Apa Itu “Avoidant/Restrictive Food Intake Disorder (ARFID)”?

Gambar Blogpost Apa itu AvoidantRestrictive Food Intake Disorder

Avoidant/Restrictive Food Intake Disorder atau dikenali sebagai ARFID adalah sejenis gangguan pemakanan yang menyebabkan seseorang mengelak atau menghadkan kuantiti serta jenis makanan yang dimakan. Seseorang yang menghidapi ARFID tidak menghadkan diet mereka disebabkan mahu mengubah rupa bentuk atau berat badan.

ARFID boleh mengakibatkan:

  • Kehilangan nafsu makan
  • Mempunyai perasaan takut atau gelisah akibat daripada suatu pemakanan seperti muntah atau tercekik makanan.
  • Menghidari makanan yang mempunyai warna, rasa, tekstur, atau bau yang tidak diingini.

Adakah ARFID Sama Seperti Picky Eating?

Tidak, ARFID berbeza dari picky eating. Menurut Cleveland Clinic (2023), kanak-kanak mungkin mengelak beberapa jenis makanan kerana mereka tidak gemar akan penampilan, rasa, bau atau tekstur sesuatu makanan. Individu yang mempunyai picky eating hanya memilih beberapa jenis makanan dan kesan daripada tabiat ini selalunya tidak akan mempengaruhi selera makan atau pertumbuhan serta perkembangan kanak-kanak. Picky eating juga boleh hilang seiring dengan pertumbuhan kanak-kanak. Manakala ARFID boleh menyebabkan komplikasi yang mendatangkan kesan kepada selera makan serta kesihatan disebabkan kurangnya nutrisi pemakanan. Gangguan pemakanan ini selalunya tidak akan hilang tanpa rawatan.

Tanda dan Gejala ARFID

Menurut Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders, Fifth Edition, Text Revision (DSM-5-TR), tanda dan gejala ARFID adalah:

  1. Kehilangan berat badan yang ketara (atau kegagalan untuk mencapai penambahan berat badan yang sesuai dengan peringkat usia atau pertumbuhan yang terhad bagi kanak-kanak).
  2. Kekurangan nutrisi pemakanan yang ketara.
  3. Kebergantungan kepada pemakanan enteral atau makanan tambahan nutrisi oral.
  4. Gangguan yang ketara dalam fungsi psikososial.

Punca ARFID

Menurut Morgan (2023), doktor tidak dapat mengenal pasti punca sebenar ARFID. Terdapat beberapa pakar yang berpendapat bahawa individu yang mengalaminya mungkin mempunyai kepekaaan yang sangat tinggi terhadap rasa atau tekstur sesuatu makanan. Mereka mungkin pernah mengalami pengalaman buruk dengan makanan. Misalnya, tercekik atau muntah, yang menyebabkan mereka takut atau bimbang untuk mengambil sesuatu makanan. Tambahannya juga, hal ini mungkin berlaku disebabkan gabungan personaliti, genetik dan faktor-faktor lain yang menjadi pemicunya.

Rawatan ARFID

Rawatan untuk ARFID memberi tumpuan untuk:

  • Membantu individu mendapatkan dan mengekalkan berat badan yang sihat.
  • Mencegah komplikasi yang mempengaruhi kesihatan seseorang secara menyeluruh.
  • Menangani kesihatan mental, sensory aversions, dan ketakutan berkaitan dengan makanan.

Menurut Cleveland Clinic (2023), rawatan utama untuk ARFID adalah Cognitive Behavioral Therapy (CBT). Terapi ini akan membantu bagi:

  • Mengenalpasti pola pemikiran dan tingkah laku yang bermasalah yang mempengaruhi kesihatan seseorang individu.
  • Mengurangkan rasa ketakutan atau kebimbangan berkaitan dengan makanan.
  • Lebih selesa dengan cabaran sensori.

Selain itu, pakar juga mungkin akan memberi tumpuan untuk membantu individu yang mempunyai ARFID untuk mendapatkan nutrien serta kalori yang mencukupi. Kaedah rawatan merangkumi:

  1. Merangka pelan makanan oleh dietitian.
  2. Nutritional supplements.
  3. Ubat-ubatan untuk membantu meningkatkan selera makan atau meredakan kebimbangan.
  4. Terdapat beberapa kes dimana pesakit memerlukan bantuan tambahan untuk mendapatkan nutrisi yang mencukupi, iaitu dengan menggunakan sejenis alat dari tiub pemakanan sementara (pemakanan enteral). Jika gangguan pemakanan atau gejala seseorang individu itu teruk, mereka mungkin perlu dimasukkan ke hospital untuk membantu bagi proses penambahan berat badan atau keperluan perubatan yang lebih serius berkaitan dengan ARFID.

Jiwadamai juga boleh membantu anda dalam isu psikologi yang dihadapi daripada peringkat kanak-kanak sehinggalah ke dewasa sama ada ia isu kesihatan mental mahupun isu perkembangan kanak-kanak secara holistik kerana ahli klinikal kami terdiri daripada Pakar Psikiatri, Pakar Psikiatri Kanak-Kanak, Psikologis Klinikal, ahli terapi cara kerja (occupational therapist), dan juga ahli terapi pertuturan (speech therapist).

Jikalau tidak keberatan, anda boleh hubungi kami melalui talian 017 269 4852 (hotline isu dewasa) dan 011 5430 8949 (hotline isu kanak-kanak & remaja) dan lakukan janji temu bersama kami. Kami sedia membantu anda.

Kongsikan artikel ini

Facebook
Twitter
WhatsApp