tetapi membawa sokongan emosi yang penting untuk kestabilan mental anak. Apabila bapa hadir secara konsisten, anak lebih mudah mengawal emosi, berasa dilindungi, dan kurang berisiko mengalami kemurungan atau keresahan. Kajian oleh Teel et al. (2016) menunjukkan bahawa anak dalam keluarga berisiko tinggi yang tinggal tanpa ayah mempunyai 4.7 kali ganda risiko mengalami mood disorder berbanding mereka yang tinggal bersama bapa, sekaligus menekankan bahawa kehadiran bapa merupakan faktor pelindung utama dalam perkembangan psikologi anak. Selain itu, anak yang mempunyai father figure yang positif juga kurang mengalami masalah tingkah laku luaran seperti agresif, hiperaktif, dan suka melawan, serta lebih jarang berdepan masalah emosi dalaman seperti kemurungan, kebimbangan berlebihan, dan penarikan diri daripada pergaulan sosial.
Kesan Ketiadaan Figura Bapa (Father’s Absence)
Ketiadaan sosok seorang bapa atau father figure dalam kehidupan anak memberi kesan mendalam terhadap perkembangan mereka. Anak yang membesar tanpa sokongan bapa lebih mudah mengalami kemurungan, keresahan, dan masalah tingkah laku kerana kehilangan sumber emosi yang stabil. Ketiadaan bapa juga dikaitkan dengan pencapaian akademik yang lemah serta kesukaran membina hubungan sosial yang sihat.
Anak lelaki yang membesar tanpa figura bapa lebih cenderung untuk menghadapi masalah agresif, kesukaran membentuk identiti diri yang bertanggungjawab, dan tingkah laku salah laku seperti delinkuensi. Ketiadaan contoh teladan lelaki menyebabkan mereka sukar mengawal konflik dan emosi, kurang disiplin, sekaligus meningkatkan risiko penyalahgunaan bahan dan aktiviti jenayah (Kucukkaragoz, 2025).
Manakala anak perempuan pula lebih berisiko untuk terlibat dalam aktiviti seksual awal dan mengalami kehamilan remaja , yang sering kali didorong oleh ketidakstabilan emosi, harga diri yang rendah, serta pencarian validasi dari figura lelaki yang tidak hadir dalam kehidupan mereka (Kucukkaragoz, 2025). Hal ini menjejaskan keupayaan membentuk secure attachment (ikatan emosi yang sihat dan selamat) dalam hubungan romantik dewasa, dan meningkatkan risiko hubungan tidak sihat (DaViera & Roy, 2019).
Langkah Mudah Menjadi Father Figure yang Hadir
- Luangkan masa berkualiti walaupun sekejap, asalkan fokus sepenuhnya pada anak.
- Dengar dengan empati dan beri ruang anak meluahkan perasaan tanpa menghakimi.
- Tunjukkan kasih sayang secara konsisten melalui pelukan, kata semangat, dan sokongan emosi.
- Terlibat dalam aktiviti harian seperti bermain, membaca, atau membantu kerja sekolah.
- Kekal hadir secara berterusan, kerana kehadiran yang konsisten membina rasa selamat dan keyakinan diri anak
Kesimpulan
Dalam era keibuayahan abad ke-21 , peranan father figure tidak lagi terhad kepada penyediaan keperluan ekonomi semata-mata. Sebaliknya, mereka turut memainkan peranan penting dalam membentuk perkembangan emosi, sosial, dan psikologi anak.
Kehadiran yang konsisten, sokongan emosi yang positif, dan penglibatan aktif dalam kehidupan anak mampu memberi impak yang berkekalan terhadap kesejahteraan dan perkembangan mereka. Walaupun tidak ada ibu ayah yang sempurna, usaha untuk hadir, mendengar, dan memahami anak merupakan antara pelaburan paling bermakna dalam membantu mereka membesar menjadi individu yang yakin, berdaya tahan, dan sejahtera.
Jiwadamai menyediakan sokongan untuk pelbagai isu psikologi, daripada kanak-kanak hingga dewasa, sama ada berkaitan kesihatan mental atau perkembangan kanak-kanak secara menyeluruh. Pasukan klinikal kami merangkumi Pakar Psikiatri, Pakar Psikiatri Kanak-Kanak, Psikologi Klinikal, ahli terapi cara kerja (occupational therapist), serta ahli terapi pertuturan (speech therapist).
Sekiranya berminat, anda boleh menghubungi kami di talian 017-269 4852 (hotline isu dewasa) atau 011-5430 8949(hotline isu kanak-kanak & remaja) untuk membuat janji temu. Kami sedia memberikan bantuan dan sokongan kepada anda.
Ditulis oleh : Murshida Haikal, Pelajar Psikologi UNIMAS
Disahkan oleh : Psikologis Klinikal Jiwadamai





