Peranan Deria Dalam Perkembangan Kanak-Kanak

nurpalah-dee-E4Bc-14wkQQ-unsplash

Bayi dan kanak-kanak belajar dan lebih mengenali dunia melalui deria mereka. Sejak lahir, bayi mula bertindak balas terhadap rangsangan deria yang diterima melalui organ deria mereka – seperti mata dan telinga.

Mereka memalingkan kepala mereka ke arah bunyi, mengikuti objek dengan mata mereka dan menemui tangan dan kaki mereka dengan menyentuhnya. Kemudian, mereka mula menyentuh sesuatu yang mereka lihat dan memasukkan sesuatu ke dalam mulut mereka, yang merangsang deria rasa.

Setiap deria menggunakan sistem pengesanan sendiri untuk mendapatkan maklumat daripada persekitaran. Maklumat dihantar ke otak di mana ia akan diproses dan digabungkan untuk menghasilkan gambaran yang lengkap tentang persekitaran mereka, seterusnya mencipta dunia yang bermakna buat mereka.

Sebagai contoh, apabila kanak-kanak mampu berjalan menuruni tangga tanpa melihat ke bawah. Bagaimana dia tahu di mana badannya, bagaimana dia tahu untuk mengalihkan keseimbangan antara kaki dan badannya, dan bagaimana dia tahu di mana kakinya berpijak pada tangga tanpa melihat?

Kesemua tindakan ini melibatkan sistem deria pada tubuh badan kanak-kanak tersebut. Sistem deria inilah yang membantunya menghasilkan tindak balas yang sesuai pada waktu itu.

Pemprosesan deria ini juga memberi maklumat kepada kanak-kanak untuk membina rutin dan konteks dalam kehidupan seharian. Di akhir usia satu tahun, kebiasaanya bayi akan mencapai integrasi deria (sensory integration).

Mengapa Deria Sangat Penting Kepada Kanak-Kanak?

Perkembangan deria pada peringkat awal kanak-kanak adalah penting untuk kesihatan dan kesejahteraan keseluruhan. Ia boleh memberi kesan yang besar kepada kanak-kanak.

Antaranya :

  • Membekalkan maklumat penting tentang tubuh badan mereka dan dunia di sekeliling mereka
  • Membentuk asas pembelajaran dan persepsi mereka
  • Menjalin hubungan dan berinteraksi dengan orang lain
  • Membantu dalam menjalani rutin kehidupan harian (mandi, berpakaian, minum, bermain, bangun dan keluar berjalan)
  • Menikmati banyak pengalaman seperti makan atau mendengar muzik
  • Menjadi asas dalam membina kemahiran perkembangan sepanjang tumbesaran mereka

Apabila terdapat sebarang isu yang mengganggu fungsi deria kanak-kanak, ia boleh mengehadkan interaksi mereka dengan dunia di sekeliling mereka atau menjadikan mereka lebih sukar untuk melakukan aktiviti tertentu.

Jika anak anda sukar mengawal input deria mereka atau mempunyai sebarang isu berkaitan, anda dinasihatkan untuk membawa anak anda menjalani konsultasi bersama ahli terapi cara kerja kami untuk mendapatkan bantuan agar anak anda dapat berkembang dengan lebih baik.

Kongsikan artikel ini

Facebook
Twitter
WhatsApp