Gabungkan Dua Perkataan: Langkah Besar Dalam Perkembangan Bahasa

close-up-hands-making-words

Kebiasaannya pada usia 15 bulan, kanak-kanak sudah sepatutunya boleh menyebut perkataan pertamanya. Sudah tentu, itu adalah detik yang sangat mengujakan buat ibu bapa.

Tetapi, terdapat satu lagi detik atau pencapaian penting yang paling dinanti-nantikan selepas si kecil anda mula bercakap iaitu menggabungkan perkataan bersama-sama. Kebanyakan kanak-kanak kecil mula menggabungkan perkataan menjadi frasa dua perkataan pada usia 2 tahun.

Pertuturan Telegrafik

Sebaik sahaja anak kecil mula bercakap, kanak-kanak hanya menggabungkan beberapa perkataan pada mulanya. Ini dipanggil pertuturan telegrafik, dan ayat ini biasanya hanya terdiri daripada dua atau tiga perkataan.

Kanak-kanak biasanya belum boleh menggunakan tatabahasa yang betul dalam ayat telegrafik ini, tetapi sudah dapat menyusun perkataan dengan betul.

Sebagai contoh, mereka mungkin berkata “Nak jalan” jika mereka ingin mengikuti anda keluar, atau “Mama tengok” jika mereka ingin menunjukkan sesuatu kepada anda. Ayat mudah ini meletakkan asas untuk si kecil anda membentuk ayat yang betul dari segi tatabahasa pada masa hadapan.

Tips untuk ibu bapa bantu kanak-kanak menggabungkan perkataan

Apabila kanak-kanak mula menggabungkan perkataan dan mengembangkan kemahiran bahasa mereka, ibu bapa mungkin mempunyai pelbagai persoalan.

Apa yang dikira sebagai gabungan dua perkataan? Anak saya belum menggabungkan perkataan, patutkah saya risau? Ini semua soalan yang normal untuk ditanyakan, dan respons biasa ketika anak anda sedang mempelajari pencapaian baharu.

Sebaik sahaja kanak-kanak membina perbendaharaan kata tunggal mereka, mereka mula bereksperimen dengan gabungan dua perkataan. Mengatakan “Terima kasih!” tidak dianggap gabungan dua perkataan kerana ia merupakan ungkapan yang dihafal.

Jika kanak-kanak boleh menggabungkan dua perkataan yang mereka tahu seperti “Kakak bangun” atau “Terima kasih papa!” maka ia dianggap perkataan gabungan.

Setiap kanak-kanak belajar dan membesar pada kadar yang berbeza, jadi anak anda mungkin tidak bersedia lagi untuk menggabungkan perkataan pada masa yang sama dengan rakan sebaya mereka.

Berikut adalah beberapa tips untuk ibu bapa dan penjaga bagi membantu meningkatkan keupayaan si kecil anda menggabungkan perkataan seterusnya mengukuhkan kemahiran bahasa mereka:

  • Anak dengar, anak ikut

Gabungan perkataan anak anda berkemungkinan besar tidak akan sempurna dalam bahagian tatabahasa. Cuba latih anak anda menggunakan tatabahasa yang betul dalam ayat yang dituturkan oleh mereka. Apabila mereka menyebut “Mama nasi”, ulangi ayat mereka dengan tatabahasa yang betul, seperti, “Mama makan nasi.” Ini akan membantu anak anda memahami cara perkataan digunakan bersama dengan tepat. Mereka juga akan mempelajari konteks perkataan dan maknanya.

  • Pastikan kosa kata tunggal mereka kuat

Walaupun selepas anak anda mula menggunakan gabungan dua perkataan, jangan lupa untuk terus mempertingkatkan fokus pada perkataan tunggal. Ini akan meningkatkan kemahiran bahasa mereka, dan lebih mudah untuk mempelajari satu perkataan dahulu, kemudian menggabungkannya dengan perkataan lain kemudian.

  • Biarkan mereka memimpin

Adalah penting untuk membiarkan anak anda memimpin. Cuba untuk tidak mengalihkan perhatian mereka daripada perkara yang menarik minat mereka, dan ikuti aliran pemikiran mereka apabila mereka mula bereksperimen dengan komunikasi. Membalas dengan cara yang boleh memberitahu mereka bahawa anda memahami apa yang mereka sampaikan dapat membantu membina keyakinan mereka dan membina hubungan. Dengan itu, mereka akan terdorong untuk berkomunikasi dan berinteraksi lebih banyak, seterusnya menghasilkan lebih banyak latihan.

  • Penekanan adalah penting

Apabila kanak-kanak belajar cara menggabungkan perkataan, anda boleh membantu mereka dengan menekankan perkataan penting melalui tindakan atau nada suara anda. Anak-anak kecil bertindak balas terhadap ekspresi muka, bahasa badan dan nada. Jadi, pastikan anda meluangkan masa untuk interaksi secara bersemuka yang positif! Penekanan anda pada kata nama atau kata kerja akan membantu mereka mengembangkan perbendaharaan kata mereka.

  • Kesabaran dan pengulangan

Membangunkan perbendaharaan kata yang semakin berkembang sememangnya memerlukan usaha keras, dan anak kecil anda mungkin menghadapi kesukaran pada mulanya. Tetapi jangan risau… perkara biasa untuk anak anda mengambil sedikit masa bagi membiasakan diri menggabungkan perkataan. Selain itu, kanak-kanak perlu mendengar perkataan baharu berkali-kali sebelum mereka mula menggunakannya dengan kerap. Cuba masukkan perkataan baharu ke dalam rutin harian mereka bagi membantu mempercepatkan proses dan gunakannya dengan kerap untuk membantu mereka mengingati perkataan tersebut.

Hubungi Kami

Jika anak anda masih menghadapi masalah untuk menggabungkan perkataan walaupun sudah mencapai usia melebihi 2 tahun, anda dinasihatkan untuk membawa anak anda menjalani ujian penilaian pertuturan bersama terapis pertuturan kami. Untuk sokongan dan rawatan, hubungi kami sekarang.

[njwa_button id="9314"]

Kongsikan artikel ini

Facebook
Twitter
WhatsApp