Ketahui ‘Parenting Style’ Mana Yang Terbaik : Autoritatif atau Autoritarian

pexels-ketut-subiyanto-4473560-min

Mengasuh anak adalah tugas yang sukar bagi mana-mana individu. Ada ibu bapa yang mengamalkan gaya keibubapaan autoratitatif, dan ada juga yang mengamalkan gaya keibubapaan autoritarian.

Kedua-dua gaya keibubapaan ini mempunyai harapan dan standard yang tinggi untuk tingkah laku anak-anak mereka. Walau bagaimanapun, yang membezakan kedua-duanya adalah bagaimana cara ibu bapa berinteraksi dengan anak-anak mereka.

Jika anda tidak pasti bagaimana gaya keibubapaan autoritatif dan autoritarian berbeza antara satu sama lain, artikel ini akan memberi anda gambaran keseluruhan!

Apakah Gaya Keibubapaan Autoritatif (Berwibawa)?

Gaya keibubapaan autoritatif adalah tegas. Ibu bapa yang berwibawa menyediakan peraturan ataupun struktur untuk anak-anak mereka. Terdapat peraturan yang mesti dipatuhi oleh anak-anak mereka demi menjamin keselamatan dan keselesaan anak.

Ibu bapa berwibawa menetapkan standard yang tinggi untuk tingkah laku anak-anak mereka, tetapi mereka mengimbangi peraturan dan struktur tersebut dengan kemesraan dan komunikasi yang jelas. Dalam masa yang sama, anak-anak mereka juga diberikan kebebasan untuk membuat keputusan.

Mereka  akan menerangkan peraturan kepada anak-anak, dan bersedia untuk membincangkan peraturan tersebut. Sekiranya sesuai, ibu bapa juga bersedia untuk membuat pengubahsuaian pada peraturan tersebut mengikut input dan pandangan yang diterima daripada anak-anak mereka.

Bagaimana Cara Ia Berfungsi?

Mari kita ambil contoh anak yang tidak mahu makan malam.

Pertama sekali, ibu bapa akan mendekati dan bertanya kepada anak mengapa dia tidak mahu makan. Ibu bapa akan duduk dan mendengar alasan anak mereka, dan mengakui bahawa perasaan anak mereka adalah valid.

Sebagai tindak balas kepada perbualan itu, ibu bapa kemudian akan memutuskan sama ada untuk membiarkan anak mereka tidak makan atau anak mereka perlu makan.

Jika anak mereka tidak mahu makan tanpa sebarang sebab, ibu bapa akan bertegas. Ibu bapa akan memberitahu anak bahawa dia perlu makan supaya tidak berasa lapar dan bertenaga untuk melakukan pelbagai aktiviti, dan mengharapkan anak untuk makan.

Tetapi jika anak mereka terus membantah, ibu bapa akan memberi amaran atau menerapkan disiplin kepada anak untuk mendapatkan kerjasama. Ibu bapa akan menunjukkan kepada anak akibat semula jadi (natural consequences) daripada tindakannya.

Ibu akan simpan makanan ni, dan awak tak akan dapat makan malam kedua selepas ni.

Dalam contoh yang sama, jika anak mereka tidak mahu makan kerana dia berasa tidak sihat, dan ibu bapa mendapati anak mereka demam, mereka mungkin mengubah suai peraturan dengan sewajarnya.

Apakah Gaya Keibubapaan Autoritarian?

Ibu bapa autoritarian juga mempunyai harapan yang tinggi pada anak-anak mereka, tetapi mereka menggunakan pendekatan disiplin yang lebih tegas untuk membesarkan anak-anak. Dalam erti kata mudah, gaya keibubapaan ini lebih kelihatan seperti tough love.

Objektif utama gaya keibubapaan ini adalah untuk mengelakkan masalah dalam keluarga, jadi mereka perlu mengawal tingkah laku anak-anak dan menghadkan kebebasan mereka. Bagi mengawal anak-anak mereka sepenuhnya, anak-anak juga tidak diberikan peluang untuk memberikan input atau pandangan.

Meskipun terlihat seperti ibu bapa yang berwibawa pada zahirnya, ibu bapa autoritarian tidak membenarkan anak-anak mereka membuat sebarang pilihan atau keputusan dalam hidup yang akhirnya menghalang pertumbuhan peribadi anak.

Ibu bapa autoritarian tidak bersedia membincangkan peraturan yang telah diberikan, sebaliknya anak-anak diharapkan untuk mematuhi sebarang peraturan tanpa persoalan. Anak mereka perlu mematuhi kesemua aturan, “kerana ibu/ayah sudah tetapkan begitu”.

Bagaimana Cara Ia Berfungsi?

Sekali lagi, mari kita ambil contoh anak yang tidak mahu makan malam.

Ibu bapa autoritarian tidak akan berbincang dengan anak mereka tentang mengapa dia tidak mahu makan. Sebaliknya, ibu bapa ini berkemungkinan akan mengatakan “Buat je apa yang ibu suruh. Makan sekarang!”, dan mengharapkan anak mematuhinya.

Jika anak mereka terus membantah, ibu bapa akan mengenakan hukuman seperti memukul, merotan atau memekik sebagai pengajaran buat anak mereka.

Yang Manakah Gaya Keibubapaan Anda?

Tidak salah jika ingin meletakkan harapan atau standard yang tinggi pada anak-anak, tetapi biarlah ia diseimbangkan dengan kasih sayang, kemesraan dan rasa hormat terhadap mereka.

Jika anda tidak pasti anda ibu bapa yang autoritatif  atau autoritarian, tanya anak anda tentang perkara ini. Mereka mungkin boleh memberi anda beberapa pandangan supaya boleh membantu anda mengubah gaya keibubapaan anda sekarang kepada gaya keibubapaan yang lain sekiranya perlu.

Kongsikan artikel ini

Facebook
Twitter
WhatsApp