“Anak tak nak main sendiri. Pantang letak, merengek!”
“Susah nak buat kerja-kerja rumah, anak asyik nak berkepit 24 jam..”
Salah satu hadiah terbaik yang boleh anda berikan kepada anak anda ialah keupayaan mereka untuk bermain sendiri. Bukan sahaja kehidupan seharian bersama mereka akan menjadi lebih mudah untuk anak-anak anda dan diri anda sendiri, tetapi mereka akan belajar lebih banyak lagi!
Imaginasi dan kreativiti mereka tidak berkembang sekiranya ketika bermain, sentiasa ada orang lain yang menyelesaikan permainan tersebut. Kemahiran menyelesaikan masalah dan membuat keputusan juga terhenti apabila ibu, ayah, kakak, abang, atau orang lain yang memikirkannya.
8 Tips Mudah Untuk Ajar Anak Bermain Sendiri
Antara beberapa tips untuk mengajar anak anda bermain sendiri adalah seperti yang berikut :
- Cipta ruang permainan yang selamat untuk anak anda. Saat bermain menjadi tidak menyeronokkan apabila terdapat banyak peraturan. Jika boleh, bawa keluar atau matikan apa sahaja bentuk skrin dari kawasan permainan. Pastikan ruang permainan selamat untuk anak anda ditinggalkan bersendirian.
- Pastikan mainan sesuai dengan peringkat umur anak anda. Jika terlalu mencabar, anak anda akan sentiasa memerlukan bantuan anda. Selain itu, fokus pada kualiti sesuatu mainan berbanding kuantiti. Terlalu banyak mainan boleh membebankan dan sebenarnya mengurangkan rentang perhatian (attention span) anak anda semasa bermain.
- Letakkan jauh mainan yang menyala, mempunyai muzik, dan berdengung. Pilihan terbaik untuk bermain sendirian ialah mainan yang boleh diterokai oleh anak anda dalam pelbagai cara.Contohnya seperti bahan seni, rumah anak patung, anak patung haiwan, bola dan bakul, kenderaan mainan dan sebagainya.
- Mulakan dengan menemani anak anda sebelum mereka bermain sendirian. Untuk membiasakan anak anda dengan idea bermain tanpa penglibatan anda, mulakan perlahan-lahan. Mulakan dengan duduk diam di sebelah mereka dalam 15 hingga 20 minit semasa mereka bermain tanpa turut serta. Selepas mereka benar-benar fokus dalam apa yang mereka sedang lakukan, anda boleh cuba beralih ke bahagian lain.
- Duduk dalam jarak yang tidak terlalu jauh- anda masih dapat lihat dan dengar. Selepas beralih ke bahagian lain, mulakan aktiviti anda sendiri. Kanak-kanak belajar dan bermain dengan baik apabila mereka berasa selamat dan terjamin, dan itulah yang dirasakan ketika mereka merasai kehadiran anda.
- Uruskan jangkaan anda sendiri. Menjelang umur dua tahun, rentang perhatian kanak-kanak kecil adalah kira-kira 5 hingga 6 minit. Kanak-kanak berumur tiga tahun boleh memberi perhatian sehingga 8 minit dan kanak-kanak berumur empat tahun boleh memberi perhatian sehingga kira-kira 10 minit. Jika anak prasekolah anda baru untuk bermain sendiri, mulakan dengan 5 minit dan lanjutkan apabila mula membiasakannya.
- Elakkan terlalu memberi komen tentang permainan anak anda. Komen-komen yang banyak boleh mengalihkan perhatian anak anda daripada apa yang mereka sedang lakukan. Selain itu, jangan cuba untuk mengarahkan apa yang mereka perlu lakukan. Jangan beritahu mereka bahawa idea anda lebih baik, tetapi berilah peluang kepada mereka untuk mengatur sendiri apa yang mereka perlu lakukan semasa bermain.
- Jadikan permainan sendirian sebahagian daripada rutin harian anak anda, pagi dan petang. Walaupun pada mulanya perkara ini terasa baru buat anak anda, lama kelamaan ia akan menjadi biasa— sebahagian daripada rutin kehidupan mereka.
Jika anak anda tidak biasa bermain sendiri, akan ada beberapa halangan dan cabaran pada awalnya. Anda tidak perlu ambil hati. Kemahiran bermain sendiri ini memerlukan masa untuk disesuaikan dalam diri kanak-kanak. Anda boleh cuba tips di atas dan mulakan secara perlahan-lahan.
Ajar anak kecil anda bermain tanpa anda—dan didik anak supaya mereka mempunyai rasa ingin lebih tahu yang tinggi, yakin dan berdikari.