Anak Anda Malu atau Selective Mutism?: Kenali Apa itu Selective Mutism.

WhatsApp Image 2023-02-06 at 12.42.53

Pernahkah anda melihat anak anda menjadi terlalu pemalu dan pendiam apabila berada di tempat awam?

Adakah sikap itu normal atau perlu diberikan perhatian? Mungkin ada di kalangan anda yang tidak tahu tentang apa itu selective mutism. Malu dan selective mutism adalah dua tingkah laku yang berbeza. Mari kita fahami isu ini dengan lebih mendalam.

Selective mutism adalah sejenis childhood anxiety disorder (masalah kebimbangan kanak-kanak) yang kompleks kerana ia melibatkan ketidakupayaan seorang kanak-kanak tersebut untuk menghasilkan pertuturan ataupun berkomunikasi dengan baik dalam situasi tertentu. Ianya adalah disebabkan rasa takut atau bimbang yang berlebihan (severe anxiety)  jika mereka cuba untuk berkomunikasi. Contohnya ketika di sekolah, atau di tempat awam

Kanak-kanak ini biasanya hanya akan selesa untuk berbuat sedemikian apabila mereka berasa selamat dan tenang. Misalnya, dengan kehadiran ahli keluarga terdekat seperti ibu bapa dan adik-beradik mereka sahaja. Bagi sesetengah kanak-kanak dengan selective mutism, ahli keluarga lain seperti datuk dan nenek serta saudara-mara seperti sepupu juga mungkin boleh membuatkan mereka berasa kurang selesa untuk berkomunikasi seperti biasa.

Namun, mereka tidak mendiamkan diri dengan sengaja mahupun cuba mengawal sesebuah situasi dengan bertindak sedemikian. Tingkah laku tersebut merupakan cara mereka untuk melindungi diri mereka daripada perasaan takut dan bimbang yang berlebihan. Oleh sebab itulah, ia dipanggil sebagai selective di mana kanak-kanak tersebut hanya memilih situasi tertentu untuk mereka berdiam diri atau tidak berkomunikasi dengan orang lain.

Akan tetapi, perlu difahamkan bahawa bukan semua kanak-kanak dengan selective mutism akan menunjukkan atau menyatakan kebimbangan mereka dengan cara yang sama. Sesetengah kanak-kanak mungkin akan diam sepenuhnya atau tidak mampu untuk berkomunikasi dengan sesiapa jika mereka berada di dalam situasi yang memerlukan mereka untuk bersosial. Sesetengah daripadanya juga mungkin akan bercakap tetapi hanya dengan beberapa orang yang terpilih atau mereka mungkin hanya akan berbisik.

Jadi, sebagai ibu bapa, bagaimanakah anda boleh tahu jika anak anda mempunyai selective mutism? Berikut adalah beberapa ciri-ciri yang ibu bapa boleh cuba perhatikan pada anak anda:

  • Tidak memulakan perbualan ataupun respon mengikut turutan apabila berada di dalam suasana yang melibatkan interaksi sosial.
  • Kurang bercakap sama ada dengan kanak-kanak mahupun orang dewasa.
  • Tidak mempunyai keinginan untuk bercakap di sekolah.
  • Mungkin berkeinginan atau seronok untuk melibatkan diri dalam aktiviti atau acara yang tidak memerlukan mereka untuk berkomunikasi/berbual secara lisan (verbal).
  • Bercakap hanya dengan kehadiran ahli keluarga utama.


Dalam situasi klinikal, kanak-kanak dengan selective mutism hampir kebiasaannya diberikan diagnosis tambahan di bawah kategori anxiety disorder (masalah kebimbangan). Selalunya dikaitkan dengan social anxiety disorder (masalah kebimbangan sosial) atau dikenali juga sebagai social phobia (fobia sosial).

Jika anda mendapati bahawa anak anda menunjukkan beberapa ciri seperti di atas, segeralah berjumpa dengan ahli profesional seperti psikologis klinikal atau ahli terapi cara kerja kami untuk mendapatkan penilaian awal. Dengan cara ini, anda dapat membantu perkembangan sosial anak anda pada awal peringkat.

Kongsikan artikel ini

Facebook
Twitter
WhatsApp