Ramai antara kita pasti pernah melihat kanak-kanak mengamuk, atau lebih senang dipanggil ‘tantrum’ di tempat awam.
Tantrum adalah perkara biasa dalam tempoh perkembangan kanak-kanak, sama ada mereka mempunyai diagnosis autisme atau tidak. Cuma, ianya sedikit berbeza bagi kanak-kanak autisme. Tantrum ataupun meltdown boleh menjadi lebih kerap, berlaku pada bila-bila masa, dan sukar untuk diberhentikan.
Dari luar, meltdown kelihatan sama seperti tantrum biasa kanak-kanak. Walaupun meltdown dan tantrum mungkin kelihatan serupa dari segi ciri-ciri luaran, adalah penting untuk memahami perbezaan antara kedua-duanya.
Apakah itu tantrum?
Tantrum adalah apabila kanak-kanak mengalami kemarahan dan kekecewaan yang tidak dirancang. Tantrum boleh terlihat secara fizikal, lisan atau kedua-duanya. Semasa tantrum, kanak-kanak sering merengek, menangis, atau menjerit.
Mereka juga mungkin mengayunkan tangan dan kaki mereka atau menahan nafas. Mereka juga mungkin membuat perangai, tidak mendengar kata dan secara amnya menunjukkan tingkah laku yang tidak menyenangkan.
Tantrum biasanya berlaku apabila kanak-kanak tidak mendapat sesuatu yang mereka inginkan pada saat itu; ia boleh jadi apa sahaja.
Sebagai contoh, anda memberitahu anak anda untuk tidur kerana sudah masuk jam 10 walhal dia masih mahu menonton TV. Kemudian, dia terus menangis, menjerit dan menendang sofa – ini adalah cara dia meluahkan kekecewaannya dalam situasi itu.
Apakah itu meltdown?
Sementara itu, meltdown adalah tindak balas luar biasa apabila kanak-kanak autisme sangat tertekan dengan keadaan semasa yang sedang dihadapinya, seterusnya mengakibatkan mereka hilang kawalan ke atas tingkah laku mereka sepenuhnya.
Kehilangan kawalan ini boleh dinyatakan secara lisan, fizikal atau dalam kedua-dua cara. Mereka mungkin menggigit, merosakkan perabut, melarikan diri, menekup muka atau berdiam diri.
Contohnya, anda terpaksa melalui jalan lain untuk menghantar anak anda ke sekolah untuk mengelak terperangkap dalam kesesakan jalan raya; bukan jalan yang biasa untuknya. Ini menyebabkan dia berasa cemas, kemudian mencetuskan meltdown – ia adalah cara dia meluahkan perasaan tertekan dengan keadaan itu.
Perbezaan tantrum & meltdown
Berikut adalah beberapa perbezaan di antara tantrum dan meltdown yang ibu bapa perlu beri perhatian.