Kisah #9 : Aku Mahu Sembuh

KisahKita 9 featured image

2022, Bermulanya kisah hidup aku berada di titik paling bawah. Aku berumur 18 tahun dan seorang pelajar cemerlang. Anak perantau yang pulang ke rumah dengan senyuman di bibir. Akhirnya jatuh terduduk. Hanya air mata yang mengalir di pipi. Adikku meninggal pada waktu kejadian kerana kemalangan motosikal. Demi Allah, hidup aku sangat hancur-sehancurnya kerana apa? Kerana dia satu-satunya adik perempuan yang aku ada. Keputusan SPM 8A 2B di genggaman tangan, hanya aku buang sahaja pada waktu itu. Aku tekad kuatkan diri selepas kejadian itu dan sambung belajar di Universiti.

Selepas 3 bulan, aku terkena sihir buatan orang. Aku dimasukkan ke dalam hospital selama seminggu akibat muntah darah dan sakit kepala. Doktor mengesahkan aku tiada apa-apa sebarang penyakit padahal wajah sudah pucat dan kuku kelihatan biru. Aku mengambil keputusan untuk berhenti belajar dan pulang menaiki bas. Dari Melaka ke Perak, menjadi saksi aku menangis tanpa berhenti. Kemudian, aku berhenti di R&R untuk solat asar. Ketika aku sujud, aku mula menyoal kepada sang Pencipta. “Aku tidak mengerti, kenapa aku?” Selepas seminggu, aku mula rasa keinginan nak mati. Aku dimasukkan ke hospital semula dan doktor mengesahkan aku menghidap ‘Adjustment Disorder’. Perubahan sangat ketara. Aku bukan pelajar cemerlang lagi tetapi aku seperti manusia tidak berguna. Aku mengalami kemurungan dan tidak bercakap selama sebulan.

Pada suatu hari, ada seorang hamba Allah menegur aku. “Pulang kepada Allah, merayu sebanyak-banyaknya. Jangan berhenti”. Kemudian, dia berlalu pergi. Aku memberitahu ayah “aku mahu sembuh”. Ayah membawa aku berjumpa dengan perawatan Islam tetapi tidak sembuh. Aku tumbang jatuh ke atas tanah dan meraung kesakitan. Ayah mula memanggil orang surau untuk datang ke rumah. Akhirnya, rahsia terbongkar. Yang aku anggap sahabat baik rupanya menikam belakang aku sendiri.

Aku mula nekad pergi ke hospital setiap minggu untuk mendapatkan rawatan. Doktor pakar memberikan layanan yang baik dan memberikan sesi rawatan minda. Dia juga menyarankan aku untuk pergi bercuti di laut untuk menenangkan fikiran yang bercelaru.

2023, aku mula sembuh. Aku melakukan aktiviti jogging di taman dan hiking di bukit untuk dekatkan diri dengan kehidupan alam. Senyuman mula terukir dan aku sudah mula berniaga sendiri di tepi jalan. Hidupku mula rasa ketenangan yang aku cari selepas setahun ini. Aku belajar terima takdir. Sebaik mana manusia merancang, tuhanlah perancang terbaik. Kita tidak diciptakan tetapi hanya untuk berbakti kepada Allah. Dunia ini adalah tempat singgah sementara. Percayalah, kita boleh sembuh jika ada azam “aku nak sembuh”. Mungkin memakan masa, tetapi jangan putus asa. Kerana Allah selalu ada. Terima kasih.

Kongsikan kisah ini

Facebook
Twitter
WhatsApp

Kisah Terkini

Kisah #26 : Saya Ketakutan

Semakin hari, dada saya semakin sakit! Kepala saya semakin pening! Badan saya kerap ‘shaking’ apabila berhadapan dengan situasi keramaian..

Kisah #25 : Aku Menderita

Menderita? Benarkah? Aku tidak begitu ingat. Tetapi jika tidak, mengapa aku terpaksa menggalas beban kemurungan sejak bersekolah?