Adakah anak anda sering mengalami masalah tantrum?

Gambar Blogpost Adakah anak anda sering mengalami masalah tantrum?

Kebanyakan ibu bapa yang memiliki anak dalam lingkungan 2 sehingga 4 tahun pasti pernah mengalami masalah anak tantrum. Anak-anak yang mengalami tantrum berlarutan akan menyebabkan ibu bapa keliru dalam mengenal pasti punca dan cara terbaik untuk mengurangkan masalah ini.

Definisi tantrum bukan sahaja bermaksud ledakan emosi yang menyebabkan mereka mengamuk, namun tantrum merupakan salah satu cara untuk anak-anak meluahkan perasaan kecewa dalam diri. Dalam mengatasi anak-anak yang mengalami tantrum, sesetengah ibu bapa sering menggunakan teknik seperti penggunaan ayat atau tindakan yang tegas untuk mendidik anak kerana menganggap masalah tantrum berpunca dari sikap degil dan manja anak-anak.

Walhal, masalah tantrum adalah satu cara kanak-kanak meluahkan perasaannya apabila mereka terperangkap dalam satu situasi yang membuatkan mereka berasa hilang kawalan.

Perasaan mereka menjadi bercampur-aduk seperti marah dan keliru atau sedih dan serba salah. Kebiasaannya, kanak-kanak akan menunjukkan masalah tantrum kepada orang yang paling mereka rapat terutama ibu bapa kerana mereka merasakan mereka berada dalam zon selesa.

Mengapa anak-anak tantrum?

Terdapat pelbagai sebab anak-anak akan menjadi tantrum, antaranya ialah :

  • Hendakkan kemahuannya dipenuhi (contoh dia kehendaki objek kesukaannya)
  • Mengelak daripada melakukan tugasan (ini mungkin ada kaitan dengan isu tingkahlaku dan perlukan penelitian yang lebih daripada terapis)
  • Masalah sensori (sesetengah kanak-kanak tantrum kerana mungkin mindanya serabut dengan stimulasi sensori yang tidak tertanggung (overwhelmed or overloaded stimulation).
  • Masalah kesihatan ( Autisme atau ADHD atau sakit-sakit lain menyebabkan ketidakselesaan)
  • Untuk menarik perhatian

Cara untuk mengendalikan tantrum anak-anak:

Solusi terbaik untuk mengendalikan masalah tantrum sebenarnya adalah dengan mengenalpasti apakah puncanya. Masalah akan selesai apabila kita tahu punca dan dapat menyelesaikan masalah punca terjadinya kelakuan tersebut. Namun, terdapat pelbagai saranan daripada pihak psikologis tentang bagaimana untuk mengendalikan anak yang tantrum. Cuma perlu diingatkan, setiap kanak-kanak adalah unik. Cara untuk meredakan seorang anak yang lain, mungkin tidak akan sama dengan anak yang lain.

  • Tidak beri perhatian/reaksi kepada anak atau layankan anak semasa mereka sedang tantrum. Ibu bapa juga perlu bertenang
  • Tidak meninggikan suara kepada mereka, kerana mereka akan menjadi lebih marah atau kecewa.
  • Bantu dan ajar anak cara untuk bertenang (melainkan anak cuba membahayakan diri)
  • Duduk bersama mereka, dan bercakap dengan mereka semula selepas mereka bertenang.
  • Cuba untuk fahami dan kenal pasti sebab mengapa mereka tantrum

Ibu bapa harus mengambil langkah dengan segera bagi mengelakkan masalah tantrum berlaku dengan lebih kerap dan berterusan. Selain daripada mengenal pasti langkah mengawal anak tantrum, ibu bapa juga seharusnya membawa anak berjumpa psikologis/terapis bertauliah bagi mendapat khidmat konsultasi, dan mengenal pasti punca tantrum serta langkah seterusnya yang dinasihatkan oleh pakar.

[njwa_button id="9314"]

Kongsikan artikel ini

Facebook
Twitter
WhatsApp