Autisme & Speech Delay Disebabkan Gangguan Jin : Fakta ke Auta?

Gambar Blogpost Autisme & Speech Delay Disebabkan Gangguan Jin : Fakta Ke Auta?

\”Anak autisme, speech delay ada kaitan dengan gangguan JIN. Jin mengganggu dan mendatang penyakit pada anak-anak ini kerana mereka lemah\”.

Inilah kenyataan yang telah dimuat naik oleh seorang wanita dalam sebuah status di halaman Facebook baru-baru ini yang telah mendapat kecaman dan kritikan daripada orang ramai.

Melalui posting tersebut, dia telah mengaitkan kanak-kanak yang menghidap autisme dan speech delay adalah disebabkan gangguan jin, dan menimbulkan rasa kurang senang kepada segelintir ibu bapa yang mempunyai anak autistik dan lewat bertutur. Malah, tiada sebarang huraian lanjut atau bukti yang menyokong kenyataan tersebut.

Kini, perkataan autisme dan speech delay bukanlah sesuatu yang asing dan janggal untuk kita dengari. Namun, pada masa sama, ia bukanlah \”tiket\” kepada kita untuk sesuka hati melabel seseorang anak kecil yang mempunyai kondisi ini sebagai lemah.

Perkara pertama sebelum kita mengeluarkan sebarang kenyataan, fahami dahulu apakah sebenarnya fakta berkaitan autisme dan speech delay. Tanpa betul-betul memahami, kita akan mudah untuk menimbulkan salah faham, seterusnya membawa kepada stigma dan prejudis kepada anak-anak ini.

Autisme dan speech delay boleh terjadi kepada sesiapa sahaja tanpa mengira agama, bangsa atau kedudukan sosial.

Autisme atau dikenali sebagai Autism Spectrum Disorder (ASD) ialah gangguan neurologi dan perkembangan yang dan dicirikan oleh corak tingkah laku berulang dan kesukaran dalam interaksi dan komunikasi sosial.

Walaupun punca sebenar mengapa ia boleh terjadi masih tidak diketahui, terdapat beberapa faktor risiko yang memainkan peranan. Antaranya ialah faktor genetik, dimana ada sejarah autisme dalam keluarga, umur ibu bapa yang meningkat, masalah semasa mengandung atau kelahiran pramatang, masalah perkembangan otak disebabkan faktor genetik, atau masalah fungsi otak terganggu seperti jangkitan.

Speech delay atau masalah lewat pertuturan pula ialah satu istilah umum yang digunakan apabila kanak-kanak tidak mengembangkan kemahiran pertuturan dan bahasa selari dengan usianya.

Kelewatan pertuturan mungkin disebabkan oleh masalah oral seperti pada lidah atau lelangit, kehilangan pendengaran, dan jangkitan pada telinga. Kelewatan dalam perkembangan pertuturan mungkin juga simptom kepada beberapa gangguan lain, antaranya autisme.

Kanak-kanak autisme kebiasaannya lewat bertutur jika dibandingkan dengan rakan sebaya mereka. Tetapi perlu ditekankan bahawa bukan semua kanak-kanak lewat bertutur mempunyai masalah autisme.

Penilaian Awal Perkembangan

Untuk menentukan sama ada seseorang kanak-kanak menghadapi autisme atau speech delay anak itu harus menerima penilaian komprehensif dan menyeluruh daripada ahli profesional yang terlatih bagi mendapatkan diagnosis.

Bantuan dan rawatan terbaik buat anak kecil yang sudah didiagnosis dengan autisme atau speech delay adalah memulakan terapi dan intervensi awal bagi membantu meningkatkan peluang untuk kejayaan mereka pada masa hadapan.

Akhir sekali, pastikan anda tidak memuat naik atau berkongsi apa-apa kenyataan yang boleh menimbulkan salah faham dan stigma kepada mana-mana pihak di rangkaian laman sosial anda.

Kongsikan artikel ini

Facebook
Twitter
WhatsApp