Kisah #24 : Kawanku Yang Kuat

KisahKita 24 featured image

7 simptom yang anda mungkin ada masalah kesihatan mental…yang last tu memang dah kritikal

1. Muntah
2. Demam
3. Mengigil
4. Berdebar-debar
5. Menangis 4 jam keatas tanpa HENTI
6. Susah tidur malam
7. Suka pukul diri sendiri…lagi sakit lagi puas hati

Inilah antara tanda-tanda yang dialami oleh kawan saya sendiri, seorang perempuan yang tabah dan kuat yang saya beri nama Nisa (bukan nama sebenar), seorang yang ceria dan aktif melibatkan diri dalam banyak perkara samada program atau sukan TAPI macam mana cara dia mengatasi masalah tersebut? Dan bilakah dia menyedari dirinya mempunyai masalah mental? Jom hayati kisah ini. Mungkin perkara ini sedang terjadi pada anda atau orang sekeliling….PERHATIKAN BAIK-BAIK

Nescaya kisah ini akan membuka mata anda tentang bahayanya kesihatan mental dan semestinya ia adalah bukan satu mainan atau jenaka.

Pada penghujung 2020 , Nisa mula bercinta dengan seorang lelaki yang diberi nama Boy (bukan nama sebenar). Ketika itu Nisa masih bekerja dan ingin bertunang dengannya tetapi apakan daya, dia tidak mendapat restu daripada kedua ibubapanya kerana ketika itu mereka mahu Nisa melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah.

Berkat doa ibubapa dan rezeki dari Tuhan, pada tahun 2021, Nisa telah diterima untuk melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah di UiTM Kuala Pilah. Ketika itu negara kita masih di era penularan penyakit Covid-19 dan dia tidak dibenarkan untuk pulang ke kampus. Pembelajaran hanya dijalankan di atas talian. Disebabkan itu, Nisa mengambil inisiatif untuk bekerja sambil belajar memandangkan dia masih di rumah.

Menjelang 2022, ditakdirkan dia terkena penyakit Covid-19 di tempat kerja dan akhirnya berhenti. Ketika itu, dia menyedari yang teman lelakinya bersungguh-sungguh ingin menghalalkan hubungan mereka dan selepas dia sembuh , mereka sama-sama mencari duit demi menunjukkan kepada keluarga mereka bahawa mereka benar-benar serius dalam perhubungan.

Tibanya tahun 2023, ditakdirkan penyakit Covid-19 telah pun beransur-ansur reda. Dia telah mendapat panggilan masuk daripada pihak universiti untuk menghadiri kuliah secara bersemuka, memandangkan aktiviti fizikal telah pun dibenarkan oleh kerajaan.

Disebabkan rumah Nisa terletak di Perak, jadi perjalanan ke Kuala Pilah agak jauh dan dia satu-satunya di dalam keluarga yang mendapat tempat melanjutkan pengajian sejauh itu. Oleh itu, dia terpaksa menggunakan hampir kesemua simpanannya bagi membayar rumah sewa dan membeli barangan keperluan untuk masuk ke kampus. Semakin hari, kewangannya menjadi semakin sedikit dan disinilah bermulanya masalah-masalah yang dia hadapi.

Ketika itu, Nisa berada di semester empat dan dia wajib untuk menyelesaikan projek tahun akhir secara berkumpulan seramai dua orang bagi melengkapkan pengajiannya. Kebiasaanya projek seperti ini akan diuruskan oleh seorang pensyarah bagi menjadi panduan untuk mereka berdua. Ketika ini masalah menjadi semakin buruk.

Pasangannya dalam projek ini iaitu lelaki seorang yang agak mementingkan diri. Sebarang perbincangan yang dia lakukan bersama pensyarah dan sebarang maklumat daripada pensyarah tersebut tidak disampaikan kepada Nisa. Ini menyebabkan pensyarah itu memberi tanggapan yang Nisa tidak mahu membuat kerja yang disuruhnya, padahal maklumat itu tidak sampai kepada Nisa.

Disebabkan itu, Nisa terpaksa bertanya kepada kawan-kawan dan pensyarah yang lain kerana pensyarahnya mula tidak mengendahkannya. Biasalah bual mulut orang , yang baik didiamkan , yang buruk diwar-warkan. Nama Nisa menjadi semakin buruk di mata orang sekeliling sebagai seorang yang malas melakukan tugasan.

Keadaan menjadi semakin teruk, Nisa telah terlibat dalam satu kemalangan, tapi bukan simpati yang dia dapat, malah orang menuduhnya pergi keluar dan berfoya-foya dengan teman lelakinya sedangnya dia bukannya orang yang macam itu.

Ini menyebabkan Nisa menjadi stress dan mula hilang fokus di dalam pelajarannya. Akibatnya, dia mula gagal dalam beberapa subjek dan ini membuatkan keadaannya semakin stress dan parah. Di sinilah simptom-simptom yang ada tadi mula jelas kelihatan.

Dengan sepenuh kekuatan, Nisa mengambil langkah yang betul, dia pergi ke Pusat Kesihatan dan mengadukan akan kesihatannya tetapi doktor mengesyaki ada sesuatu yang tak kena. Doktor menyuruh Nisa membuat Ujian Kesihatan Minda dan hasil keputusannya, Nisa mempunyai depression dan anxiety yang sangat teruk.

Selepas pada itu, dia mula mendapatkan rawatan susulan dengan doktor pakar psikiatri dan kaunselor. Dia juga diarahkan untuk memakan ubat pada dos-dos tertentu.

Di saat genting itu, orang sekelilingnya memberikan sokongan penuh, terutamanya dari segi mental. Antara orang yang memberinya sokongan adalah keluarga dan teman lelakinya. Dilihat daripada kesungguhan dan pengorbanan si Boy, keluarga Nisa mula merestu hubungan mereka.

Kini raut wajah Nisa kembali ceria dan gembira, dia juga berjaya habiskan projek tahun akhir dengan jayanya dan mungkin beberapa tahun lagi Nisa dan Boy akan melangsungkan pertunangan.

Ini adalah antara nasihat penting dari Nisa sendiri…

Jangan takut untuk dapatkan rawatan, lagi cepat lagi bagus. Jika rasa tidak selesa dengan persekitaran sekarang, keluar, jangan berada dalam persekiran yang kita sendiri tidak suka tapi jangan berhenti belajar. Sokongan daripada keluarga dan orang sekeliling sangat penting, jangan berkawan dengan orang-orang yang toksik dan akhir sekali, serahkan semuanya pada Tuhan dan percaya pada rezeki dari-Nya. Kita hanya berusaha dan tawakal, selebihnya hanya Tuhan yang tentukan.

Kongsikan kisah ini

Facebook
Twitter
WhatsApp

Kisah Terkini

Kisah #26 : Saya Ketakutan

Semakin hari, dada saya semakin sakit! Kepala saya semakin pening! Badan saya kerap ‘shaking’ apabila berhadapan dengan situasi keramaian..

Kisah #25 : Aku Menderita

Menderita? Benarkah? Aku tidak begitu ingat. Tetapi jika tidak, mengapa aku terpaksa menggalas beban kemurungan sejak bersekolah?