Rumah sepatutnya menjadi tempat yang memberikan rasa selamat, kasih sayang dan ketenangan kepada setiap kanak-kanak. Namun begitu, bagaimana jika suasana rumah sering dipenuhi dengan pertengkaran dan ketegangan antara ibu bapa? Walaupun kanak-kanak tidak terlibat secara langsung dalam pergaduhan tersebut, mereka masih boleh mengalami kesan emosi dan psikologi akibat konflik yang berlaku di sekeliling mereka.
Sesetengah ibu bapa mungkin beranggapan bahawa anak-anak yang masih kecil belum memahami apa yang sedang berlaku. Hakikatnya, kanak-kanak boleh mengesan perubahan nada suara, ekspresi wajah dan suasana tegang dalam keluarga. Pendedahan yang berulang kepada konflik ibu bapa, terutamanya yang melibatkan jeritan, penghinaan atau ancaman, boleh mempengaruhi kesejahteraan psikologi dan perkembangan emosi mereka.
Apakah Kesan-kesannya?
1. Menjejaskan Rasa Selamat dan Kestabilan Emosi Anak
Salah satu kesan pergaduhan ibu bapa ialah terganggunya rasa selamat dalam diri kanak-kanak. Menurut Emotional Security Theory oleh Davies dan Cummings (1994), hubungan antara ibu bapa memainkan peranan penting dalam membentuk rasa selamat emosi anak.
Apabila anak sering menyaksikan pertengkaran yang tidak diselesaikan dengan baik, mereka mungkin berasa takut, bimbang atau tidak pasti tentang kestabilan keluarga. Sesetengah kanak-kanak juga mungkin sentiasa berjaga-jaga terhadap perubahan emosi ibu bapa kerana bimbang pergaduhan akan berlaku lagi.
Keadaan ini boleh menyebabkan rumah yang sepatutnya menjadi tempat anak berasa dilindungi, bertukar menjadi persekitaran yang menimbulkan tekanan emosi.
2. Meningkatkan Risiko Kebimbangan dan Masalah Emosi
Pergaduhan ibu bapa yang kerap boleh meningkatkan risiko masalah emosi dalam kalangan kanak-kanak, termasuk kebimbangan, kesedihan dan tekanan psikologi.
Kanak-kanak yang terdedah kepada konflik keluarga mungkin menunjukkan perubahan tingkah laku seperti menjadi lebih pendiam, mudah menangis, cepat marah atau mengalami kesukaran tidur. Ada juga yang menghadapi masalah memberikan tumpuan ketika belajar kerana fikiran mereka terganggu oleh keadaan di rumah.
Walau bagaimanapun, setiap kanak-kanak memberikan respons yang berbeza. Kesan yang dialami bergantung pada faktor seperti usia, tahap perkembangan, kekerapan konflik dan sokongan emosi yang diterima.
3. Menyebabkan Anak Menyalahkan Diri Sendiri
Pernahkah kita terfikir bahawa seorang anak mungkin menganggap dirinya sebagai punca pergaduhan ibu bapa?
Menurut Cognitive-Contextual Framework oleh Grych dan Fincham (1990), cara kanak-kanak mentafsir konflik ibu bapa boleh mempengaruhi respons emosi mereka. Sesetengah kanak-kanak mungkin beranggapan bahawa pertengkaran berlaku disebabkan oleh kesalahan atau tingkah laku mereka sendiri.
Sebagai contoh, apabila ibu bapa bertengkar mengenai perbelanjaan persekolahan atau keperluan anak, kanak-kanak mungkin berasa bersalah dan menganggap diri mereka sebagai beban kepada keluarga.
Perasaan bersalah yang berpanjangan boleh menjejaskan keyakinan diri dan kesejahteraan emosi anak, khususnya apabila mereka tidak mendapat penjelasan atau jaminan daripada ibu bapa.
4. Mempengaruhi Cara Anak Mengurus Emosi dan Konflik
Ibu bapa merupakan antara individu terawal yang menjadi contoh kepada kanak-kanak dalam mempelajari cara berkomunikasi dan mengurus emosi.
Melalui Social Learning Theory, Bandura (1977) menjelaskan bahawa manusia boleh mempelajari tingkah laku melalui pemerhatian terhadap orang lain.
Apabila kanak-kanak sering melihat ibu bapa menyelesaikan perselisihan melalui jeritan, penghinaan atau tindakan agresif, mereka mungkin menganggap cara tersebut sebagai sesuatu yang biasa dalam hubungan.
Sebaliknya, apabila ibu bapa menunjukkan cara mengurus perbezaan pendapat dengan tenang, mendengar pandangan pasangan dan saling menghormati, anak berpeluang mempelajari kemahiran penyelesaian konflik yang lebih sihat.
5. Mempengaruhi Hubungan Sosial dan Perkembangan Anak
Kesan konflik ibu bapa tidak semestinya terhad kepada suasana di rumah. Dalam sesetengah keadaan, tekanan emosi yang dialami boleh mempengaruhi hubungan kanak-kanak dengan rakan sebaya dan individu di sekeliling mereka.
Ada kanak-kanak yang menjadi lebih sensitif terhadap konflik, sukar mempercayai orang lain atau cenderung mengelakkan perselisihan pendapat. Sebahagian yang lain mungkin menunjukkan tingkah laku agresif atau mengalami kesukaran mengawal kemarahan.
Namun, pengalaman menyaksikan pergaduhan ibu bapa tidak bermaksud seseorang anak pasti mengalami masalah hubungan apabila dewasa. Hubungan yang sentiasa menyokong, persekitaran yang stabil dan bimbingan emosi boleh membantu mengurangkan risiko kesan negatif tersebut.
Apakah yang Boleh Dilakukan oleh Ibu Bapa?
Perselisihan pendapat merupakan perkara yang boleh berlaku dalam sesebuah keluarga. Apa yang lebih penting ialah bagaimana ibu bapa mengendalikan konflik tersebut.
Ibu bapa digalakkan untuk mengelakkan pertengkaran yang agresif di hadapan anak, tidak melibatkan anak sebagai orang tengah dan tidak meminta mereka memilih pihak. Sekiranya anak telah menyaksikan pertengkaran, ibu bapa boleh memberikan penjelasan yang sesuai dengan usia serta meyakinkan mereka bahawa konflik tersebut bukan salah mereka.
Selain itu, menunjukkan cara berdamai, meminta maaf dan menyelesaikan masalah secara matang dapat membantu anak memahami bahawa perbezaan pendapat tidak semestinya mengancam hubungan kekeluargaan.
Sekiranya anak menunjukkan tekanan emosi atau perubahan tingkah laku yang berpanjangan, mendapatkan bantuan daripada kaunselor atau profesional kesihatan mental boleh menjadi langkah yang bermanfaat.
Kesimpulan
Pergaduhan ibu bapa di hadapan anak bukan sekadar pertengkaran antara dua individu dewasa. Konflik yang kerap, bermusuhan dan tidak diselesaikan dengan baik boleh memberi kesan terhadap rasa selamat, kesejahteraan emosi serta perkembangan psikologi kanak-kanak.
Walau bagaimanapun, bukan semua perselisihan pendapat membawa kesan negatif. Cara ibu bapa mengurus dan menyelesaikan konflik memainkan peranan penting dalam menentukan bagaimana anak memahami pengalaman tersebut.
Jiwadamai menyediakan sokongan untuk pelbagai isu psikologi, daripada kanak-kanak hingga dewasa, sama ada berkaitan kesihatan mental atau perkembangan kanak-kanak secara menyeluruh. Pasukan klinikal kami merangkumi Pakar Psikiatri, Pakar Psikiatri Kanak-Kanak, Psikologi Klinikal, ahli terapi cara kerja (occupational therapist), serta ahli terapi pertuturan (speech therapist).
Sekiranya berminat, anda boleh menghubungi kami di talian 017-269 4852 (hotline isu dewasa) atau 011-5430 8949(hotline isu kanak-kanak & remaja) untuk membuat janji temu. Kami sedia memberikan bantuan dan sokongan kepada anda.
Ditulis oleh : Nur Asmahan, Pelajar Psikologi UPSI
Disahkan oleh : Psikologis Klinikal Jiwadamai





