“Rasa sayang la nak buang barang-barang ni.”
“Boleh guna lagi ni barang ni, simpan dulu.”
Begitulah antara beberapa alasan yang sering dilontarkan oleh individu yang mempunyai Hoarding disorder.
Definisi
Hoarding disorder atau gangguan penimbunan adalah suatu gangguan kesihatan mental dimana pesakit mempunyai kecenderungan untuk menyimpan barang-barang secara berlebihan tanpa mengira sama ada barangan tersebut mempunyai nilai, masih boleh digunakan atau pun tidak.
Individu yang mengalami gangguan sering mengalami kebimbangan dan tekanan apabila ingin membuang barangan tersebut. Sekiranya tidak diberikan perhatian dengan lebih lanjut, gangguan ini boleh mengganggu fungsi hidup mereka serta orang sekeliling seperti pasangan atau ahli keluarga lain.
Kesan
Terdapat segelintir masyarakat kita yang berasa sukar untuk membuang atau melepaskan barang-barang yang sudah lama terperap di rumah mereka. Hal ini kebiasaannya akan menyebabkan keadaan rumah menjadi tidak teratur, kotor, sempit dan semestinya menimbulkan rasa tidak selesa kepada penghuni rumah yang lain.
Malah, kebanyakan barang-barang yang disimpan merupakan barang yang sudah tiada makna mahupun kegunaan kepada pemiliknya.
Sehingga kini, masyarakat Malaysia kurang mendapat pendedahan berkaitan gangguan ini berikutan ramai yang memandang remeh hal ini dan menganggap ia merupakan sebahagian daripada personaliti mereka sahaja.
Punca
Menurut Naib Presiden Persatuan Psikologi Malaysia (PSIMA), Dr Shazli Ezzat Ghazali, gangguan ini tergolong dalam penyakit mental di dalam Diagnostic Manual and Statistical Manual of Mental Disorder Fifth Edition (DSM-5).
Beliau juga menyatakan gangguan ini sering dikaitkan atau berpunca daripada gangguan Obsessive-Compulsive Disorder (OCD), kenangan nostalgia terhadap sesetengah barangan tersebut, serta faktor keturunan yang diturunkan secara genetik dari keluarga pesakit.
Simptom
Antara simptom yang boleh dilihat adalah individu tersebut mudah berasa bimbang dan tertekan apabila mereka cuba membuang barangan yang disimpan serta tidak mampu mengemas barangan dengan kemas dan teratur.
Individu tersebut juga sering mempunyai masalah pemikiran dan tingkah laku obsesif seperti kerisauan sekiranya barangan tersebut akan dibuang serta kompulsif seperti keinginan untuk mengumpul lebih banyak barang lagi di kawasan bilik mahupun rumah individu tersebut.
Rawatan
Rawatan bagi keadaan ini kebiasaannya melibatkan ubat-ubatan dan terapi tingkah laku kognitif (CBT). Ubat-ubatan hanya akan diberikan untuk menenangkan individu yang mengalami gejala kebimbangan (anxious) yang melampau sehingga mengganggu fungsi hidup mereka.
Kaedah CBT pula digunakan untuk mengajar individu tersebut untuk membuang barangan mereka secara beransur-ansur serta membantu mengurangkan tekanan disamping mengurangkan keinginan untuk menyimpan lebih banyak barang. Kaedah ini juga akan membantu mereka menjadi lebih kemas dan teratur serta membantu individu membuat keputusan dengan lebih tenang dan relaks.
Hubungi Kami
Jika anda atau orang tersayang sedang bergelut dengan isu ini, sebaiknya berjumpalah dengan ahli profesional kesihatan mental yang mempunyai kepakaran dalam mendiagnosis dan merawat keadaan ini.