Dalam dunia yang penuh dengan cabaran, dugaan, dan ujian ini, kita semua memerlukan daya tahan yang tinggi. Ternyata amalan mindfulness boleh memainkan peranan penting dalam membina daya tahan diri.
Pengertian Mindfulness
Sejak ribuan tahun lampau, falsafah timur dengan ajaran Buddha telah mempraktikkan amalan mindfulness. Kini, ia telah menjadi satu disiplin ilmu dengan nafas baru yang lebih tersusun.
Pada tahun 1979, Jon Kabat-Zinn, iaitu seorang profesor perubatan telah memperkenalkan program Mindfulness-Based Stress Reduction (MBSR) kepada orang barat. Konsep mindfulness ini digunakan untuk rawatan mental dan dijadikan bahan rujukan dalam menambah baik pengawalan stres.
Maksud mindfulness adalah kesedaran terhadap fikiran, perasaan, deria rasa tubuh dan persekitaran yang sedang berlaku pada saat ini tanpa menghakimi diri anda sendiri.
Komponen Mindfulness
Kesedaran (Awareness)
Semasa berada dalam keadaan sedar, anda akan mengalami kesedaran penuh terhadap fikiran, perasaan, deria rasa tubuh dan persekitaran anda. Matlamatnya bukanlah untuk mengosongkan fikiran anda atau membuat anda berhenti berfikir, tetapi ia bermaksud anda sedar dengan pemikiran dan perasaan anda, bukannya tanpa sedar terus terbuai dengannya.
Penerimaan (Acceptance)
Pemikiran, perasaan, dan sensasi yang anda rasa hendaklah diterima dengan lebih terbuka tanpa menghakimi diri sendiri. Contohnya, jikalau anda rasa gementar, beritahu pada diri sendiri: “Saya rasa saya gementar”. Anda tidak perlu untuk mengkritik diri sendiri atau mengubah perasaan anda.
Latihan dan Terapi Mindfulness
Mindfulness adalah keadaan fikiran, bukannya tindakan atau senaman tertentu. Namun, tanpa teknik tertentu, mindfulness sukar untuk dicapai.
Terdapat beberapa teknik yang boleh digunakan untuk membantu anda mempraktikkan mindfulness, antaranya seperti berikut :
1) Mindfulness meditation
Cari tempat yang selesa dan duduk dalam posisi yang selesa. Mulakan dengan mengatur nafas, lalu fokus pada detak jantung atau rasakan sensasi udara yang mengalir saat menarik dan menghembuskan nafas. Apabila fikiran anda mula melayang, bawa semula pemikiran anda untuk kembali fokus kepada pernafasan anda.
2) Mindfulness walking
Semasa berjalan, pasang niat untuk melakukan latihan mindfulness. Mulakan dengan melihat bagaimana badan anda bergerak dan rasakan setiap langkah anda. Kemudian, fokuskan pemikiran anda kepada persekitaran di sekeliling anda. Apa yang anda lihat? Dengar? Bau? Ataupun rasa?
Teknik ini juga boleh dikembangkan kepada aktiviti harian yang lain.
3) Body scan
Tumpukan perhatian kepada sensasi fizikal yang anda rasa di seluruh badan. Mulakan dari bahagian kaki dan kemudian bahagian betis,pangkal paha, perut, dada, belakang, bahu, lengan, tangan, leher dan muka. Fokus pada setiap bahagian anggota badan selama 15 saat ke 1 minit.
4) Five senses
Fokus pada ‘saat ini’ (present moment) melalui setiap deria rasa anda:
- 5 benda yang anda nampak
- 4 benda yang anda rasa pada kulit badan
- 3 benda yang anda dengar
- 1 benda yang anda rasa pada lidah
- 1 benda yang anda bau
6 Manfaat Mindfulness
Mindfulness adalah cara yang membantu anda menghadapi masalah dalam kehidupan sehari-hari, sama ada masalah dari segi pekerjaan, hubungan, atau sosial secara keseluruhan. Berikut disenaraikan beberapa manfaat amalan mindfulness :
- Mengurangkan gejala kemurungan (depression) dan kebimbangan (anxiety).
- Meningkatkan daya ingatan, fokus dan kelajuan proses mental.
- Meningkatkan keupayaan untuk menyesuaikan diri dalam situasi yang tertekan.
- Menambah baik kebolehan untuk mengawal emosi.
- Mengurangkan kecelaruan fikiran tentang masalah yang dihadapi (ruminasi).
- Merasa lebih kepuasan dalam perhubungan.
Manfaat mindfulness tidak hanya terbatas pada kesihatan fizikal, tetapi juga kesihatan mental. Anda boleh membina daya tahan, meningkatkan kesedaran kendiri, dan mengurangkan tekanan dengan mengamalkan mindfulness.
Terdapat banyak cara untuk mengamalkan mindfulness, daripada kawalan pernafasan kepada memfokuskan diri anda pada saat ini. Mencari latihan mindfulness yang sesuai untuk anda boleh meningkatkan kesejahteraan diri anda.