Permainan Mempengaruhi Perkembangan Bahasa dan Pertuturan Kanak-Kanak

Gambar Blogpost Permainan Mempengaruhi Perkembangan Bahasa Dan Pertuturan Kanak-Kanak

Kanak-kanak menggunakan perkataan untuk menyatakan perasaan mereka semasa bermain. Mereka menemui perkara baru melalui aktiviti bermain dan mula berinteraksi dengan dunia di sekeliling mereka. Salah satu perkara yang dipelajari oleh kanak-kanak melalui bermain ialah bahasa.

Apabila kanak-kanak semakin membesar, mereka memperoleh kemahiran baru. Kaedah permainan mereka juga berbeza-beza dan menjadi lebih kompleks dan pelbagai. Selalunya, pada usia prasekolah, mereka mahu ibu bapa atau penjaga lain turun bermain bersama.

Anda sangat digalakkan mengambil bahagian dalam bonding activity ini, kerana anda juga akan memainkan peranan penting dalam membantu meningkatkan dan mengembangkan kebolehan linguistik mereka. Ini kerana, semasa bermain, kanak-kanak berinteraksi dengan rakan sebaya ataupun orang dewasa melalui perbincangan dan soal jawab.

Bagaimanakah permainan mempengaruhi perkembangan bahasa & pertuturan kanak-kanak?

  • Kanak-kanak bergaul dengan orang lain seperti berkongsi idea dan mengambil giliran semasa bermain.
  • Kanak-kanak belajar bagaimana untuk berkomunikasi dan mempraktiskan kemahiran bahasa mereka.
  • Meningkatkan perhatian dan kemahiran mendengar.
  • Kanak-kanak mempelajari kata nama (nama benda), kata kerja (apa yang objek lakukan), dan bagaimana untuk menerangkan sesuatu (mengembangkan kosa kata).
  • Menyediakan asas untuk soalan yang akan ditanya tentang apa yang kanak-kanak boleh lihat, dengar, hidu atau rasa semasa bermain.

Semua peringkat permainan menyokong perkembangan awal bahasa.

Permainan solitari menggalakkan perhatian dan kemahiran mendengar, menyokong keupayaan kanak-kanak untuk menumpukan perhatian untuk satu tempoh masa dan fokus dengan teliti. Kemahiran ini diperlukan untuk kanak-kanak memulakan perbualan dengan orang lain sambil mendengar apa yang diperkatakan.

Manakala, permainan selari juga merupakan langkah penting dalam membina kemahiran komunikasi dan membolehkan kanak-kanak mula berinteraksi dengan orang lain tanpa tekanan untuk bermain bersama.

Bukan itu sahaja, permainan kerjasama pula meningkatkan lagi komunikasi, membolehkan kanak-kanak belajar daripada rakan sebaya mereka.

Jadi, mulalah bermain dan berikan anak anda permulaan untuk memperoleh kemahiran yang berharga.

Kongsikan artikel ini

Facebook
Twitter
WhatsApp