Aku bukanlah seorang manusia yang sempurna.Aku lahir dalam keluarga Yang sederhana dari segi kekayaan tetapi mewah dengan kasih sayang.Sedari kecil,aku dibesarkan dengan kasih sayang ibu dan bapaku,dididik dengan sabar dan tegas oleh mereka.Aku berasa beruntung kerana mempunyai ibu dan bapa yang prihatin dan penyayang seperti mereka berdua walaupun kadang kala aku berasa sedikit rimas dengan sifat mereka berdua yang seolah-olah mengongkong kehidupanku.Sungguh aku tidak menyangka bahawa perkara yang dahulunya dibenci olehku kini menjadi perkara yang dirindui sepenuh hatiku.
Kerana kerja, bapaku terpaksa meninggalkan aku dan keluarga di kampung,berulang alik pada hari minggu dari Kuantan ke Temerloh.Kadang kala aku tidak bertemunya selama sebulan.Sehinggalah aku berumur lapan tahun,bapaku meminta kami pindah ke Kuantan juga kerana menyedari keluargaku di kampung,rumah yang kami tumpangi berasa sedikit tidak selesa dengan kami.Tambahan pula ibuku disahkan menghidap sakit kronik misterius.Aku berasa bahagia kerana akhirnya aku dapat bersama bapaku yang jarang sekali ku temui ketika aku membesar.Lebih-lebih lagi kerana aku juga berasa kecil hati dengan ayat-ayat negatif yang dapat telinga kecilku tangkap mengenai aku dan keluarga.Itulah kali pertama aku mendengar ayat “Dia itu Mulut Murai.Bising sangat.”Seawal umur lapan tahun,aku sudah mengetahui maksud Mulut Murai kerana aku seorang yang ingin tahu segala-galanya.Andai masa bisa diundur,aku ingin untuk tidak terlalu dimakan perasaan ingin tahu kerana parut lukanya masih berbisa hingga masa hadapan.
Kami tinggal bersama-sama sejak itu,menghadapi liku-liku hidup yang pahit tetapi sangat manis jika bersama keluarga.Aku seorang yang ganas semasa sekolah rendah,hanya mempunyai seorang rakan karib,sering mencari gaduh dengan orang tetapi lembut di dalam hati.Namun dia berpindah ketika aku berusia 11 tahun,meninggalkan aku dan membawa separuh jiwa ku bersamanya kerana aku tidak punya kawan yang memahamiku selain darinya.Hidup aku walaupun pernah aku berasa kecil hati,sakit dan sedih namun aku masih bahagia dan berasa lengkap.Sehinggalah kami terpaksa berpindah ke Temerloh semula kerana kerja ayahku ketika aku berusia 12 tahun.
Aku meminati seseorang di sekolah baharuku.Seperti orang putih kata “childhood sweetheart”,cuma kisahku penuh dengan hinaan,cacian dan kesakitan.Dia merupakan anak kepada guruku,seorang yang mementingkan status dan kekayaan.Aku hanyalah anak orang biasa maka apabila dia mengetahui perasaan aku,aku dihina dibelakang sehingga dia mendoakanku agar tidak lulus UPSR kerana memberi hadiah kepada anaknya.Aku masih tidak faham tentang dunia ketika itu,tetapi ibuku memarahiku dengan sangat teruk dan menyuruh aku berhenti menyukai dia.Ibuku memaklumkan aku bahawa cikgu tersebut menghina aku di publik,gerai-gerai awam dan kedai-kedai berdekatan.Sama ada betul atau tidak masih tidak kuketahui namun ibuku tidak mungkin menipuku.Aku berasa malu dan mungkin itulah permulaan kepada masalah kesihatan mentalku.
Walaupun dengan doa berunsur negatif tersebut,aku masih berjaya dalam UPSR dengan 4A.Itulah kali pertama aku berasa sangat gagal dan kecewa dengan diri sendiri kerana sepanjang peperiksaan sebelumnya aku sering mendapat 6A atau 5A.Aku tidak menangis ketika menerima keputusan hinggalah hari-hari seterusnya.Namun hatiku berasa kecewa dan berat serta wujud satu perasaan yang tidak ku fahami sehinggalah aku di sekolah menengah nanti.Aku juga tidak dapat melihat ibu bapaku secara betul-betul kerana aku berasa seolah-olah aku telah mengecewakan mereka.Aku tidak berjaya seperti abangku.
Aku menerima panggilan ke sebuah sekolah kluster berdekatan.Aku diterima masuk ke dalam asrama dan bermula kehidupan asramaku.Ketika hari pertama,aku tidak biasa menggunakan seterika jenis ringan yang disediakan maka baju dan tudungku agak jelas masih berkedut.Namun,aku masih muda ketika itu,tanpa rasa malu aku pergi ke sekolah.Ketika kami dibawa ke makmal untuk sesi pengenalan,seorang guru menegur aku dengan lantang di khalayak ramai mengenai pakaian kedutku.Dia mengatakan aku seorang pemalas dan pengotor.Aku tidak pernah berasa malu seperti itu sehingga aku hanya mahu balik dan mengurung diri dalam sebuah ruangan kosong.
Aku menerima panggilan ke MRSM seminggu selepas itu.Aku enggan menerima kerana sudah terbiasa di sini namun ibuku memaksaku.Akhirnya aku bersetuju walapun berat hatiku.Pengalaman aku di sekolah kluster tersebut berhenti di situ,walaupun seminggu tersebut dipenuhi dengan pengalaman pahit dan memalukan, aku teruskan hidup.Tanpa kusedari aku telah memilih jalan yang sangat menyakitkan dalam hidupku.Aku dengan tudung labuhku memasuki halaman MRSM dengan hati yang berat namun berazam untuk mencipta kenangan terindah.Alangkah sia-sianya hasrat aku tersebut kerana aku telah menggadaikan maruah dan kesihatan mentalku.
Aku telah menerima kejutan budaya bagai rusa masuk kampung di situ.Tidak pernah aku meminati seseorang seperti itu.Tambahan lagi dia seorang wanita,berumur 17 tahun.Lima tahun lebih tua dariku.Aku menjadikan dia sebagai idola dan ingin menjadi seperti dia.Perkara ini telah menjerat leherku sendiri,membawa aku jauh ke dasar laut dan tergapai-gapai untuk kembali ke atas demi mencari oksigen.Sebuah perasaan yang dahulunya murni dan suci telah menjadi gelap dan aneh.Dari sekadar menjadikan dia sebagai idola,aku menjadi obses dengannya.Aku melakukan segala-galaya untuk menerima perhatiannya.Aku ingin menjadi dia,memiliki apa yang dia miliki termasuklah seorang kawan lelakinya yang kudengar meminatinya.
Malangnya aku juga meminati kawan lelakinya tersebut.Mulanya aku ingatkan ia adalah sebuah perasaan minat yang normal seperti sebelumnya namun setelah aku sedar darinya segalanya telah terlambat.Aku menjadi obses dengan lelaki tersebut,dahagakan perhatiannya dan berbangga dengan mesejku yang dibalasnya.Aku menjadi “stalker” seawal usia 13 belas tahun.Tidak ku peduli pasal pelajaran lagi.Segalanya berpaksi pada mereka berdua.Aku juga telah menjadikan menggosok pakaian sehingga tiada kedut walaupun sedikit sebagai rutin harianku.Aku bangun pada pukul tiga atau empat pagi sehingga pukul lima dan menggosok pakaian yang kadang kala sudah ku gosok kerana aku risau sekiranya ada cacat cela.
Waktu petangku setelah habis kelas persediaan di isi dengan menggosok pakaian.Aku berasa letih namun aku takut dengan pandangan orang.Sekiranya ada cacat cela pada pakaianku,mereka berdua tidak akan memandangku dan aku akan dipandang hina oleh semua orang.Aku berasa seperti tangan dan kakiku telah terikat dengan tali atau rantai besi,menghalang aku dari melakukan perkara lain.Lama kelamaan aku berasa ketagih dengan apa yang kulakukan dan tidak lagi letih.Aku juga telah di khianati berkali-kali oleh seseorang yang kusangka teman karibku
Malam November ketika SPM berlangsung,sebelum kami balik bercuti ,aku dan dia dipanggil dan aku teruk diherdik,dihina dan dimarahi.Rakan-rakanku memilih untuk memujuk dia dan meninggalkan aku berseorangan di dalam bilik.Aku juga ingin dipeluk dan ingin seseorang untuk prihatin kepadaku tetapi itu hanyalah angan-angan kosong.Aku telah memecahkan cermin peribadiku dan itu kali pertama aku ingin mati.Namun,kawanku masuk ke bilik telah menyedarkan aku sebelum aku berbuat apa-apa.Tambahan pula seminggu sebelum itu,ibuku sedang tenat dan ayahku masih dimanipulasi oleh seorang wanita keji yang ingin memporak-perandakan keluargaku.Aku telah dipukul dan dicekik di khalayak ramai kerana ingin bersama ibuku di rumah serta tidak mahu meninggalkan dia berseorangan.Ibuku sudahla sakit kronik dan baru beranak,ayahku pula sudah berubah 180 darjah kerana kehadiran pihak ketiga.Dia telah memukul ibuku dan mengherdik serta mengugut adikku yang baru berusia beberapa bulan kerana bising menangis.
Sejak peristiwa dipukul di khalayak ramai tersebut,aku tidak pernah menjejakkan kaki ke restoran itu lagi.Dan selama empat tahun aku hanya memiliki seorang kawan kerana satu sekolah tidak menyukaiku walaupun aku sudah cuba untuk berubah.Aku tidak lagi dahagakan perhatian,tidak lagi mahu menyerlah dan tidak ingin bersuara lagi jika tiada keperluan.Aku melakukan kesilapan kerana aku juga manusia sepanjang empat tahun tersebut dan aku teruk dihina dan dikeji.Aku mengakui aku salah namun kenapa aku harus dihukum berterusan?Keluarga besarku juga ada yang menghina aku,mengatakan aku tidak lawa,tidak cerdik seperti abangku dan sebagainya.
Ayahku telah bebas dari cengkaman manipulasi wanita keji tersebut namun apa yang telah rosak tidak dapat dibaiki lagi.Aku menjadi agresif di rumah dan memarahi semua orang namun di sekolah aku menjadi pendiam dan seorang “outcast”.Aku membenci dunia,membenci semua orang dan diri sendiri.Aku hanya ingin mendengar musik dan berangan sahaja.Peristiwa malang telah menyebabkan aku tukar sekolah sebelum aku memasuki tingkatan lima.Aku telah mencuba bunuh diri akibat kesalahanku sendiri dan juga kerana aku penat.Di sekolah baharu,aku cuba untuk menyesuaikan diri namun gagal.Aku dihantui kisah silam,takut dengan pandangan orang.Aku pindah ke sekolah kluster lamaku dan aku menerima pelbagai reaksi dari mereka.Ada yang membenciku,menyindirku dan melayan aku separuh hati.Namun ada yang menerima aku dengan tangan terbuka tetapi masih tidak cukup untuk membebaskan aku daripada mindaku.Aku telah terlalu jauh tenggelam dalam api volkano mindaku yang membakar semangatku untuk terus hidup sehingga menjadi abu.
Setelah pertengkaran dengan ayahku,dia telah membawa aku ke unit psikiatri.Dan aku menceritakan segala-galanya kepada doktor tersebut.Dan aku juga menceritakan bahawa aku menyukai kematian,mencintai fikiran mengenai kematian namun aku benci kesakitan.Sebab itu aku masih bertahan hidup kerana aku benci kesakitan.Aku telah disahkan dengan PDD with PTSD serta di ikuti dengan Obsessive Compulsive Disorder (OCD).Doktor aku turut berkata bahawa seharusnya aku bertemu pakar ketika aku berusia 13 tahun iaitu lima tahun lepas kerana apa yang aku alami lima tahun lepas sangat membimbangkan.Dia turut berkata bahawa aku mungkin menghadapi Obsessive Love Disorder (OLD) pada lima tahun lepas yang berkait rapat dengan PTSD serta OCD,mengatakan bahawa itu adalah permulaan segalanya.Sejak itu,aku mula mengikuti terapi dan memulihkan diri sendiri.
Doktor menyarankan aku agar menulis atau melukis untuk meluahkan perasaan.Aku memang gemar menulis novel,puisi,lagu ciptaan sendiri dan cerpen dalam bahasa Melayu dan Inggeris.Semakin hari semakin banyak file hasil karyaku dan aku tidak lagi teruk seperti dahulu.Aku masih mengimpikan kematian tetapi aku tidak lagi mencuba membunuh diri dengan menelan pil .Aku mungkin tidak pulih sepenuhnya namun aku yakin aku boleh teruskan hidup.Dunia ini tidak kejam tetapi manusia yang menghuninya yang kejam.
Walau bagaimanapun,dunia ini mungkin dipenuhi insan yang kejam namun ia masih cantik .Biar bintang-bintang yang berkelipan di langit malam menjadi saksi jatuh bangun kehidupanku,biar matahari yang terbit dari timur dan tenggelam di barat menjadi saksi bahawa aku masih hidup dan kuat,biar air mataku menjadi bukti bahawa aku seorang “survivor”,biar ayat-ayat yang kukarang menjadi tanda bahawa luka dan parut yang terhasil akibat kekejaman mulut dan perlakuan manusia tidak akan pernah sembuh namun ia bisa dikurangkan kesakitannya dan biar tuhan menjadi saksi hambanya yang ingin bertaubat dan hidup.
Jika semesta mengizinkan aku untuk kembali ke masa lalu,aku tidak akan berbuat apa-apa untuk mengubahnya kerana segalanya telah mengajar aku erti sebenar kehidupan,kecantikkan dan keburukkan kehidupan.Aku bersumpah atas nama segala yang baik dan buruk di dunia fana ini untuk membantu mereka yang masih berada di dalam kegelapan yang kosong serta menggantung bintang di langit malam mereka.