‘Suicidal thought’ biasanya digunakan kepada mereka yang selalu berfikir untuk bunuh diri. Aku salah seorang yang tak terkecuali. Cerita ini tak pernah aku ceritakan kepada sesiapa sebelum ini.
Waktu itu, aku berumur 12 tahun. Rumah aku jenis rumah kayu termasuk perabot dan pintu. Satu hari, abangku bergurau dengan tidak beri aku keluar dari bilik dengan menyekat pintu dengan kakinya. Disebabkan aku takut berada dibilik bersendirian aku pon tendanglah pintu kayu tersebut sehingga satu papannya tercabut dan terkena kaki abangku. Dia marah aku dan ibu aku juga marah. Katanya dia tak ajar anaknya menjadi gangster tanpa bertanya apa yang terjadi. Oleh sebab itu, aku mula overthinking dan depresi. Aku rasa itu bukan salahku tapi kenapa aku dimarahi. Aku mula fikir untuk lari rumah, mula fikir untuk mengambil pisau dan mengelar lenganku. Tapi aku batalkan niat kerana fikir azab Tuhan menghampiri dek aku dibesarkan dengan didikan agama. Akhirnya aku cuma mampu nangis dalam diam. Mungkin setengah orang fikir itu cuma fikiran kanak-kanak tapi ia boleh beri impak untuk masa yang akan datang.
Saat itulah suicidal thought muncul dalam fikiranku sehinggalah aku masuk ke alam remaja. Fikiran untuk bunuh diri sentiasa muncul. Saat naik bangunan tinggi, aku fikir untuk terjun. Saat aku lihat benda tajam, aku terfikir untuk mengelar diriku atau orang terdekat. Saat depresi, aku sentiasa rasa yang aku ni tak guna. Fikir yang tak layak hidup didunia. Apa-apa, aku hanya mampu menangis seorang diri. Nak luah, aku ni lelaki. Nanti dikatakan manja pula. Kerana takut orang melihat serong, jadi aku abaikan hasrat tersebut.
Oleh itu, aku membiasakan diri aku dengan bersendirian. Aku elakkan untuk wujudkan apa-apa kontroversi. Jika sesuatu yang mungkin dapat menimbulkan suicidal thought itu kembali, cepat-cepat aku berpandangan dengan sisi positif. Aku pernah mendapatkan kaunseling, dan kaunselor itu mengajakku berbual dan berfikir tentang tiada jalan pintas untuk ke syurga. Bunuh diri katanya bukanlah solusi tapi cuma permainan emosi. Ada perkara kita kena hadap di dunia untuk mematangkan kita dan beri pengajaran untuk kemudian hari. Dia memujukku untuk berdamai dengan masalah dan takdir.
Dia tidak menyalahiku malah dia bergembira aku sudi bercerita kepadanya. Katanya, aku perlukan kasih sayang dan menyuruhku untuk menyebarkan kasih sayang seiring menerimanya. Alhamdulillah, itulah yang aku cuba amalkan. Aku cuba beri sesuatu kepada orang lain, dan sedikit sebanyak membuatkan aku bersyukur dan lupa tentang dunia gelap yang selalu menghantuiku. Sarannya juga untuk aku melakukan apa yang aku suka. Katanya tidak terhad kepada hobi sahaja, tapi dari segi pilihan yang aku rasa terbaik untuk diri aku. Namun jika aku mulai untuk rasa jatuh, aku akan mencari kaunseling secara direct kepada kaunselor atau meminta nasihat daripada keluarga rapat dan sahabat rapat. Sumpah tak mudah, tapi paling kurang ada peningkatan untuk kestabilan kesihatan mentalku.