Hubungan Positif Menyokong Peningkatan Daya Tahan Diri

priscilla-du-preez-xM4wUnvbCKk-unsplash

Adakah anda mengenali seseorang yang sedia mendengar ketika anda berkongsi cerita suka dan duka?

Baik ahli keluarga, pasangan, anak, atau teman rapat, dialah penyimpan rahsia dan dia jugalah penasihat di kala diri anda dilanda pelbagai masalah.

Penting untuk berada bersama dengan seseorang pada waktu kita sedih dan gembira. Hubungan positif antara kita dan orang di sekeliling kita bukan sahaja menjadikan kita lebih berdaya tahan ketika menghadapi masalah, tetapi ia juga menjadikan kita lebih bahagia dan sihat.

Berhubung dan meluangkan masa secara sihat dengan mereka bertindak sebagai “perisai terhadap tekanan dan membantu membina emosi positif. Kita bebas berkongsi kejayaan atau kegembiraan dan meraikannya bersama. Dan apabila kita berada dalam saat-saat yang sukar, mereka membantu menghuraikan masalah kita dan mencari penyelesaian.

Berseorangan atau Mengasingkan Diri Tanpa Sebab, Tidak Sihat

Kesunyian mampu mengganggu kesihatan mental dan fizikal anda. Ia juga menyebabkan hidup anda tidak teratur dan kurang bersemangat untuk melakukan sesuatu perkara. Hal ini kerana, ia akan menjejaskan hubungan anda dengan orang lain. Seterusnya menyebabkan anda kekurangan sokongan untuk terus maju ke hadapan, lebih-lebih lagi ketika berdepan dengan masalah dan ujian.

Kanak-kanak juga berpotensi untuk mengalami gangguan mental apabila mereka tidak mempunyai sokongan. Menurut  Pakar Psikologi Kanak-Kanak Universiti SEGi, Prof Datin Dr Mariani Md Nor, gangguan mental dalam kalangan kanak-kanak berpunca daripada persekitaran dan kegagalan dalam sistem sokongan sosial mereka seperti keluarga dan rakan. 

Hubungan Sihat, Mental Kuat

Hubungan adalah pertalian antara dua insan seperti bersama pasangan, keluarga, kawan dan komuniti. Apabila dua insan memberi sokongan, galakan dan pertolongan dengan ikhlas dan seterusnya, saling menasihati, mendengar dan memahami antara satu sama lain tanpa menilai, satu hubungan yang sihat akan terbentuk.

Secara psikologi, pembentukan hubungan yang sihat memberi faedah seperti :

  • Meningkatkan keyakinan diri.
  • Menjadikan diri lebih bersedia menghadapi masalah.
  • Menjadikan diri lebih bahagia.
  • Berpotensi mengurangkan masalah kesihatan fizikal atau mental.

8 Tips Bina Hubungan Positif

Untuk mempertingkatkan kualiti hubungan anda dengan seseorang, anda boleh ikuti tips-tips berikut :

  1. Terima dan raikan perbezaan dalam hubungan.
  2. Jadi pendengar yang baik.
  3. Meluangkan masa bersama.
  4. Tingkatkan kemahiran berkomunikasi.
  5. Gunakan kemudahan teknologi dengan sebaiknya.
  6. Belajar untuk memberi dan menerima pendapat.
  7. Bina kepercayaan dalam hubungan.
  8. Mempunyai belas kasihan terhadap satu sama lain.

Apabila anda mencapai hubungan positif bersama dengan seseorang, anda akan berasa lebih ikhlas untuk berbuat baik kepadanya, tidak malu berkongsi kelemahan diri, serta menerima kelebihan atau kelemahannya tanpa hasad dengki dan tanpa menghakimi.

Mengutamakan hubungan positif adalah cara terbaik untuk membina daya tahan diri. Carilah seseorang yang anda percayai dan yang tinggi nilai empati, supaya dia boleh mengesahkan perasaan anda dan memberi sokongan kepada anda.

Kekal dalam hubungan di mana kita boleh bersandar pada satu sama lain akhirnya akan mengukuhkan daya tahan anda.

[njwa_button id="9314"]

Kongsikan artikel ini

Facebook
Twitter
WhatsApp