Tips Kurangkan Tantrum Anak

Tips Kurangkan Tantrum Anak

Anak selalu tantrum? Selalu mengamuk nakkan sesuatu? Ada ke caranya untuk kita kurangkan tantrum tersebut? Tantrum ini merupakan perkara yang biasa, fasa yang akan dilalui oleh kanak-kanak yang sedang membesar. Tetapi ada kalanya perkara tersebut sangat mengganggu kita terutamanya semasa kita bersiar-siar di luar. Ia mewujudkan suasana yang tidak selesa kepada orang awam.

Apa Itu Tantrum?

Tantrum mungkin berlaku apabila anak-anak berasa letih, lapar, atau tidak selesa. Spektrum tantrum termasuk menangis dan meraung, menendang, memukul, menjerit dan melarikan diri. Tantrum adalah perkara biasa dalam fasa perkembangan kanak-kanak untuk mereka mempelajari menangani penolakan. Terjadinya kejadian begitu boleh disebabkan kerana mereka tidak dapat memiliki sesuatu yang mereka mahukan atau tidak dapat meminta seseorang melakukan apa yang mereka mahukan. Belajar menangani kekecewaan adalah kemahiran yang kanak-kanak peroleh dari semasa ke semasa.

Bagaimana nak kurangkan tantrum anak?

Cuba memahami emosi anak-anak

Ibu bapa mampu memahami anak dengan cara berkomunikasi. Hal ini boleh dilakukan dengan mengajar anak-anak memahami emosi mereka. Ajar mereka menggunakan perkataan untuk melabelkan perasaan seperti ‘gembira’, ‘sedih’, ‘letih’, ‘lapar’ dan ‘selesa’.

Kenal pasti punca dan elakkannya

Situasi tertentu boleh mencetuskan tantrum, termasuk keletihan, ketakutan, rangsangan berlebihan dan kelaparan. Sebaiknya, ibubapa perlu mengetahui batas anak. Contohnya, jika anak mudah rasa penat selepas melakukan satu aktiviti dan memulakan tantrum, berikan mereka masa untuk berehat sebelum menyambung ke aktiviti seterusnya. Jangan terus menghentikan rancangan aktiviti kerana anak-anak akan menganggap perbuatan tantrum tersebut berkesan untuk menghindarkan sesuatu.

Model tingkah laku positif

Ingat, anak anda akan mengikut cara bagaimana anda menangani kemarahan mereka. Jika anda menjerit, mereka akan menyamai kelantangan anda kerana, jauh di lubuk hati, mereka mahu berinteraksi dan berhubung dengan anda. Cuba untuk berkomunikasi dengan tegas namun intonasi yang baik agar mereka rasa lebih nyaman. Bahkan lebih baik, sekiranya ibu bapa membantu membimbing anak-anak mengawal kemarahan seperti mengajarkan teknik bernafas atau duduk.

Kesimpulannya, tantrum anak ini sebenarnya boleh dikawal sejak daripada anak-anak kecil lagi malah itulah cara paling berkesan. Fasa anak membesar inilah fasa di mana mereka mudah menyerap perkara baik buruk daripada persekitaran mereka. Kita sebagai ibu bapa haruslah memainkan peranan yang penting dalam mendidik anak. Walau bagaimanapun, kita tidak boleh memukul rata tantrum anak di luar hanya disebabkan didikan ibu bapa yang kurang baik. Tantrum ini harus berlaku semasa fasa anak sedang membesar. Kami percaya yang ia juga adalah alat untuk mereka belajar sesuatu. Namun, kita boleh cuba untuk kurangkan kesan tantrum tersebut dan mengawalnya.

Jikalau anda mengalami isu dalam menangani tantrum anak atau yang berkaitan, anda juga boleh hubungi kami melalui talian 011 5430 8949 dan lakukan janji temu bersama ahli terapi kami untuk sama-sama kita tangani isu yang terbabit.

Kongsikan artikel ini

Facebook
Twitter
WhatsApp