Membesar sebagai anak perempuan sulung bukanlah sesuatu yang mudah. Tanggungjawab dan ekspetasi telah diletakkan di bahu kita sejak sebelum kita keluar dari perut ibu dan menyapa dunia lagi. “Nanti dah besar, anak ibu boleh ajar adik-adik,” atau “Nanti kakak buat semua kerja rumah ya.” Bukannya tidak ikhlas, tetapi berat bebanannya hanya Tuhan yang tahu.
Belum disentuh bab ekspetasi sebagai seorang wanita di kalangan masyarakat. Orang ramai menganggap kita ini matang lebih cepat, walhal sebenarnya anak perempuan didenda, dimarahi, ditengking lebih awal, lebih banyak berbanding anak lelaki. Ini merupakan fakta yang telah dilakukan oleh Philippa Law di dalam kajian Classroom Talk beliau. Dibuktikan ibu bapa lebih mengawal perbualan dengan anak perempuan berbanding anak lelaki. Anak perempuan lebih dipotong dan dicelah percakapannya dan kurang didengari pendapatnya, tidak diambil kira kata-katanya. Sampai bila perkara ini akan berkekalan?
Banyak lagi kejadian yang telah mencalar dan merosakkan kehidupan saya. Melihat berita-berita segala kekejaman dan kejahilan manusia terhadap kaum wanita sentiasa merobekkan dan menjatuhkan semangat saya. Saya hanya mampu berdoa, mampu menyebarkan berita dan informasi sebagai “awareness”, hanya mampu berharap dunia akan lebih mengasihi dan menyayangi wanita.
Alhamdulillah, saya tetap mempunyai seorang lelaki yang boleh saya percayai, yang saya boleh panggil “Acu”, atau lebih tepat lagi pakcik saya. Dunia dan manusia tidaklah begitu manis dan baik pada saya ketika saya membesar, tetapi di dalam memori saya, adanya Acu yang sentiasa cuba menggembirakan saya dengan mainan dan buku-buku komik yang sehingga sekarang saya minat. Acu tidak pernah marah saya jika saya membuat kesalahan, hanya menasihati dan menyokong saya untuk cuba lagi dan lagi. Acu tidak pernah memperlekehkan saya ketika saya “emotional breakdown” atau menghadapi “flashbacks” disebabkan PTSD saya. Acu tidak pernah menyuruh saya untuk menjadi seseorang yang bukan diri saya, hanya mahukan kebahagiaan dan ketenangan untuk saya.
Disebabkan keikhlasan dan kesungguhan Acu dalam menjaga saya, saya memaksa diri untuk sembuh. Saya mula berjumpa dengan doktor psikiatri, bersenam, meletakkan diri saya sebagai keutamaan. Perasaan takut dan gelisah memakan diri saya pada mulanya atas sebab mendengar banyak cerita dan pengalaman buruk orang lain dengan pihak hospital. Alhamdulillah sekali lagi, saya ditemukan dengan orang-orang yang benar mahu menolong saya kembali sihat dari segi mental dan fizikal. Bukanlah mudah untuk membaiki semula diri kerana trauma telah mengubah otak dan badan kita, tetapi saya tetap teguh dan berani kerana saya mahu membuka muka surat yang baharu, kerana saya berhak bahagia dalam hidup saya sendiri.
Pentingnya terapi dan sokongan dari orang tersayang untuk sembuh dari segala jenis trauma, adalah tidak terkata. Orang yang tidak mempunyai trauma juga boleh mendapatkan terapi kerana ianya untuk membantu kita menjadi lebih baik dari semua aspek. Janganlah berasa malu atau takut, pedulikan masyarakat yang memandang kita remeh atau memanggil kita “gila”. Kita membuat pilihan untuk kebaikan diri kita sendiri. Berpegang teguh dan percaya bahawa ini yang kita perlukan, dan kita layak untuk menerima pertolongan. Tiada istilah terlambat atau tidak memadai. Dengan mengutamakan kesihatan mental dan membaikpulih diri kita, kita juga akan melahirkan generasi yang lebih prihatin dan mengambil berat antara satu sama lain. Ingatlah orang sentiasa mahukan yang terbaik untuk anda, dan kami semua sayang anda. Anda penting, cukup baik, dan boleh.