Anhedonia: Bosan atau Tidak Lagi Mampu untuk Berasa Seronok?

Blogpost Anhedonia Bosan atau Tidak Lagi Mampu untuk Berasa Seronok - Gambar Blogpost Anhedonia_ Bosan atau Tidak Lagi Mampu untuk Berasa Seronok

Pernahkah anda mengenali seseorang yang dahulunya ceria dan gemar meluangkan masa bersama keluarga atau rakan-rakan, tetapi sekarang seperti tidak lagi berminat untuk melakukan aktiviti-aktiviti yang pernah mereka nikmati? Mereka mungkin masih datang ke majlis atau melakukan rutin harian seperti biasa, namun segala-galanya terasa hambar dan tidak lagi memberikan kepuasan kepada diri mereka. Senyuman yang terukir di wajah mungkin sekadar untuk memenuhi jangkaan orang sekeliling, sedangkan di dalam diri mereka, tiada lagi rasa gembira yang benar-benar dapat dirasakan.  

Keadaan ini sering disalah anggap sebagai sikap malas, bosan, tidak bersyukur atau sekadar berada dalam fasa “hilang semangat”. Namun hakikatnya, kehilangan keupayaan untuk menikmati perkara yang sebelum ini membawa kegembiraan boleh menjadi petanda kepada isu kesihatan mental yang memerlukan perhatian. Malangnya, pengalaman ini sukar difahami oleh orang lain kerana individu yang mengalaminya mungkin masih mampu menjalankan tanggungjawab harian seperti bekerja, belajar atau berinteraksi dengan orang di sekeliling.  

Apakah Itu Anhedonia?

Anhedonia ialah ketidakupayaan untuk berasa gembira, nikmat, puas atau seronok dalam aktiviti harian atau berasa hambar dan hilang minat terhadap aktiviti yang kebiasaannya menyeronokkan atau yang pernah digemari. Individu yang mengalami anhedonia akan menunjukkan kehilangan minat serta pengurangan keupayaan untuk menikmati aktiviti yang sebelum ini memberikan kepuasan atau kegembiraan. Dalam Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders, Fifth Edition (DSM-5), anhedonia diiktiraf sebagai salah satu simptom utama Gangguan Kemurungan Major (Major Depressive Disorder) serta beberapa isu kesihatan mental yang lain seperti:

  • Skizofrenia
  • Kecelaruan Bipolar 
  • Kecelaruan Tekanan Pasca Trauma (PTSD)
  • Penyakit Parkinson
  • Kecederaan trauma otak
  • Kecelaruan penggunaan bahan  

Jenis-jenis Anhedonia

Menurut Pelc et al. (2025), terdapat tiga subjenis anhedonia yang boleh dialami oleh seseorang individu, iaitu:  

Anhedonia Antisipatori (Anticipatory Anhedonia)

Merujuk kepada ketidakupayaan untuk menjangkakan atau membayangkan perasaan seronok sebelum sesuatu aktiviti atau peristiwa berlaku serta kurang menunjukkan rasa teruja atau rasa semangat terhadap sesuatu yang bakal berlaku.  

Anhedonia Motivasi (Motivational Anhedonia)

Merujuk kepada keadaan apabila individu mempunyai keinginan yang rendah untuk melibatkan diri dalam aktiviti yang memberikan ganjaran atau keseronokan serta sukar untuk memulakan sesuatu aktiviti walaupun aktiviti tersebut berpotensi memberikan kepuasan.  

Anhedonia Konsumatori (Consummatory Anhedonia)

Merujuk kepada pengurangan atau kehilangan perasaan keseronokan semasa melakukan sesuatu aktiviti seperti kurang menikmati aktiviti yang sebelum ini memberikan kepuasan serta mengelak daripada hubungan sosial, aktiviti rekreasi, kehidupan intim atau aktiviti makan.  

Bagaimanakah Perasaan Memiliki Anhedonia?

Seseorang yang mengalami anhedonia mungkin berasa kehidupan menjadi hambar, bosan atau kosong. Mereka tahu sesuatu perkara itu sepatutnya menggembirakan, tetapi sukar untuk merasakan kegembiraan seperti dahulu. Keadaan ini juga boleh menyebabkan seseorang berasa kurang terhubung secara emosi dengan diri sendiri atau orang di sekeliling, walaupun masih menjalani rutin harian seperti biasa. Selain perubahan dalam perasaan, anhedonia juga boleh hadir bersama beberapa simptom lain, antaranya:  

  • Mood sedih atau rasa tiada harapan yang berpanjangan.
  • Kurang motivasi untuk menjaga diri, melakukan aktiviti atau melaksanakan tanggungjawab harian.
  • Kebas emosi atau sukar merasakan sebarang emosi.
  • Cenderung mengasingkan diri dan elak interaksi sosial.
  • Kurang tenaga dan sering berasa letih.
  • Mengalami gangguan tidur seperti sukar tidur, kerap terjaga atau tidak berasa segar selepas tidur.  

Apa Yang Boleh Dilakukan Jika Mengalami Simptom Anhedonia?

Mengatasi anhedonia memerlukan masa, namun terdapat beberapa langkah yang boleh membantu secara beransur-ansur mendapatkan semula keseronokan dalam kehidupan:  

Lakukan perkara yang pernah disukai

Cuba kembali melakukan aktiviti atau hobi yang pernah dinikmati, walaupun pada awalnya mungkin tidak berasa seronok atau bermotivasi. Mulakan dengan perkara kecil seperti sukan ringan, memasak, menonton filem kegemaran, atau melakukan aktiviti kreatif seperti melukis dan bermain muzik. Teruskan melakukannya kerana perubahan positif yang kecil boleh menjadi asas untuk melakukan lebih banyak aktiviti lain.  

Amalkan menikmati pengalaman kecil (savouring)

Luangkan masa untuk betul-betul sedar dan menikmati pengalaman yang sedang dialami dengan memberi perhatian kepada lima deria, iaitu melihat, mendengar, merasa, menghidu dan menyentuh, seperti menikmati muzik, makanan, atau pemandangan. Amalan bersyukur dengan mencatat perkara yang dihargai dalam kehidupan juga boleh membantu. Lakukannya dengan tenang dan perlahan, serta fokus sepenuhnya terhadap pengalaman tersebut tanpa tergesa-gesa atau terganggu.

Amalkan gaya hidup yang sihat

Amalkan pemakanan seimbang yang mengandungi buah-buahan, sayur-sayuran, protein dan karbohidrat kompleks, serta kurangkan makanan diproses, gula halus, alkohol dan pengambilan kafein yang berlebihan. Pastikan tidur mencukupi, kekalkan hubungan sosial, dan hadkan penggunaan media sosial jika ia memberi kesan negatif. Selain itu, amalkan teknik pengurusan tekanan seperti relaksasi dan meditasi, yang boleh dimulakan dengan lima minit sehari.

Dapatkan bantuan profesional jika berlarutan

Bantuan profesional perlu dipertimbangkan sekiranya anhedonia disertai dengan gejala kemurungan lain, berlarutan sehingga mengganggu kehidupan harian, atau melibatkan pemikiran untuk mencederakan diri. Bantuan profesional juga boleh didapatkan jika keadaan tidak bertambah baik walaupun telah cuba mengatasinya sendiri.  

Kesimpulan

Anhedonia bukan sekadar kehilangan minat atau keseronokan semata-mata, tetapi boleh melibatkan kesukaran untuk merasai, menjangka dan mendapatkan kepuasan daripada perkara yang sebelum ini menyeronokkan. Ia boleh berlaku sebagai sebahagian daripada kecelaruan kemurungan atau isu kesihatan mental yang lain dan boleh memberi kesan kepada kehidupan harian serta hubungan seseorang. Ia juga boleh dialami secara berbeza oleh setiap individu, sama ada secara berterusan atau secara berepisod. Walau bagaimanapun, anhedonia tidak seharusnya dipandang ringan. Jika perasaan ini berlarutan atau mula mengganggu kehidupan seharian, mendapatkan penilaian dan bantuan daripada profesional adalah sangat penting.

Jiwadamai menyediakan sokongan untuk pelbagai isu psikologi, daripada kanak-kanak hingga dewasa, sama ada berkaitan kesihatan mental atau perkembangan kanak-kanak secara menyeluruh. Pasukan klinikal kami merangkumi Pakar Psikiatri, Pakar Psikiatri Kanak-Kanak, Psikologi Klinikal, ahli terapi cara kerja (occupational therapist), serta ahli terapi pertuturan (speech therapist).

Sekiranya berminat, anda boleh menghubungi kami di talian 017-269 4852 (hotline isu dewasa) atau 011-5430 8949(hotline isu kanak-kanak & remaja) untuk membuat janji temu. Kami sedia memberikan bantuan dan sokongan kepada anda.

Ditulis oleh : Auni Safiyya, Pelajar Psikologi UKM
Disahkan oleh : Psikologis Klinikal Jiwadamai

Kongsikan artikel ini

Facebook
Twitter
WhatsApp