Anak Saya Alami Masalah Gagap Ke?

Gambar Blogpost Anak Saya Alami Masalah Gagap Ke?

Bukanlah sesuatu yang janggal sekiranya kanak-kanak kecil mengalami gangguan dalam pertuturan mereka seperti mengulang perkataan atau frasa. Malah, kira-kira 5% daripada kanak-kanak berkemungkinan tidak lancar bertutur pada satu ketika dalam proses perkembangan mereka, biasanya antara umur 2 dan 5 tahun.

Adakah anak anda benar-benar gagap?

Bagi kebanyakan kanak-kanak, kebiasaannya gangguan pertuturan ini hilang dengan sendirinya selepas tempoh yang singkat. Dalam kes lain, gangguan berterusan dan tanda-tanda gagap menjadi lebih jelas.

Apa Itu Gagap?

Gagap adalaj keadaan pertuturan kompleks yang boleh menyebabkan seseorang tersekat-sekat semasa cuba menyebut bunyi, suku kata atau perkataan tertentu.

Tetapi bagaimanakah ibu bapa boleh membezakan antara gangguan tipikal yang akan hilang dan tanda awal gangguan bukan tipikal yang mungkin menunjukkan anak anda alami masalah gagap?

Masalah gagap ini dapat dikesan semasa anak anda bertutur; pada permulaan ayat dan juga boleh berlaku sepanjang ayat. Anak anda juga mungkin melakukan perkara bukan lisan apabila mereka mengalami gangguan ini. Sebagai contoh, mereka mungkin mengerdipkan mata, membuat muka atau mengepalkan tangan apabila tersekat-sekat semasa bercakap.

Ciri-ciri Masalah Gagap

Terdapat beberapa ciri utama gagap. Kanak-kanak yang gagap mungkin mempunyai satu atau lebih ciri-ciri ini :

  • Pengulangan satu suku kata. (cth. pe-pe-pe-pergi)
  • Pemanjangan bunyi. (cth. bbbbbbaju atau baaaaaa-ju)
  • Pengulangan perkataan atau frasa. (cth. Saya nak-saya nak-saya nak-saya nak minum.)
  • Tersekat atau berhenti. (cth. Mak saya (senyap) bagi.)

Sekiranya anak anda mempunyai masalah gagap yang berterusan hingga ke sekolah rendah, ia boleh menjadi satu masalah besar. Jadi, sangat penting untuk mendapatkan bantuan dan intervensi awal buat anak anda.

Jika anda perasan bahawa anak anda mempunyai ciri-ciri gagap, dapatkan bantuan profesional. Mulakan dengan membuat janji temu bersama ahli terapi pertuturan. Adalah lebih baik untuk berunding dengan ahli terapi pertuturan daripada menganggap masalah gagap anak anda akan hilang dengan sendirinya.

Kongsikan artikel ini

Facebook
Twitter
WhatsApp