Kisah #20 : Duka Semalam Masih Bersisa

KisahKita 20 featured image

Aku mulai kongsikan #kisahkita dengan mengulang tayang pengalaman ketika di era Covid-19 sekitar beberapa tahun lalu. Ada tiga peristiwa yang aku kira, boleh dikatakan sangat dahsyat ujiannya buat aku. Pada awal-awal permulaan COVID, peristiwa pertama yang terjadi dalam hidup aku iaitu aku dikhinati oleh orang yang sayang, dekat dengan aku, iaitu pak cik aku sendiri. Sebelum ini aku ada memberikan satu amaun duit yang aku kira agak besar jugalah untuk tujuan membaiki rumah nenek yang usang yang mana rumah itu aku diami bersama ibu dan bapa saudaraku yang bedridden (oku fizikal). Disebabkan rumah itu sudah agak lama (rumah peninggalan nenek), namun masih tetap didiami oleh kami dan kadang-kadang bila ada acara-acara berupa hari raya, perkahwinan dan ziarah (pak cik aku yang oku), jadi rumah itu selalu didatangi dan dihuni oleh ramai ahli dan sanak saudara lain. Makanya atas dasar itu aku ambil keputusan untuk membaiki rumah tersebut untuk keselesaan semua orang kerana sebelum ini rumah ini sangat tidak menyelesakan (uzur, banyak yang rosak).

Ok aku sambung cerita aku memberikan sejumlah wang kepada bapa saudaraku untuk membaiki rumah tersebut untuk lebih selesa, pada akhirnya aku ditipu oleh bapa saudara aku sendiri, duit diambil dan dihabiskan, namun kerja pembaikian rumah tidak berjaya siap sepenuhnya seperti yang dijanjikan beliau sebelum ini alasannya sebab dia seorang datang buat kerja, penat dan tiada orang yang lain yang membantu. Aku pun faham keadaan dia, aku pun faham keadaan dia yang seorang buat kerja tersebut, kadang jika aku berada dikampung, aku pun turut sama membantunya buat kerja-kerja lelaki. Namun apa yang aku kesal dan kecewa, kenapa sebelum ini berbuat janji yang benda ini boleh dilaksanakan, kenapa sanggup padahal boleh sahaja untuk menarik diri jika rasa tidak boleh buat. Aku mempersoalkan kenapa perlu buat separuh jalan kerja tersebut sedangkan duit sudah ambil sepenuh namun kerja tidak bersiap sampai sekarang. Kenapa berjanji lain yang dilaksanakan lain? Aku hampir separuh mati bekerja, (kerja hakiki dan 2 kerja part time) membanting tulang 2 kerat aku mengumpul sejumlah wang tersebut untuk tujuan membaiki rumah ini. I’m work so really hard, trust me! Aku tersangat kecewa dengan dia, orang yang aku percayakan dan aku sayang selama ini boleh tergamak memperlakukan aku seperti ini. Sebelum ini ada orang nasihatkan aku untuk tidak terlalu percayakan ahli keluarga sendiri dalam hal duit. Iya, aku juga akui teguran itu benar, namun aku juga tiada pilihan lain pada waktu itu, kerana kalau ingin mengupah orang luar, kadar upahnya lebih mahal dan aku tidak mempunyai sejumlah wang yang banyak untuk mengupah orang lain. Pak cik aku sanggup, jadi aku sangat “put trust on him”kerana janjinya. Aku masih ingat lagi katanya, “Jangan risau lah, ayah cik akan baiki sampai siap la rumah ini, percayalah”. Aku hanya termenung panjang saat itu, duit telah diberikan dan dia menyakinkan aku dengan sebatas ayat itu.

Peristiwa kedua dan serentak berlaku pada waktu yang sama dengan kejadian diatas adalah kejadian aku putus cinta. Jika ditanyakan kepada seribu orang yang lain perihal episod putus cinta, sudah pastilah semua akan menjawab, putus cinta itu tersangatlah menyakitkan! Sama jugalah halnya dengan aku. Aku tidak sangka persahabatan yang dibina hampir 8 tahun musnah dengan sekelip mata hanya kerana confession yang aku buat kepada si dia dan aku ditolak! Bila berdepan dengan penolakan ini aku tersangatlah down, frustrated, nak marah, dan mengalami episod sedih yang berpanjangan, hal ini ditambah lagi dengan kejadian COVID-19 dan PKP yang memuncak yang membantut dan mengehadkan diri aku untuk keluar, menjalankan apa-apa aktiviti untuk mencari sumber penyembuh pada ketika itu. Sebegitu teruk efek kepada kedua-dua peristiwa ini mencelarukan minda aku sehinggakan ada thoughts untuk aku mengakhiri hidup sendiri. Pada waktu itu aku tidak mahu bercakap, aku selalu duduk berkurang dalam bilik seorang diri, aku menangis hampir setiap masa, berhari-hari, berbulan-bulan. Berat badan susut mendadak dek kerana tidak berselera untuk menjamah makanan.

Peristiwa ketiga menambah terukkan lagi keadaan diri aku pada waktu itu adalah hubungan tegang antara aku dan ibuku ketika diwaktu COVID yang semuanya berpunca daripada kesalahfahaman isu berkenaan dengan bapa tiri aku. Sememangnya sejak dari dahulu lagi perhubungan aku dan ibuku aku akan menjadi tegang apabila melibatkan hal bapa tiri. Semenjak ibu aku decide untuk berkahwin lain selepas kematian ayahku, hubungan kami dua beranak agak dingin, aku berasa seperti kasih sayangnya sebelum ini terhadap aku sudah dirompak oleh pihak ketiga. Aku menjadi sosok yang jarang meluah, berkongsi rahsia, melawak dengan ibu aku kerana ibu aku lebih memberikan perhatian kepada suami barunya. Sepanjang beberapa tahun perkahwinan mereka berdua, aku mendewasa dengan dendam dan segala macam aku persoalkan kenapa? Kenapa? dan kenapa?. Hatta untuk salah faham yang kecil pun, aku tidak mampu mengawal perasaan cemburu aku pada ketika itu apabila aku dibandingkan dengan ayah tiri aku yang lebih memahami keadaan ibuku. Waktu itu, dalam otak aku fikir bahawa apakah aku ini anak yang teruk sebab tidak berupaya memahami perasaan ibu sendiri dan aku persoalkan kenapa ibu aku sendiri gagal memahami perasaan yang terbuku dihati aku selama ini. Aku hanya mahukan ibuku yang sama persis dulu, yang care, peduli dengan anak-anak.

Ketiga-ketiga kejadian ini sangat mencelarukan otak aku pada ketika itu kerana aku stuck untuk keluar mencari solusi kepada kecelaruan emosi yang sedang aku alami saat itu. Aku tidak boleh berbuat apa-apa, untuk reach out for help tidak dibenarkan keluar atas arahan pihak berkuasa. Dengan hanya membuat panggilan telefon sahaja sejujurnya ia tidak membantu meleraikan kekusutan aku pada waktu itu. Aku perlukan seseorang yang bisa aku peluk dan luahkan tangisanku.

Walaubagaimanapun, setelah beberapa tahun berlalu, hal ini sudah menjadi kenangan memori lepas yang aku jadikan ianya sebagai satu pengajaran terbesar dalam kehidupan aku sekaligus merupakan sumber penguat kepada diri aku untuk menghadapi cabaran mahupun ujian di hari-hari mendatang. Seperti kata penguat bahasa Inggeris berbunyi, “The more you put yourself in uncomfortable situations, the faster you will become socially skilled, there are no shortcuts”. Dengan kenyataan ini, kita kena akui bahawa untuk menjadi peribadi yang tangguh (kuat) dan rentan, kita perlu menyediakan diri kita dengan ketahanan untuk menerima ujian hebat dalam kehidupan. Besarnya ujian yang dihadapi menjadikan kita orang yang hebat dimasa depan kelak. Dalam agama ada ayat al quran juga ada berkata “Allah tidak akan membebani seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya”(Al Baqarah, ayat 286).

Di sini aku kongsikan langkah-langkah yang aku ambil dalam usaha aku untuk sembuh dan betul-betul move on dengan keadaan tersebut. Dalam tempoh aku griefing dengan kejadian-kejadian tersebut, aku mulai mendekatkan diri dengan tuhan dengan join kelas-kelas agama online, mentadabbur al quran, dan menghayatinya. Selain itu, aku mulai mengikuti (follow) mental health page dan figura kesihatan mental yang juga banyak berkongsi mengenai ilmu kesihatan mental yang aku kira sangat menonjol dalam memperjuangkan isu kesihatan mental ini. Aku ada terbaca mengenai perkongsian daripada seorang advocator kesihatan mental mengatakan untuk mempraktikkan menulis journal sebagai salah satu langkah menyembuh. Aku cuba praktikkan tips ini, aku start journaling dan aku dapati hari-hari aku lebih bermakna dan ianya berhasil kerana banyak negative thoughts berjaya diterjemahkan dalam bentuk tulisan, aku rasa seperti berjaya meluahkan segala pemikiran aku dalam journal tersebut, dan ia menjadikan fikiranku lebih ringan. Apa yang menarik adalah melalui kegiatan ini, aku sudah berjaya mencungkil bakat aku untuk menjadi seorang penulis kerana kebanyakan masa aku habiskan untuk membaca dan menulis yang juga aku kira sebagai proses untuk aku sembuh dari luka semalam.

Dalam tempoh beberapa tahun ini juga aku mulai sibukkan diri aku dengan aktiviti pengembangan diri aku, aku banyak sertai bengkel penulisan, sibukkan diri dengan aktiviti membaca, banyak buat kerja outdoor, charity work, dan kerja part time yang lain untuk menghalang diri aku daripada overthinking seperti sebelum ini. Aku mengakui bahawa untuk pulih daripada trauma merupakan satu proses yang sangat sukar, dan ianya mengambil masa yang lama. Hakikatnya, hingga ke detik ini aku masih lagi berusaha untuk memaafkan dan melepaskan apa-apa hal yang bukan dalam kawalan aku. Hubungan aku dan ibuku yang sebelum ini agak tegang kini mulai pulih seiring dengan berlalunya masa, aku mulai sedar dan ambil pendekatan untuk memaafkan kerana aku tidak mahu menjadi seorang anak yang pada akhirnya aku menyesal satu hari nanti. Jika sebelum ini arwah ayahku pergi dengan terlalu awal, iaitu ketika aku masih dibangku sekolah lagi, jadi hal ini sedikit sebanyak membawa aku berfikir dengan sedalamnya bahawa biarlah dengan masa yang masih bersisa ini aku gunakan sebaiknya untuk bersama ibuku, mencipta momen-momen indah bersamanya selagi hayatnya masa ada. Aku tidak mahu menjadi anak yang menyesal satu hari nanti. Lagi pula aku juga terpana dengan satu kata-kata berbunyi “ Maafkanlah ibubapamu yang salah/gagal dalam mendidikmu, (tidak memenuhi ekpektasimu) kerana sama seperti kamu mereka juga baru kali pertama berada di kehidupan ini”.

Walaupun melalui episod duka yang agak sulit ini, namun aku tidaklah sampai ke tahap didiagnoskan seorang individu yang mempunyai mental illness dan untuk itu aku sangat bersyukur ke hadrat illahi kerana sehingga ke detik ini Allah masih memberikan kekuatan untuk meneruskan hidup dan menjadi insan yang lebih matang dalam menghadapi ujian kehidupan. Aku berharap semoga insan-insan yang lain yang sedang berjuang saat ini, mudah-mudahan Allah menyembuhkan kalian dari segala apa musibah atau unspoken words yang tak terdaya anda luahkan. Di kesempatan ini, aku juga ingin menyarankan kepada individu yang sedang berada dititik terendah atau yang mempunyai simptom-simptom masalah berkait mental illness agar take action untuk berjumpa dengan orang yang selayaknya seperti pakar kaunseling, medical practitioner (pakar psikiatri) dan lain-lain yang berkaitan dan semoga dengan intervensi awal yang diambil ini mampu menyembuhkan kalian untuk terus bertumbuh mendepani kehidupan hari ini.

Saya akhiri kongsi #kisahkita dengan satu cuplikan kata-kata penyembuh daripada Ellen Degeneras “Kamu tidak tahu di mana saat-saat tergelap dalam hidup mu akan berakhir, jadi kamu harus terus maju”.

Kongsikan kisah ini

Facebook
Twitter
WhatsApp

Kisah Terkini

Kisah #26 : Saya Ketakutan

Semakin hari, dada saya semakin sakit! Kepala saya semakin pening! Badan saya kerap ‘shaking’ apabila berhadapan dengan situasi keramaian..

Kisah #25 : Aku Menderita

Menderita? Benarkah? Aku tidak begitu ingat. Tetapi jika tidak, mengapa aku terpaksa menggalas beban kemurungan sejak bersekolah?