Kisah #22 : Aku ‘Diganggu’?

KisahKita 22 featured image

Aku mula rasakan sakit-sakit fizikal sejak tahun 2020. Sakit kepala, sakit bahu, sakit belakang, sakit tangan dan sakit perut. Aku juga berjumpa doktor tapi tak pernah jumpa jalan penyelesaian. Sehinggalah aku dan suami ke pusat2 perubatan islam untuk mengubati penyakitku.

Pada hujung 2022, sakit yang aku alami semakin kerap. Dari tempoh sebulan sekali, ke seminggu dan akhirnya hari-hari aku perlu berjumpa mana-mana ustaz yang berhampiran. Setiap kali aku berjumpa ustaz, aku seperti dirasuk. Akhirnya, pada 19/11/22-22/11/22, aku menjadi semakin hilang kawalan. Walaupun baru lepas berjumpa ustaz, selepas balik rumah, aku dirasuk kembali. Badanku letih, tapi takut untuk tidur, tak punya selera makan dan berat badan turun mendadak.

Akhirnya, aku meminta suamiku membawaku berjumpa pakar psikiatri kerana aku yakin ada yang tidak kena dengan diriku. Pakar mengesahkan aku menghidapi Somatic Symptom Disorder with Secondary Anxiety. Pakar mulakan rawatanku dengan ubat-ubatan sebelum merujuk kes kepada hospital terdekat. Ahli farmasi memberi pesanan untuk teruskan pengambilan ubat walaupun pada mulanya kesan ubat mungkin akan memberi kesan kepada emosiku.

Pada mulanya, segala perasaan negatif muncul. Rasa sakit, sedih, kosong dan anxiety. Tapi setelah lebih kurang 8-9 hari, aku semakin stabil.

Selepas 2 minggu, aku berjumpa pakar di hospital dan beliau memaklumkan ubat A hanyalah untuk sementara dan jika mampu, aku perlu hentikan pengambilan. Alhamdulillah, dengan sokongan suami dan ahli keluarga, aku dapat hentikan penggunaan ubat A sepenuhnya selepas 3 minggu. Pakar juga menaikkan dos ubatan lainnya selepas badanku stabil dan serasi.

Alhamdulillah, dari tempoh 2 minggu, pakar beri tempoh sebulan utk kami berjumpa kembali dan 3 bulan selepas itu, aku hanya perlu berjumpa Medical Officer (MO) dan tempoh selanjutnya ialah 6 bulan selepas itu. Sekarang, aku tak perlu ke hospital tapi telah ditukarkan ke klinik kesihatan yang berdekatan. Alhamdulillah.

Aku juga sudah mampu bekerja seperti biasa, menjalankan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu sebaik mungkin. Sesungguhnya sokongan suami, ibu bapa, ahli keluarga juga rakan-rakan sangat memainkan peranan untukku berlawan dengan penyakit ini.

Setiap penyakit, ada penawarnya. Kita perlu terus berusaha agar berjumpa penawar bagi penyakit kita. Untuk rakan-rakan seperjuangan, setiap ujian pasti ada kemanisan dihujungnya. Sesungguhnya setiap kesukaran ada kemudahan (Al-Insyirah:6) InsyaAllah 😊

Kongsikan kisah ini

Facebook
Twitter
WhatsApp

Kisah Terkini

Kisah #26 : Saya Ketakutan

Semakin hari, dada saya semakin sakit! Kepala saya semakin pening! Badan saya kerap ‘shaking’ apabila berhadapan dengan situasi keramaian..

Kisah #25 : Aku Menderita

Menderita? Benarkah? Aku tidak begitu ingat. Tetapi jika tidak, mengapa aku terpaksa menggalas beban kemurungan sejak bersekolah?