Inilah Pentingnya ‘Self-Care’ Untuk Kesihatan Mental Anda

pexels-pnw-production-9219055

Bilakah kali terakhir anda meluangkan masa untuk diri sendiri? Adakah anda menjaga aspek mental, emosi, dan fizikal anda dengan baik selama ini?

American Psychological Association mengatakan bahawa penjagaan diri membantu memastikan minda dan badan anda sentiasa bersedia untuk menghadapi situasi yang memerlukan daya tahan (resilience).

Apa Itu Self-Care?

Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) self-care atau penjagaan diri merupakan “keupayaan individu, keluarga dan komuniti untuk meningkatkan kesihatan, mencegah penyakit, mengekalkan kesihatan, dan juga bagi menghadapi penyakit dan ketidakupayaan dengan atau tanpa sokongan staf kesihatan”. 

Secara umumnya, penjagaan diri merupakan perbuatan atau aktiviti yang diamalkan oleh individu bagi memastikan kesihatan diri sentiasa dalam keadaan yang baik. Hal ini juga bertujuan untuk membolehkan individu berasa kembali segar dan bertenaga.

Aktiviti atau rutin yang dilakukan boleh merangkumi aspek intelektual, fizikal, kerohanian, dan lain-lain. 

Bangunkan Pelan Penjagaan Diri Anda

Penjagaan diri tidak semestinya sama bagi setiap individu, setiap orang mempunyai pilihan aktiviti penjagaan diri yang tersendiri. Malah, aktiviti pilihan juga mungkin berubah mengikut hari dan masa dalam hidup seseorang. 

Jadi, penjagaan diri memerlukan anda untuk menilai semula keadaan diri dan apa yang diperlukan oleh badan anda. Tepuk dada, tanya selera. Anda sahaja yang boleh menentukan jenis aktiviti yang diperlukan untuk kembali sihat dan bertenaga. 

Penjagaan diri amat penting kerana amalan ini mampu memperbaiki kesihatan mental, fizikal, emosi, dan juga aspek kerjaya. Penjagaan diri juga membantu individu untuk lebih cekap mengenal pasti emosi tidak stabil atau keresahan, dan seterusnya mencegah fenomena burnout. 

Pelbagai Aktiviti Penjagaan Diri

Berikut adalah enam (6) cara untuk menjaga diri dan membantu membina daya tahan anda :

  1. Tidur yang mencukupi- Tidur sekurang-kurangnya 7 jam sehari 
  2. Makan makanan berkhasiat- Makanan seperti buah-buahan dan sayur-sayuran setiap hari mampu mengurangkan risiko penyakit
  3. Bersenam- Aktiviti fizikal seperti berjalan laju dan berbasikal mampu menguatkan kesihatan fizikal dan menambah baik mood
  4. Rehat daripada gadget – Tutup telefon pintar selama satu jam atau lebih untuk bebas daripada pemberitahuan media sosial dan kerja
  5. Berjalan melihat alam semula jadi – Ambil masa untuk berjalan dan menikmati kehijauan alam
  6. Lakukan hobi yang menenangkan – Cuba hobi yang membuatkan anda berasa tenang seperti melukis, mengait, atau bercucuk tanam

Penjagaan diri adalah salah satu bentuk komitmen terhadap kesejahteraan diri, namun anda boleh mula cuba lakukannya secara perlahan-lahan dan berperingkat.

Anda juga perlu sentiasa ingat penjagaan diri bukanlah bererti anda mementingkan diri dan memanjakan diri semata-mata, tetapi ia adalah usaha anda untuk memastikan aspek kesihatan mental, fizikal, dan emosi anda sentiasa terjaga.

Kongsikan artikel ini

Facebook
Twitter
WhatsApp