Manfaat Sokongan Sosial Kepada Diri

Gambar Blogpost Manfaat Sokongan Sosial Kepada Diri

Siapakah yang berada dalam ingatan anda ketika ini?  Siapakah yang selalu berada di sisi anda ketika anda menghadapi masalah atau melalui hari-hari yang sukar? Ibu bapa? Adik-beradik? Kawan? atau …siapa ya?  Walau sesiapa pun yang anda fikirkan, ini menunjukkan bahawa anda mendapat sokongan daripada lingkaran sosial anda. 

Sokongan sosial ialah sokongan yang boleh diterima melalui hubungan sosial dengan individu lain seperti ahli keluarga, kawan-kawan, kumpulan, dan komuniti masyarakat. 

Mungkin ada  antara kita yang merasakan bahawa tiada keperluan untuk berinteraksi atau bersosial dengan kenalan, sahabat, keluarga, dan juga  masyarakat. Namun, adakah anda tahu kesan kekurangan sokongan sosial? 

Menurut kajian, sokongan sosial yang tidak mencukupi berkait rapat dengan isu kesunyian dan depresi. Bukan itu sahaja, kekurangan sokongan sosial juga mampu meningkatkan risiko penyakit jantung dan cubaan bunuh diri. 

Sokongan sosial bukan sahaja memenuhi keperluan bersosial manusia, malah berkait rapat dengan aspek kesihatan. Jadi, mari kita lihat bagaimanakah sokongan sosial mampu memberikan kesan positif kepada kesihatan mental dan fizikal anda?

Aspek Kesihatan Mental

  • Menambah baik kesihatan mental
  • Mewujudkan perasaan selamat
  • Meningkatkan daya tahan (resilience) terhadap stres
  • Meningkatkan kepuasan hidup
  • Menambah keyakinan dan harga diri 
  • Mengurangkan tahap kerisauan
  • Memudahkan proses menangani (coping) dan penyesuaian diri dalam perubahan baru

Aspek Kesihatan Fizikal

  • Meningkatkan kesihatan fizikal
  • Mempercepatkan proses penyembuhan
  • Mengurangkan risiko kematian berpunca daripada serangan jantung atau penyakit saluran darah
  • Mengurangkan risiko kanser
  • Mengurangkan komplikasi semasa bersalin
  • Membantu meningkatkan kepatuhan pengambilan ubat-ubatan dan rawatan penyakit

Sokongan sosial amatlah penting bagi setiap individu tidak kira tua atau muda. Sokongan sosial yang utuh sangatlah bernilai untuk membantu anda mengharungi detik-detik getir kehidupan bersama-sama , bak kata peribahasa bukit sama didaki, lurah sama dituruni.

Jika anda atau orang terdekat mengalami masalah kesihatan mental tetapi masih buntu walaupun telah mencuba pelbagai cara termasuk mendapatkan sokongan sosial untuk atasinya, buatlah temu janji dengan ahli profesional seperti psikologi klinikal kami untuk mendapatkan bantuan dan rawatan yang bersesuaian.

Kongsikan artikel ini

Facebook
Twitter
WhatsApp