Sokongan Sosial, Ada Jenisnya

Gambar Blogpost Sokongan Sosial, Ada Jenisnya

Adakah anda mempunyai sokongan sosial yang mencukupi? Benarkah sokongan sosial hanya boleh diperoleh melalui kata-kata dan pertolongan? Sokongan sosial bererti sokongan yang boleh diterima melalui hubungan sosial dengan individu lain seperti ahli keluarga, kawan-kawan, kumpulan, dan komuniti masyarakat. 

Setiap individu memerlukan sokongan dan bantuan bagi memenuhi keperluan mental, fizikal, sosial, emosi, pengetahuan dan juga kewangan. Keperluan yang berbeza memerlukan sokongan yang berbeza. Keperluan-keperluan ini juga boleh didapati melalui hubungan dan interaksi dengan individu lain.

Jenis-Jenis Sokongan Sosial

Jadi, mari lihat dengan lebih lanjut jenis-jenis sokongan sosial yang berhak diperoleh setiap individu: 

  • Sokongan Emosi – Ini adalah bentuk sokongan yang paling penting untuk setiap individu. Ia membantu mengurus aspek emosi seperti stres, depresi, dan kerisauan. Bukan itu sahaja, sokongan jenis ini termasuklah mendengar luahan masalah, menunjukkan empati, kepercayaan, kasih sayang, hormat, dan pujian. 
  • Sokongan Maklumat – Menyediakan informasi, nasihat dan pengetahuan yang membantu untuk atasi dan selesaikan masalah atau cabaran yang dihadapi. Sokongan ini termasuklah nasihat dan info mengenai sumber bantuan seperti pusat psikologi terdekat atau skim bantuan kewangan yang tersedia. 
  • Sokongan Sosial – Memenuhi asas keperluan sosial seperti kasih sayang, interaksi, dan juga hubungan baik. Sokongan ini memberikan perasaan selamat dan kepuasan dalam hubungan sosial. 
  • Sokongan Nyata (Tangible) – Membantu dari aspek masalah praktikal dengan memberikan barangan dan servis. Sokongan jenis ini membantu individu menyelesaikan tugasan harian seperti bantuan kewangan, membantu mengasuh anak, menumpangkan ke tempat kerja, memasak dan sebagainya. 

Sokongan sosial amatlah penting bagi setiap individu tidak kira kanak-kanak, orang dewasa, mahupun golongan warga emas. Sokongan sosial yang utuh sangatlah bernilai untuk membantu anda mengharungi detik-detik kesusahan, bak kata peribahasa berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. 

Dengan mengetahui jenis-jenis sokongan sosial, anda boleh cuba perhatikan jika keluarga, rakan-rakan, dan kenalan anda memerlukan bantuan dan sokongan tersebut. Anda juga disarankan untuk mendapatkan sokongan sosial jika anda menghadapi kesusahan. 

Jika anda atau orang terdekat mengalami masalah kesihatan mental tetapi masih buntu walaupun telah mencuba pelbagai cara termasuk mendapatkan sokongan sosial untuk atasinya, buat temu janji dengan ahli profesional seperti psikologi klinikal kami untuk mendapatkan bantuan dan rawatan yang bersesuaian.

[njwa_button id="9314"]

Kongsikan artikel ini

Facebook
Twitter
WhatsApp