Cara Rangsang Perkembangan Pertuturan Anak Anda Dengan Bermain

kids playing with tin can and string phone as communication concept

Bermain adalah salah satu cara yang paling penting untuk kanak-kanak belajar tentang dunia.

Apabila kanak-kanak bermain dengan orang dewasa dan kanak-kanak lain, mereka belajar cara bergaul dengan orang lain, menyelesaikan masalah, berkomunikasi dan menggunakan bahasa dengan berkesan.

Bermain ialah cara kanak-kanak mempelajari kemahiran baharu, dan bahasa ialah salah satu kemahiran paling penting yang dipelajari oleh kanak-kanak semasa mereka bermain.

Bagaimanakah anda boleh rangsang perkembangan pertuturan anak anda melalui permainan?

Kebiasaanya, kanak-kanak mahu ibu bapa atau penjaga bermain bersama-sama mereka. Anda sangat digalakkan mengambil bahagian dalam aktiviti bermain ini, kerana anda juga akan memainkan peranan penting dalam membantu mereka meningkatkan dan mengembangkan kebolehan linguistik mereka.

Perhatikan dan ikuti.

Penglibatan kanak-kanak dalam sebarang aktiviti bergantung kepada tahap minat mereka. Oleh itu, perhatikan di mana minat mereka dan cuba buat aktiviti bermain yang akan menarik minat mereka. Semakin mereka terlibat dalam sesuatu aktiviti, semakin besar peluang yang ada untuk pemerolehan bahasa.

Berlatih mengambil giliran.

Mengambil giliran ialah kemahiran sosial yang anak-anak anda perlu kembangkan semasa mereka membesar. Ini menggalakkan komunikasi yang lebih baik dengan orang lain dan mungkin berfungsi sebagai ‘penghubung’ untuk membina persahabatan.

Semasa bermain, anda boleh mencuba mewujudkan rutin mengambil giliran dengan berhenti seketika selepas setiap giliran semasa aktiviti bermain.

Teknik lain yang perlu ada dalam pengambilan giliran termasuk menggunakan ekspresi muka atau badan (cth. menganggukkan kepala apabila tiba giliran mereka) atau dengan bertanya soalan (cth. Giliran siapa? Giliran mama atau adik?).

Berlatih mengambil giliran juga akan membantu meningkatkan kesabaran mereka, memupuk disiplin, dan membolehkan mereka belajar cara memulakan gerakan dengan yakin.

Jadi role model untuk anak anda.

Masa bermain adalah peluang terbaik untuk anak-anak anda memahami makna pada perkataan dan membina perbendaharaan kata. Dedahkan anak anda kepada perkataan baharu, tatabahasa yang betul dan sebutan yang betul. Anda boleh membantu mengembangkan perbendaharaan kata mereka dengan cara :

  • Membuat ulasan tentang perkara yang anda atau anak anda lakukan cth. “Mama suka cara adik gunakan warna yang berbeza pada lukisan ni!”
  • Menggunakan pengulangan atau rima cth. “Tayar bas berpusing-pusing, pusing-pusing, pusing-pusing…” atau “Dari ulat jadi kepompong, tidur lena dalam kelongsong…”
  • Memperkenalkan sinonim dan antonim cth. Haus dan Dahaga atau Panas dan Sejuk
  • Menambah perkataan pada frasa anak anda cth. “Ibu, gajah!” , anda akan membalas “Wahhh, besarnya gajah!”
  • Memodelkan struktur ayat yang betul cth. “Esok, saya pergi zoo.” “Oh, semalam awak pergi zoo?

Menyanyi lagu.

Menyanyi lagu ialah cara yang menyeronokkan dan interaktif untuk membangunkan kemahiran linguistik, mendengar dan kemahiran motor anak anda. Selain daripada terdedah kepada pengulangan perkataan dan frasa, nyanyian juga boleh membantu kanak-kanak dalam menyebut perkataan.

Anda boleh menggabungkan pembelajaran bahasa dengan menyanyikan lagu-lagu biasa yang sesuai untuk umur anak anda atau dengan meletakkan melodi pada perkara yang anda dan anak anda lakukan.

Sebagai contoh, anda boleh menunjukkan apa yang anda lakukan dengan menyanyikan “Gosok gigi gosok gigi, kanan kiri atas bawah, kita gosok gigi…” sambil menggosok gigi.

Membaca buku bersama-sama.

Membaca membantu meningkatkan kemahiran pertuturan, bahasa dan ingatan. Dengan mendedahkan anak-anak anda kepada pelbagai buku, anda boleh perhatikan buku yang bagaimana boleh menarik minat mereka.

Anda boleh bermula dengan membaca buku dengan teks dan gambar pendek, dan kemudian berubah ke buku yang lebih mencabar apabila kemahiran membaca anak anda bertambah baik.

Ulang, ulang, ulang.

Berikan peluang untuk pengulangan kerana ini membantu anak anda menguasai kemahiran dalam bidang perkembangan yang berbeza.

Mungkin bagi orang dewasa, aktiviti yang berulang kali dilakukan kelihatan membosankan atau tidak produktif. Tetapi bagi kanak-kanak, melakukan sesuatu aktiviti berulang kali akan membantu mereka memperkemas dan menstabilkan kemahiran mereka.

Galakkan rutin, tindakan dan perkataan yang berulang, terutamanya yang anak anda gemari kerana ini menyumbang kepada pembinaan perbendaharaan kata dan bahasa ekspresif mereka.

Misalnya, menyanyikan lagu yang sama berulang kali baik untuk pengekalan memori (memory retention), mengajar konsep baharu dan memperbaiki struktur ayat anak anda.

Jika anda mempunyai kebimbangan mengenai perkembangan bahasa dan pertuturan anak anda, hubungi kami untuk mengetahui lebih lanjut tentang perkhidmatan kami dan cara kami boleh membantu anak anda berkembang dengan baik.

Kongsikan artikel ini

Facebook
Twitter
WhatsApp