Rasa Kekok untuk Bercakap dengan Bayi Anda? Ini 5 Tips yang Anda Boleh Cuba

WhatsApp Image 2023-01-13 at 12.07.46 PM

Pasti semua ibu bapa mempunyai memori tentang tangisan pertama bayi anda. 

Bayi kebiasaannya menangis untuk menunjukkan sama ada mereka sedang lapar, tidak selesa, berada dalam kesakitan ataupun memerlukan sentuhan ibu bapa. Ini menunjukkan yang bayi dilahirkan dengan keupayaan untuk berkomunikasi. 

Oleh itu, kebanyakan pakar sangat menggalakkan ibu bapa untuk bercakap dengan bayi. Malah, segelintir pakar mencadangkan ibu bapa untuk mula bercakap dengan bayi sejak di dalam kandungan lagi.

Mungkin anda berasa kekok untuk bercakap dengan bayi anda kerana pada mulanya, interaksi ini akan bersifat satu hala. Tetapi terdapat lima (5) tips mudah yang anda boleh gunakan untuk mula bercakap dengan bayi anda. 

Antaranya adalah seperti yang berikut: 

1. Menggunakan Infant Directed Speech (IDS)

Ketika bercakap dengan bayi anda, anda perlu menggunakan pitch yang tinggi, melodi yang berirama dan nada yang beremosi. Ini adalah antara cara terbaik untuk mendapatkan perhatian bayi anda. 

Beberapa kajian mandapati bahawa IDS membantu keupayaan bayi dalam mengenalpasti pertuturan kerana ia membantu bayi untuk membezakan bunyi-bunyi dalam pertuturan, membezakan perkataan-perkataan yang terdapat dalam satu ayat dan melihat cara pergerakan bibir yang perlu dilakukan untuk menghasilkan sesuatu bunyi. 

Antara cara-cara untuk menggunakan IDS: 

  • Menyebut perkataan dan ayat secara perlahan dan jelas
  • Menggunakan ayat yang pendek dan mudah difahami  
  • Mengulangi perkataan dan ayat kepada bayi
  • Menggunakan pitch dan nada yang berbeza-beza
  • Memperbanyakkan penggunaan kata nama dan kata kerja

2. Membacakan Buku Cerita kepada Bayi 

Membaca kepada anak-anak adalah satu perkara yang biasa dilakukan oleh ibu bapa. Namun, tahukah anda bahawa kita boleh memulakan amalan membaca kepada anak-anak sejak mereka masih bayi lagi? 

Beberapa manfaat amalan ini adalah ia boleh membantu meningkatkan perkembangan bahasa dan kemahiran komunikasi sosial mereka. Selain itu, ia juga boleh mewujudkan hubungan yang erat antara bayi dan ibu bapa.

Tips umum untuk memaksimumkan masa yang diluangkan untuk membaca kepada bayi:

  • Menjadikannya satu rutin harian untuk membaca sekurang-kurangnya satu buku setiap hari
  • Menyediakan sudut bacaan khas yang selesa dan bebas daripada gangguan bunyi
  • Meletakkan bayi rapat dengan badan anda apabila membaca supaya dia boleh melihat wajah anda dan buku yang sedang anda baca
  • Memendekkan masa pembacaan jika bayi anda tidak menunjukkan minat 
  • Menggunakan suara atau bunyi yang menarik ketika membaca

3. Memberikan Respons kepada Bayi 

Dalam tempoh 3 bulan pertama, bayi akan senyum, ketawa, mengeluarkan bunyi-bunyi dan menggerakkan tangan dan kaki mereka. Ini adalah cara mereka untuk cuba berinteraksi dengan anda. 

Selepas 3 bulan, mereka akan membuat eye contact dan memberikan respons kepada percakapan anda. Dalam bulan ke-9, mereka akan menuding jari, merenung, memegang atau menyentuh benda di sekeliling mereka untuk menunjukkan minat mereka. 

Apabila perkara-perkara ini berlaku, ianya penting bagi anda untuk menumpukan perhatian dan memberikan respons kepada minat mereka. 

Sebagai contoh, apabila anak anda menuding jari kepada seekor kucing, anda boleh memberikan respons seperti “Comel kan kucing ini?”

Ini akan membantu mereka memahami konsep interaksi dua hala.

4. Memperbanyakkan Bercakap dan Berbual 

Ibu bapa yang banyak bercakap sering mendorong kepada anak-anak yang petah bercakap. Sesetengah pakar juga sangat menggalakkan ibu bapa supaya bercakap dengan bayi kerana ia akan mendedahkan mereka kepada penggunaan bahasa, membantu meluaskan kosa kata mereka dan mendorong mereka untuk mula bercakap. 

Beberapa cara untuk memperbanyakkan bercakap atau berbual dengan bayi: 

  • Menceritakan perkara-perkara yang anda sedang lakukan
  • Melabelkan objek-objek di sekeliling bayi
  • Menjelaskan tentang objek yang bayi anda minat
  • Berborak dengan pasangan anda atau orang lain di hadapan bayi

5. Penggunaan Body Language 

Bayi mungkin tidak memahami percakapan anda, namun, mereka boleh memahami apa yang anda cuba sampaikan daripada ekspresi wajah, gerakkan tubuh dan isyarat suara yang anda gunakan dalam interaksi. 

Kajian juga mendapati bahawa eye contact antara bayi dan ibu mewujudkan sinkronisasi dalam aktiviti otak kedua pihak. Ini menunjukkan bahawa eye contact boleh membantu bayi bersedia untuk berinteraksi. Selain itu, penggunaan body language membenarkan bayi untuk memahami konteks emosi dalam interaksi. 

Beberapa cara untuk menggunakan bahasa tubuh:

  • Merapatkan bayi kepada tubuh anda
  • Membongkokkan badan dan bercakap pada paras ketinggian mereka
  • Melihat mata bayi apabila berinteraksi 
  • Senyum dan tunjukkan kegembiraan anda apabila bayi anda bersuara
  • Menunjukkan bahasa tubuh dan riak wajah yang tenang 
  • Meniru riak wajah bayi

Selamat mencuba!

[njwa_button id="9314"]

Kongsikan artikel ini

Facebook
Twitter
WhatsApp