4 Soalan Yang Membantu Anda Mencari Tujuan Hidup

pexels-valentin-antonucci-841286

Ramai di antara kita yang tidak tahu ke mana akhirnya hala tuju kehidupan mereka. Mereka ini selalu dibelengguan keraguan dan kerisauan.

Apakah tujuan hidup kita di dunia ini sebenarnya?

Apakah yang membuatkan kita bersemangat untuk bangun setiap pagi?

Ke mana kita akan pergi dan ke mana akhirnya kehidupan ini?

Dan kenapa tujuan penting dalam kehidupan kita?

Tujuan adalah penting untuk daya tahan di mana ia memberi keupayaan kepada kita untuk menyesuaikan diri secara positif, belajar dan berkembang daripada pengalaman, dan terus mencapai matlamat kita.

Orang yang mempunyai tujuan yang jelas untuk hidup mereka, akan lebih mudah untuk bangkit semula di saat yang mencabar, yakin pada diri dan terus bergerak ke hadapan. Orang yang mempunyai tujuan selalunya lebih berdaya tahan.

Tujuan Hidup Setiap Orang Berbeza

Tujuan hidup anda dan saya tidak mungkin sama, ia berbeza untuk semua orang. Tambahan pula, tujuan hidup anda mungkin akan berubah dengan peredaran masa disebabkan pengembangan pengalaman anda seiring peningkatan usia anda.

Terdapat banyak tujuan yang biasanya ingin dicapai oleh seseorang dalam hidup, seperti:

  • Menyara keluarga dengan baik.
  • Menjalani kehidupan sebagai orang yang berjaya.
  • Menjalin hubungan positif dengan orang lain dan menikmati saat-saat bersamanya.
  • Mengembara ke seluruh dunia.
  • Menjadi hamba yang taat pada Tuhan.
  • Dan lain-lain.

Tetapi apakah tujuan hidup anda? Anda perlu mencari tujuan anda sendiri dalam hidup.

Nilai Semula Tujuan Hidup Anda

Mempunyai tujuan hidup boleh mengawal tingkah laku, membentuk matlamat, membina hala tuju, dan menjadikan hidup anda lebih bermakna.

Sesetengah orang mengaitkan kerjaya dengan tujuan hidup mereka. Orang lain pula mungkin terasa hidup lebih bermakna dengan menjalani kewajipan mereka kepada keluarga dan rakan. Dan sebahagian yang lain mungkin mencari kepentingan dalam kerohanian atau dalam keyakinan agama mereka.

Dalam semua aspek kehidupan ini, sesetengah orang mungkin mudah untuk menentukan tujuan hidup mereka, manakala yang lain mungkin berasa keliru dan risau dalam proses pencarian makna dalam hidup. 

Soalan-soalan dibawah boleh dijadikan titik rujukan untuk menilai semula tujuan hidup anda. Tanya pada diri anda :

  • “Apa yang saya pernah minat semasa kecil?”

Sejak kecil, kanak-kanak mula membentuk minat terhadap sesuatu. Tetapi menginjak dewasa,  seseorang cenderung berhenti melibatkan diri dalam aktiviti yang diminati kerana kekurangan masa atau terdapat tekanan sosial untuk meneruskan aktiviti yang diandaikan lebih bermakna. Barangkali sesuatu yang anda pernah minati dahulu boleh menjadi minat anda pada masa sekarang.

  • “Saya mahu hidup saya kelihatan seperti apa?”

Luangkan sedikit masa untuk merenung kehidupan anda. Adakah terdapat apa-apa yang anda ingin ubah? Jika kehidupan anda sekarang tidak seperti yang anda mahukan, maka sudah tiba masanya untuk menetapkan apa yang anda mahukan.

Ke mana hala tuju anda? Apakah keutamaan anda dalam hidup?

Tuliskan jawapan anda dan bayangkan kehidupan anda dengan kesemua yang dirasakan perlu ada dalam hidup anda.

  • “Di manakah harus saya bermula?”

Setiap orang mempunyai titik permulaan yang berbez, dan tiada istilah sudah terlambat dalam pencarian hala tuju hidup. Apabila anda sudah mengetahui minat dan matlamat anda, anda boleh bermula dengan menulis diari atau journaling. Tulis langkah-langkah yang seharusnya anda ambil untuk mencapai matlamat tersebut. Proses ini perlulah konsisten agar hala tuju ke arah mencapai matlamat anda dapat dilihat dengan lebih jelas.

  • “Bagaimanakah untuk mengetahui sama ada saya telah menemui tujuan hidup?”

Tujuan hidup anda adalah bahagian yang sangat peribadi tentang diri anda. Hanya anda sahaja yang mengetahui apabila anda telah menemui tujuan hidup. Beri tumpuan kepada fikiran dan perasaan anda dan apa yang mereka beritahu kepada anda. Firasat anda boleh memainkan peranan yang besar untuk menentukan sama ada anda sudah menemui tujuan hidup ataupun belum.

Mencari tujuan hidup tidak semestinya rumit seperti yang anda fikirkan. Mengetahui cara bagaimana untuk mencari tujuan hidup adalah sesuatu yang perlu anda lakukan sendiri kerana tiada siapa yang boleh memberi jawapan kepada persoalan hidup anda.

Ia bergantung kepada sejauh mana usaha anda untuk meneroka kelemahan, kelebihan serta kemampuan diri sendiri.

Kongsikan artikel ini

Facebook
Twitter
WhatsApp