Autisme Dewasa Tidak Bekerja: Cabaran yang Mereka Hadapi

high-angle-quitting-note-box (1)

Pernahkah anda terfikir bagaimana individu dengan autisme mencari dan mendapatkan pekerjaan?

Kita semua sudah sedia maklum bahawa tidak banyak syarikat yang menyediakan peluang pekerjaan untuk individu OKU (Orang Kelainan Upaya), tidak ketinggalan juga bagi individu dengan autisme.

Berdasarkan laporan menerusi Astro Awani, 90% individu dengan autisme di Malaysia tidak bekerja. Hal ini kerana, mereka tidak mempunyai pelbagai pilihan pekerjaan serta peluang yang terhad dalam beberapa bidang pekerjaan. 

Kebanyakan syarikat atau mana-mana sektor pekerjaan di negara ini tidak menyediakan banyak peluang dalam pengambilan individu dengan autisme untuk bekerja kerana mereka dilihat mempunyai kekurangan dari segi kemahiran kognitif.

Cabaran yang Dihadapi Oleh Individu dengan Autisme

Tidak ramai yang menyedari tentang cabaran yang dihadapi oleh golongan autisme dewasa dalam bidang pekerjaan. Kemahiran kognitif mereka yang terhad telah menyukarkan mereka untuk mencari pekerjaan dan berinteraksi dengan orang lain dalam situasi sosial.

Antara cabaran yang mereka hadapi adalah seperti:

  • Kesukaran dalam mengikut peraturan/arahan.
  • Kesukaran dalam melakukan sebarang perubahan pada rutin atau skop kerja mereka (rigid).
  • Mempunyai masalah interpersonal (sosial & komunikasi).
  • Pilihan karier/kerjaya yang salah atau kurang sesuai.
  • Cepat berasa letih disebabkan isu sensori mereka.
  • Masking (menyembunyikan ciri-ciri autistik ketika di tempat kerja).
  • Kesukaran untuk memajukan diri.


Jadi, bagaimanakah kita dapat menyokong komuniti autisme di negara ini dari segi pekerjaan?

Inisiatif yang Boleh Dilakukan untuk Membantu Mereka

Terdapat beberapa badan atau pertubuhan yang berusaha untuk membantu individu dengan autisme dalam membina kerjaya mereka. Kebanyakan badan atau pertubuhan ini ditubuhkan oleh pakar dan juga para ibu bapa yang mempunyai anak dengan autisme.

Pelbagai program dan aktiviti telah mereka lakukan untuk membantu komuniti autisme di Malaysia.

Contohnya, Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) pernah melancarkan program Pakar E-dagang Bertauliah (CES) Tahap 1, bagi memperkasakan lagi belia yang mengalami masalah autisme di Malaysia.

Program ini membolehkan mereka mengolah tradisi dan membuka peluang baharu bagi komuniti autisme di negara ini.

Selain itu, terdapat sebuah kafe bernama Autism Café Project. Kafe ini diusahakan oleh Mohd Adli Yahya, yang merupakan seorang ayah kepada anaknya yang mempunyai ASD. Beliau mendapat idea untuk memulakan projek tersebut selepas memikirkan nasib anak lelakinya itu.

Kafe tersebut bertempat di pusat beli-belah DaMen di kawasan USJ Subang, Selangor. Ia adalah sebuah kafe yang menggaji individu dengan autisme sebagai para pekerjanya. Individu-individu ini ditemui melalui platform media sosial projek ini.

Usaha-usaha ini dilihat sebagai suatu inisiatif untuk membantu komuniti autisme di negara kita untuk mengembangkan bakat serta kemahiran mereka. Ia juga dapat membantu mereka bersosial dan berkomunikasi dengan belia seusia mereka di samping mencuba pelbagai perkara baharu.

Pada masa yang sama, ia dapat memberikan pendedahan kepada masyarakat di negara ini tentang kesedaran berkaitan autisme. Sokongan motivasi dan bantuan daripada kita juga dapat membantu mereka untuk terus maju ke hadapan.

Hubungi Kami

Jika anda mengenali mana-mana individu yang mempunyai simptom autisme, boleh bantu mereka dengan membawa mereka berjumpa dengan psikologis klinikal kami bagi mendapatkan penilaian awal dan khidmat nasihat dengan segera.

[njwa_button id="9314"]

Kongsikan artikel ini

Facebook
Twitter
WhatsApp