FEATURED IMAGE

Sudah pasti anda ingin melihat anak anda membesar dengan baik, menjadi seorang insan yang bijak dan berjaya dalam pelajaran atau apa sahaja yang mereka lakukan, bukan?

Namun, perkara itu tidak akan terjadi begitu sahaja tanpa sebarang usaha dan praktis untuk merangsang otak bayi anda sejak awal usia.

Berdasarkan satu kajian yang dibuat oleh Slamet Suyanto (2019), walaupun sel saraf otak bayi tidak bertambah seperti perkembangan fizikal mereka, tetapi pembentukan mielin dan hubungan antara sel saraf masih berterusan.

Oleh itu, kajian ini mencadangkan ibu bapa untuk melakukan aktiviti ataupun bermain dengan bayi anda supaya hubungan antara sel saraf akan makin bertambah kerana ia dapat membantu dalam meningkatkan kecerdasan otak anak anda.

Ramai ibu bapa yang masih tidak tahu bahawa ianya boleh dimulakan sejak anak anda masih bayi di antara usia 0 hingga 1 tahun.

Jadi, apakah langkah yang anda boleh lakukan untuk merangsang perkembangan otak bayi anda? Ini adalah 5 aktiviti yang ibu bapa boleh lakukan di rumah bersama bayi:

  1. Berbual dengan bayi anda

Aktiviti ini mungkin sudah biasa didengari dan tidak asing lagi apabila disebut-sebut dalam kalangan ibu bapa. Namun apakah signifikan atau kepentingannya serta bagaimana aktiviti ini dapat merangsang otak bayi? Apabila anda berbual dengan bayi anda, ia dapat menambah maklumat pada bahagian otak bayi yang berfungsi untuk pertuturan dan bahasa. Adalah digalakkan bagi ibu bapa untuk menggunakan kaedah parentese.

Parentese adalah satu kaedah bercakap dengan bayi di mana anda harus menggunakan nada atau vokal yang tinggi dan berbeza-beza apabila bercakap dengan mereka. Ia juga menegaskan ibu bapa untuk menggunakan perkataan yang betul dan bukannya baby talk serta bercakap dengan kelajuan rendah dan menggunakan perkataan yang pendek supaya mudah untuk bayi ikut dan proses ke dalam otak mereka.

  1. Banyakkan gerakan tangan

Ibu bapa boleh cuba perbanyakkan aktiviti yang menggerakkan tangan anda seperti bercakap dengan bayi anda dalam nada seperti bernyanyi sambil melakukan gaya dengan menggunakan tangan. Bercakap dalam nada menyanyi juga termasuk dalam salah satu kaedah parentese.

Selain itu, anda juga boleh cuba bermain peekaboo kerana ianya melibatkan gerakan tangan. Aktiviti ini dapat menarik perhatian bayi anda serta membantu mereka untuk fokus sambil berseronok. Lama-kelamaan, mereka pasti akan terikut jika anda kerap melakukannya. Ini sedikit sebanyak dapat juga membantu dalam perkembangan kemahiran motor halus bayi selain merangsang perkembangan otak mereka.

  1. Menerokai perkara baharu di luar rumah

Jika diikutkan kata orang yang lebih berumur, mereka tidak begitu menggalakkan bayi di bawa keluar dari rumah. Namun, nasihat itu tiada salahnya dan boleh dituruti dan dipakai terutamanya apabila bayi anda baru sahaja lahir beberapa hari.

Tetapi selepas beberapa bulan, anda boleh membawa bayi anda untuk keluar rumah dan melihat pokok, bunga, kucing, menyentuh daun atau rumput dan apa apa sahaja yang dapat menarik perhatian mereka selagi ianya tidak mengancam atau menjejaskan keselamatan dan kesihatan mereka. Aktiviti ini juga dapat mengasah kemahiran motor halus bayi anda serta merangsang koordinasi mata-tangan mereka.

  1. Bertindak segera apabila bayi anda menangis

Melalui satu penulisan oleh Asyikin Md Isa (2022) tentang perkara yang boleh dilakukan untuk merangsang otak bayi, penting bagi ibu bapa untuk segera memberi tindak balas terhadap bayi anda yang sedang menangis. Hal ini kerana, apabila anda memeluk dan mendukung bayi anda untuk menenangkannya, ia dapat membina litar otak yang positif pada bahagian otak mereka yang dikaitkan dengan emosi.

Ia juga dapat memupuk rasa selamat untuk dihantar ke otak mereka sebagai isyarat bahawa mereka berada dalam keadaan yang selamat dan boleh dipercayai. Perkara ini boleh dikaitkan dengan 8 Peringkat Perkembangan Psikososial oleh Erik Erikson (1958, 1963).

Peringkat pertama adalah Trust Vs Mistrust. Mengikut Erikson, peringkat ini bermula sejak bayi seawal usia 0 tahun sehingga lebih kurang dalam lingkungan umur 18 bulan. Ketika peringkat ini, bayi memandang ibu bapa sebagai sumber utama untuk memberikan kasih sayang yang berpanjangan dan asuhan sepenuhnya untuk mereka. Jika ianya sentiasa konsisten, mereka dapat membina kepercayaan dan berasa selamat.

  1. Permainan deria

Permainan yang berkaitan dengan deria juga dapat membantu dalam merangsang otak bayi anda. Antara contoh aktiviti yang berkaitan dengan deria ialah seperti bermain boneka atau plush toy, bermain dengan pasir, dan slime. Permukaan dan tekstur yang pelbagai dapat merangsang deria bayi anda di samping mengasah kemahiran mereka dalam mengenal pasti dan berfikir.

Selain itu, bermain dengan blok pelbagai bentuk juga dapat membantu merangsang perkembangan otak bayi anda dengan mengarahkannya untuk memasukkan setiap blok mengikut bentuk pada bekasnya. Ia secara tidak langsung dapat juga membantu dalam mengasah kemahiran motor halus bayi anda.

[njwa_button id="9314"]

Kongsikan artikel ini

Facebook
Twitter
WhatsApp