Bagi membentuk akhlak yang baik dalam diri anak-anak, kadangkala hukuman perlu untuk mendisiplinkan mereka. Tetapi, sesetengah ibu bapa di luar sana sering mengambil jalan pintas dengan bertindak memukul, merotan atau memekik anak mereka dengan alasan untuk mendidik.
Perlu ditekankan bahawa memukul, merotan atau memekik bukanlah satu pilihan hukuman yang terbaik.
Kajian telah menunjukkan bahawa peneguhan positif (positive reinforcement) seperti pujian, jauh lebih berkesan daripada tindakan-tindakan tersebut. Ia merupakan satu alat ‘berkuasa’ yang boleh digunakan oleh ibu bapa untuk menggalakkan tingkah laku yang baik pada anak-anak.
Tambahan pula, pujian mempunyai manfaat lain yang baik untuk anak anda. Pujian memupuk keyakinan dan jati diri anak anda. Dengan menggunakan pujian, anda menunjukkan kepada anak anda cara berfikir dan bercakap secara positif tentang diri mereka sendiri.
Anda juga secara tidak langsung membantu anak anda belajar cara mengenali kejayaan mereka dan berasa bangga dengan diri mereka sendiri. Pujian diberikan secara berbeza bergantung kepada umur anak anda.
Bagaimana cara untuk memberikan pujian kepada anak?
- Mulakan dengan langkah kecil
Daripada menunggu anak anda mematuhi peraturan sepanjang hari, puji mereka apabila mereka mematuhi peraturan selama 15 minit. Fokus pada langkah-langkah ke arah mencapai matlamat (tingkah laku yang diinginkan), bukannya matlamat akhir itu sendiri.
“Terima kasih sebab ingat untuk kemas bilik kamu.”
- Beri perhatian ketika anak melakukan sesuatu yang baik
Kebiasaaanya, ibu bapa lebih sering memberi lebih tumpuan kepada tingkah laku yang tidak diingini, dan bukannya tingkah laku yang baik. Buat satu titik untuk memuji tingkah laku anak anda yang baik, walaupun ia kelihatan biasa seperti bercakap secara lembut tanpa bertengkar dengan adik-beradik lain.
“Bagus, tadi awak bercakap baik-baik dengan abang.”
- Puji usaha, bukan hasil
Banyak perkara dalam hidup adalah di luar kawalan kita. Sebagai contoh, anak anda mungkin belajar selama berjam-jam dan masih tidak mendapat gred yang mereka inginkan. Dengan memuji tindakan yang berada dalam kawalan anak anda (belajar), anda akan mengajar mereka kemahiran yang lebih berkemungkinan menghasilkan hasil yang baik (gred yang baik).
“Kamu dah lakukan yang terbaik dengan belajar bersungguh-sungguh. Ibu ayah bangga dengan kamu. Cuba lagi selepas ni untuk dapatkan keputusan yang lebih cemerlang.”
- Konsisten
Hanya dengan sekali sahaja anda memuji anak anda, ia tidak akan memperbaiki tingkah laku mereka secara serta-merta. Memberi pujian dengan kerap akan membantu anak anda membina tingkah laku yang anda inginkan.
- Jangan terlalu bimbang dengan perkara kecil
Apabila kanak-kanak tidak mendapat perhatian yang positif, mereka selalunya akan membuat perangai untuk mendapatkan perhatian ibu bapa . Jika tingkah laku yang tidak diingini tidak berbahaya atau merosakkan, cuba abaikan. Selepas tingkah laku yang tidak diingini itu berhenti, tunggu beberapa saat, dan puji anak anda untuk sesuatu yang baik yang mereka lakukan.